1. Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia optimis dan siap sedia mengembeling usaha dan kepakaran Guaman dalam menyambut penegasan kerajaan Negeri Kelantan bagi perlaksanaan Undang-Undang Hudud di negeri tersebut.
2. JUHAM menyokong penuh langkah perlaksanaan undang-undang tersebut sejak sekian lama dan melihat kenyataan dan jaminan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad bahawa kemudahan Infrastruktur dan operasi (pasarana)Mahkamah Syariah negeri tersebut telah bersedia bagi perlaksanaan undang-undang berkenaan adalah satu yang mengembirakan. Malahan, peruntukkan RM 1 juta oleh kerajaan Kelantan dalam Belanjawan Negeri 2014 bagi usaha kesinambungan penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di Kelantan serta penubuhan Jawatankuasa Teknikal, dilihat sebagai ‘big steps’ setelah kerajaan negeri meluluskan dan mewartakan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan sejak tahun 1993 lagi.
3. JUHAM sedar bahawa halangan utama perlaksanaan undang-undang tersebut di Kelantan hanyalah berlegar pada sudut perundangan di peringkat Pusat, dimana adalah satu keperluan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, yang memperuntukkan bahawa had hukuman yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia adalah setakat hukuman 3 tahun penjara, denda RM 5000-00 serta 6 kali sebatan. Jika peruntukan ini tidak dipinda, maka perlaksanaan undang-undang Hudud tersebut kelak dari sudut perundangan Negara Malaysia akan dianggap tidak sah dan bertentangan dengan perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memandangkan penguatkuasaan undang-undang jenayah adalah di dalam bidangkuasa kerajaan pusat berdasarkan senarai 1 jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
4. JUHAM menggesa dan berharap perkara ini dapat dibentangkan segera di Parlimen dan ahli-ahli Parlimen yang majoritinya berugama Islam perlu dan sepatutnya memberikan sokongan penuh agar undang-undang di atas dapat dipinda bagi membolehkan negeri Kelantan melaksanakan undang-undang Hudud.
5. Sewajarnya, tiada dolak dalih lagi perlu diberikan oleh ahli-ahli parlimen Islam di dalam hal ini, kerana sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang ini adalah cerminan pegangan akidah Islamiah yang sering dilaung-laungkan oleh majoriti Ahli parlimen di pihak kerajaan, sepertimana di dalam isu kalimah Allah.Maka dalam soal perlaksanaan undang-undang Hudud yang mana merupakan satu perintah mutlak dari Allah, sepatutnya ia disokong dan tidak wajar dihalang sama sekali. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa sendiri telah secara optimis melihat akan ruang,kesediaan dan keperluan undang-undang Hudud ini dilaksanakan di Kelantan.Ini adalah satu langkah yang dipuji dan sepatutnya sudah lama disuarakan.
6. JUHAM sedia maklum bahawa wujud juga halangan-halangan bersifat ‘prosedur’ dan kesediaan badan-badan perlaksana seperti isu penguatkuasaan polis, Penjara, pendakwaan di Mahkamah dan lain-lain isu lain. Namun, JUHAM melihat halangan-halangan sebegini pada hakikatnya dapat diselesaikan secara berhemah, professional, tolenrasi dan secara sah di sisi udang-undang. Apa yang penting, semua pihak perlu yakin, optimis dan bekerja secara professional di dalam penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang Hudud ini secara khususnya di negeri Kelantan. Negara kita mempunyai cukup ramai pakar-pakar serta ilmuan perundangan Islam dan Sivil yang sedia membantu di dalam perlaksanaan ini.
7. Keperluan ini adalah sangat mendesak dan perlu disegerakan setelah melihat keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negara ini saban hari sangat mendukacitakan dan cukup mengugat ketenteraman awam seperti kejadian pembunuhan,tembak,rogol,ragut,rompak dan kes-kes jenayah berat lain yang semakin kerap berlaku mutakhir ini. Jelas, secara manifastasinya undang-undang sedia ada gagal membentuk sistem pencegahan jenayah dan ketenteraman awam yang efisyen dan berkesan.JUHAM yakin bahawa falsafah dan intipati undang-undang Hudud ini mampu mengawal dan mengurangkan kegiatan jenayah yang sudah tidak mengenal sempadan kemanusian sepertimana hari ini.JUHAM yakin dan percaya bahawa perlaksanaan undang-undang ini tidak sama sekali akan mengugat keharmonian berbilang kaum dan agama di Negara ini.
8. Akhirnya, JUHAM telah memperhalusi perkara ini dari sudut undang-undang sedia ada dan melihat halangan-halangan ke arah perlaksanaan undang-undang Hudud ini dapat diatasi dengan penuh berhemah dan professional dengan mengambil contoh kejayaan penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut dengan jayanya di Negara Brunei. JUHAM atas rasa tanggungjawab dan penuh iltizam bersedia memberikan bantuan khidmat guaman kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di Negeri Kelantan.
9. JUHAM optimis isu perlaksanaan undang-undang ini tidak berasaskan kepada agenda politik, tetapi ia perlu diasaskan kepada soal perjuangan akidah umat islam di dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T, dimana adalah menjadi hak Masyarakat berugama Islam di Negara ini untuk mengamalkan dan berpegang kepada prinsip-prinsip syariah termasuklah kehidupan mereka berlandaskan undang-undang Hudud ini. Jika, dalam isu kalimah Allah kita berhempas pulas, mengapa tidak di dalam isu ini?
AHMAD ZAMRI AS’AD KHUZAIMI
PENGARAH JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT [JUHAM]
18/11/2013