18 November 2013

PERLAKSANAAN HUDUD DI KELANTAN: JUHAM SEDIA BANTU KERAJAAN KELANTAN UNTUK LAKSANA HUDUD

1.       Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia optimis dan siap sedia mengembeling usaha dan kepakaran Guaman dalam menyambut penegasan kerajaan Negeri Kelantan bagi perlaksanaan Undang-Undang Hudud di negeri tersebut.

2.       JUHAM menyokong penuh langkah perlaksanaan undang-undang tersebut sejak sekian lama dan melihat kenyataan dan jaminan oleh Ketua Hakim Syarie  Kelantan, Datuk Daud Muhamad bahawa kemudahan Infrastruktur dan operasi (pasarana)Mahkamah Syariah negeri tersebut telah bersedia bagi perlaksanaan undang-undang berkenaan adalah satu yang mengembirakan. Malahan, peruntukkan RM 1 juta  oleh kerajaan Kelantan dalam Belanjawan Negeri 2014 bagi usaha kesinambungan penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di Kelantan serta penubuhan Jawatankuasa Teknikal,  dilihat sebagai ‘big steps’ setelah kerajaan negeri meluluskan dan mewartakan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan sejak tahun 1993 lagi.

3.       JUHAM sedar bahawa halangan utama perlaksanaan undang-undang tersebut di Kelantan hanyalah berlegar pada sudut perundangan di peringkat Pusat, dimana adalah satu keperluan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, yang memperuntukkan bahawa had hukuman yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia adalah setakat hukuman 3 tahun penjara, denda RM 5000-00 serta 6 kali sebatan. Jika peruntukan ini tidak dipinda, maka perlaksanaan undang-undang Hudud tersebut kelak dari sudut perundangan Negara Malaysia akan dianggap tidak sah dan bertentangan dengan perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memandangkan penguatkuasaan undang-undang jenayah adalah di dalam bidangkuasa kerajaan pusat berdasarkan senarai 1 jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

4.       JUHAM menggesa dan berharap perkara ini dapat dibentangkan segera di Parlimen dan ahli-ahli Parlimen yang majoritinya berugama Islam perlu dan sepatutnya memberikan sokongan penuh agar undang-undang di atas dapat dipinda bagi membolehkan negeri Kelantan melaksanakan undang-undang Hudud.

5.       Sewajarnya, tiada dolak dalih lagi perlu diberikan oleh ahli-ahli parlimen Islam di dalam hal ini, kerana sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang ini adalah cerminan pegangan akidah Islamiah yang sering dilaung-laungkan oleh majoriti Ahli parlimen di pihak kerajaan, sepertimana di dalam isu kalimah Allah.Maka dalam soal perlaksanaan undang-undang Hudud yang mana merupakan satu perintah mutlak dari Allah, sepatutnya ia disokong dan tidak wajar dihalang sama sekali. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa  sendiri telah secara optimis melihat akan ruang,kesediaan dan keperluan undang-undang Hudud ini dilaksanakan di Kelantan.Ini adalah satu langkah yang dipuji dan sepatutnya sudah lama disuarakan.

6.       JUHAM sedia maklum bahawa wujud juga halangan-halangan bersifat ‘prosedur’ dan  kesediaan badan-badan perlaksana seperti isu penguatkuasaan polis, Penjara, pendakwaan di Mahkamah dan lain-lain isu lain. Namun, JUHAM melihat halangan-halangan sebegini pada hakikatnya dapat diselesaikan secara berhemah, professional, tolenrasi dan secara sah di sisi udang-undang. Apa yang penting, semua pihak perlu yakin, optimis dan bekerja secara professional di dalam penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang Hudud ini secara khususnya di negeri Kelantan. Negara kita mempunyai cukup ramai pakar-pakar serta ilmuan perundangan Islam dan Sivil yang sedia membantu di dalam perlaksanaan ini.

7.       Keperluan ini adalah sangat mendesak dan perlu disegerakan setelah melihat keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negara ini saban hari sangat mendukacitakan dan cukup mengugat ketenteraman awam seperti kejadian pembunuhan,tembak,rogol,ragut,rompak dan kes-kes jenayah berat lain yang semakin kerap berlaku mutakhir ini. Jelas, secara manifastasinya undang-undang sedia ada gagal membentuk sistem pencegahan jenayah dan ketenteraman awam yang efisyen dan berkesan.JUHAM yakin bahawa falsafah dan intipati undang-undang Hudud ini mampu mengawal dan mengurangkan kegiatan jenayah yang sudah tidak mengenal sempadan kemanusian sepertimana hari ini.JUHAM yakin dan percaya bahawa perlaksanaan undang-undang ini tidak sama sekali akan mengugat keharmonian berbilang kaum dan agama di Negara ini.

8.       Akhirnya, JUHAM telah memperhalusi perkara ini dari sudut undang-undang sedia ada dan melihat halangan-halangan ke arah perlaksanaan undang-undang Hudud ini dapat diatasi dengan penuh berhemah dan professional dengan mengambil contoh kejayaan penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut dengan jayanya di Negara Brunei. JUHAM atas rasa tanggungjawab  dan penuh iltizam bersedia memberikan bantuan khidmat guaman kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di Negeri Kelantan.

9.       JUHAM optimis isu perlaksanaan undang-undang ini tidak berasaskan kepada agenda politik, tetapi ia perlu diasaskan kepada soal perjuangan akidah umat islam di dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T, dimana adalah menjadi hak Masyarakat berugama Islam di Negara ini untuk mengamalkan dan berpegang kepada prinsip-prinsip syariah termasuklah kehidupan mereka berlandaskan undang-undang Hudud ini. Jika, dalam isu kalimah Allah kita berhempas pulas, mengapa tidak di dalam isu ini?


AHMAD ZAMRI AS’AD KHUZAIMI
PENGARAH JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA 
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT [JUHAM]
18/11/2013


15 November 2013

PAS bantah ura-ura Shafee dilantik AG- HARAKAHDAILY


Desas-desus berkaitan kemungkinan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan dilantik sebagai Peguam Negara, bukanlah cerita baru tetapi telah kedengaran di kalangan peguam, hakim dan di dalam Jabatan Peguam Negara sendiri sejak beberapa tahun lepas. 



“Dalam hal ini, PAS membantah keras sekiranya Shafee hendak dilantik sebagai Peguam Negara,” tegas Timbalan Pengerusi II Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi dalam satu kenyataan.
Katanya, hubungan dan kaitan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin Umno menjadikan Shafee tidak sesuai untuk menjawat jawatan penting dan strategik seperti Peguam Negara. 
Berikut kenyataan media beliau.



Minggu lepas (7 November 2013), saya menegaskan bahawa walau apa pun agenda tersembunyi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sekarang ini sedang membuat ‘gerakan’ untuk menyingkirkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang beliau sendiri lantik pada tahun 2002, Abdul Gani tetap wajib disiasat secara menyeluruh di atas segala dakwaan salah laku sepanjang memegang jawatan sebagai Peguam Negara. 



Apa yang jelas, agenda sebenar Tun Mahathir ialah untuk menaikkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai Peguam Negara yang baru menggantikan Gani. Kehadiran Shafee di dalam pertemuan khas membincangkan perilaku Gani di rumah Tun Mahathir pada Ogos lepas menunjukkan bahawa agenda ini sedang berjalan rancak. 



Tun Mahathir berfungsi sebagai ‘jarum’ untuk menyucuk Perdana Menteri supaya segera menyingkirkan Gani bagi membolehkan Shafiee dilantik segera sebagai Peguam Negara yang baru. 
Desas-desus berkaitan kemungkinan Shafiee akan dilantik sebagai Peguam Negara, bukanlah cerita baru tetapi telah kedengaran di kalangan peguam, hakim dan di dalam Jabatan Peguam Negara sendiri sejak beberapa tahun lepas. 



Dalam hal ini, PAS membantah keras sekiranya Shafee hendak dilantik sebagai Peguam Negara. Hubungan dan kaitan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin Umno menjadikan Shafee tidak sesuai untuk menjawat jawatan penting dan strategik seperti Peguam Negara. 

5 November 2013

JUHAM :MASALAH BANKRAPSI GOLONGAN MUDA PETAKA NEGARA

JUHAM :MASALAH BANKRAPSI GOLONGAN MUDA PETAKA NEGARA

1.       Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Kerajaan Malaysia mengambil langkah kawalan segera dan penyelesaian yang efisyen berhubung kadar kebankrapan yang sangat meruncing di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda/belia.


 2.       Sepertimana dilaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri baru baru ini,  sebanyak 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31 peratus. Statistik yang dikeluarkan  menteri tersebut memperlihatkan bagi tahun  2007-2013 sahaja, sewa beli kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi kebankrapan iaitu 30,451 kes (26.14 peratus); diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62 peratus); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50 peratus); dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39 peratus).

3.       JUHAM melihat peningkatan kadar kos sara hidup yang melampau menyebabkan masyarakat terpaksa berhutang bagi meneruskan kelangsungan hidup. Justifikasinya, masyarakat hari ini khususnya golongan muda/belia terpaksa berhutang bagi memenuhi keperluan asasi seperti membeli kenderaan, rumah, pinjaman pelajaran dan lain - lain lagi yang tinggi kosnya serta membebankan rakyat. Kesan ini dapat dilihat ketara terutamanya bagi golongan muda yang baru tamat pengajian dan memulakan kerjaya dengan kadar gaji yang tidak relevan seiring peningkatan kos sara hidup terutamanya di kawasan Bandar.

4.       Kerajaan digesa mengambil langkah segera dalam mengawal kos sara hidup yang tinggi ini seperti menurunkan kadar cukai jualan kenderaan,mengawal spekulatif harga rumah, menyediakan pinjaman tanpa faedah bagi pinjaman pelajaran serta berusaha meningkatkan kadar gaji pekerja seiring kos sara hidup.



5.       JUHAM melihat belanjawan 2014 yang dibentangkan baru-baru ini tetap gagal menyediakan satu alternatif terbaik dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup. Sistem cukai GST, pemotongan/penstrukturan subsidi berterusan atas barangan keperluan asas seperti gula dan minyak hanyalah ‘pukulan maut’ kepada rakyat yang masih terkontang kanting dalam menyara kehidupan harian. Pengenalan sistem cukai GST dalam keadaan kadar pendapatan rakyat yang rendah serta sistem tadbir urus Negara yang ‘compang camping’ dilihat tidak kena pada waktunya.

6.       Sewajarnya subsidi kepada barangan keperluan asas seperti minyak adalah perlu dikekalkan dan ditambah baik kerana kenaikkan harga barangan keperluan asas ini akan secara langsung mempengaruhi kenaikkan kos lain-lain barang keperluan yang lain. Sifir mudah ini masih gagal difahami oleh menteri-menteri di pihak kerajaan yang akhirnya hanya mampu mengeluarkan saranan-saranan bersifat ‘sila pindah ke negara lain’. Ia memalukan dan mencerminkan tahap pemikiran mereka  yang terlibat dalam urus tadbir Negara.


7.       JUHAM mengambil satu ketetapan bahawa urus tadbir Negara ini perlu dibersihkan dari segala macam ketirisan,amalan rasuah, pembaziran serta kepincangan sepertimana dilaporkan oleh Laporan Audit Negara saban tahun. Malangnya, Laporan Audit Negara ini dipandang sepi tanpa sebarang tindakan penambahbaikkan dilakukan. Segala petaka ini jelas telah menyebabkan urus tadbir ekonomi Negara ini semakin merosot dan meruncing yang mana pada akhirnya rakyat marahain terpaksa berhempas pulas dan berhutang bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

8.       Akhirnya, satu bentuk pengurusan hutang yang efisyen/praktikal bagi golongan penghutang/peminjam perlu dilaksanakan kerajaan kepada golongan ini. Di pihak JUHAM, kami bersedia memberikan khidmat nasihat guaman kepada mana-mana pihak yang berhadapan dengan masalah bankrapsi dalam mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah tersebut.




Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
PENGARAH
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia

5/11/2013