27 September 2010

KERJAASAMA!

NKN_2931
Oleh: Ariff Azami Hussein
 
Kerjaasama! Ini mungkin tagline paling popular bagi rancangan kartun masa kini. Jika di zaman 80an dulu seingat saya yang paling popular adalah Thunderx3..Thundercats! Ini bermakna banyak juga kartun yang boleh mengajar anak-anak kita (dan juga bapak-bapak) akan erti nilai yang baik seperti sifat kerjasama. Justru, adalah disyorkan para ibu-bapa menonton rancangan kartun seperti Wonderpets, Little Einstein dan sebagainya bersama anak-anak. DI samping boleh menyemai sikap kerjasama, masa berkualiti bersama keluarga juga dapat dimanfaatkan berbanding ibu-ibu sibuk dengan drama Korea, Filipina, Bangla bla bla dan bapa-bapa sibuk dengan bola, bola dan lagi-lagi bola.

Adakah entri ini berkaitan kartun? Sudah tentu bukan. Saya ingin berkongsi aplikasi konsep kerjasama di mahkamah hasil pengalaman menjadi pengunjung setia mahkamah saban hari. Bolehkah ia wujud? Mampukah pihak-pihak yang bertentangan dalam sistem adversarial (bermusuhan) di mahkamah co-exist dalam bekerjasama menegakkan keadilan? Adakah mahkamah realitinya adalah semata-mata medan untuk outwit dan mengalahkan pihak lawan semata-mata at all cost?

Biar saya bermula dengan mengatakan begini; semua pihak di mahkamah adalah kepingan-kepingan jigsaw yang melengkapkan proses perundangan. Komponen-komponen ini memainkan peranan yang berbeza dalam melaksanakan keadilan. Sudah tentu peranan harus berbeza kerana mana mungkin seorang hakim terlalu asyik mengganggu prosiding dan ayik bertanya itu dan ini seperti beliau adalah lead DPP? Begitu juga mana mungkin seorang peguam menjatuhkan hukuman ke atas anak guamnya sendiri tanpa terlebih dahulu berusaha memberikan pembelaan yang terbaik? Seorang DPP juga adalah pendakwa yang bertanggungjawab membentangkan keterangan dan bukannya menokok-tambah keterangan untuk memastikan kemenangan. Bekas boss saya pernah mengatakan bahawa DPP adalah umpama juri pertandingan masakan dan IO keslah sebenarnya adalah tukang masaknya.

Pendek kata, jika semua pihak dalam komponen yang unik dan saling melengkapi ini faham peranan dan tanggungjawab masing-masing; maka kerjasama yang diimpikan itu sebenarnya sudahpun tercapai. Pihak-pihak akan menghormati satu sama lain, memberi ruang secukupnya untuk masing-masing melaksanakan tugas serta tidak akan timbul masalah overlapping antara satu sama lain. Ini bermakna juga tidak ada pihak yang merasakan jawatan mereka lebih mulia dari komponen yang lain. It so happened that setiap komponen berada di posisi yang berbeza sahaja. Apatah lagi dunia perundangan negara ini kecil sahaja dan tidak ada ruang untuk sesiapapun berasa angkuh dengan jawatan atau title yang ada. Bak kata pepatah loyar jalanan; hari ini kita mungkin di atas, esok kita mungkin di bawah dan lusa kita mungkin di dalam kandang saksi atau kandang tertuduh.

Dengan mengamalkan sikap kerjasama ini, kehadiran ke mahkamah akan menjadi satu yang pleasant dan enjoyable. Hakim tidak lagi serabut mengejar kuota KPI seperti mimpi yang tak sudah. DPP tidak tertekan mengendalikan pendakwaan kerana orang atasan menilai kualiti kerja dan bukan kuantiti kemenangan. Peguam juga berkhidmat dengan penuh semangat kerana profesion mereka tidak disalah-anggap sebagai pembela kejahatan sebaliknya dipandang sebagai pelengkap sistem keadilan yang diyakini orang ramai. Ini sekaligus mematahkan anggapan bahawa mahkamah adalah kepunyaan kanggaru, penguasa dan kroni mereka.

Adakah kerjasama juga boleh wujud sesama peguam yang terlibat membela dalam kes yang sama? Umumnya, tidak timbul soal peguam bergaduh sesama sendiri jika mereka faham tugas mereka adalah membela tertuduh setakat keupayaan mereka dan keterangan yang ada. Lazimnya, pertembungan antara peguam akan merugikan kedua-dua pihak kerana berkemungkinan besar pembelaan kedua-duanya akan ditolak mahkamah kerana wujudnya percanggahan yang material. Namun, bukan semua peguam adalah gentleman, maka pertentangan kadang-kadang berlaku juga samada secara berdepan (kowabunga style) ataupun secara halus (beres di depan kita saja) . Apa pun, pada hemat saya, peguam-peguam yang berada di dalam situasi sebegini perlulah cuba bekerjasama dan menjalankan pembelaan yang berbentuk win-win.

Terkadang wujud peguam yang substance nya kurang tetapi gayanya lebih semata-mata hendak menunjukkan kepada anak guam yang mereka membuat kerja. Pada peguam sebegini, berapa banyak soalan yang mereka tanya, berapa kuat suara merekabercakap serta berapa kali mereka membantah atau bergaduh di dalam mahkamah menunjukkan mereka hebat. Adakah begitu yang sebenarnya? Sayang sekali, peguam sebegini hanya merosakkan (atau menjahanamkan) profesion peguam dan mungkin juga peluang anak-guam mereka sendiri.

Saya sendiri pernah mengendalikan kes di mana peguam jenis ini menyoal balas saksi berkurun lamanya, menanyakan soalan yang menggembirakan DPP (furthering in-chief in cross) dan menggelisahkan anak guam yang dapat menyedari bahawa peguam mereka sendiri yang membuka laluan untuk mereka ke penjara atau lebih malang lagi, ke tali gantung. Bukan sahaja mereka enggan bekerjasama, malahan tidak menyedari kerosakan yang mereka buat terhadap kes mereka sendiri. Mungkin mereka ini perlu diberikan terapi yang sesuai seperti terapi kartun Wonderpets agar lebih bekerjasama agar tidak terjerumus ke lembah yang dipanggil stupid proud.

Akhirulkalam, anda bukan hidup sendiri di dunia ini. Di mahkamah juga anda bukan bekerja dan berkhidmat sendirian. Pihak-pihak lain samada kecil atau besar peranan mereka ada menyumbang dalam kapasiti masing-masing, samada anda sedar atau tidak atau buat-buat tidak sedar. No harm done in kerjaasama! Wassalam.

Ehsan dari loyarberjurus.blogspot.com