2 April 2014

JUHAM MENYOKONG KETETAPAN YANG DIBUAT KERAJAAN NEGERI KELANTAN BERHUBUNG DENGAN PERLAKSANAAN ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN 1993

KENYATAAN MEDIA
JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA



JUHAM MENYOKONG KETETAPAN YANG DIBUAT KERAJAAN NEGERI KELANTAN 
BERHUBUNG DENGAN PERLAKSANAAN ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN 1993

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini meyokong sepenuhnya ketetapan yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri Kelantan di dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari ini (2 April 2014) iaitu :

1) Membawa rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi membolehkan Parlimen memberi kebenaran  di bawah peruntukan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993 dapat dilaksanakan; dan

2) Membawa rang undang-undang persendirian (private bill) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk memberi bidangkuasa menjatuhkan hukuman yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah bagi tujuan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam.

Bagi memperkemaskan lagi persediaan ke arah perlaksanaan enakmen tersebut dan bagi mengelakkan rang undang-undang yang bakal di bawa itu dari di cabar atas alasan  ultra vires perlembagaan dan lain-lain teknikaliti undang-undang, JUHAM mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Kelantan turut memasukkan usul agar Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan tafsiran perkataan ‘undang-undang’ turut dipinda. Pindaan yang dicadangkan ialah dengan memasukkan undang-undang Islam sebagai salah satu takrifan kepada perkataan ‘undang-undang’ yang terkandung di dalam Perkara 160 (2) tersebut. Pada masa ini, istilah ‘undang’undang’ yang digunakan di dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah meliputi undang-undang bertulis, common law, dan apa-apa adat (custom) atau kelaziman (usage) yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan Malaysia atau mana-mana bahagiannya.  Dengan pindaan ini, maka dengan sendirinya undang-undang Islam akan diiktiraf di dalam Perlembagan sebagai salah satu sumber kepada undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia.

JUHAM juga telah menubuhkan suatu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh peguam-peguam yang mahir di dalam undang-undang sivil dan syariah bagi membantu Kerajaan Negeri Kelantan di dalam melaksanakan keputusan yang dicapai oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana di atas.
Yang benar,

NOORAZMIR ZAKARIA
Pengarah Jabatan Undang-Undang &
Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Bertarikh : 2 April 2014


28 March 2014

Keadilan bernanah – di bumi kinanah.


Berikutan sidang media daripada Dato Seri Najib yang menyatakan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi, dunia seakan-akan memejam mata daripada kezaliman yang menimpa para pejuang di bumi Mesir. Sejak kerajaan Morsi digulingkan sejak 3 Julai 2013 yang lalu, usaha rejim tentera pimpinan Fatah el-Sisi dilihat semakin giat untuk setidak-tidaknya melemahkan Ikhwan Muslimin, kalaupun tidak berjaya menghapuskannya melalui deklarasi pengharaman terhadap jemaah Islam terbesar itu. 

Proses prosiding yang hanya memakan masa kira-kira 2 hari ini dilihat mencipta sejarah sebagai perbicaraan paling singkat melibatkan hukuman gantung dalam sejarah Mesir. Sekaligus ia mengundang polemik yang tidak sedikit dalam kalangan para pejuang hak asasi di seluruh dunia. Berdasarkan laporan media antarabangsa, para peguam pihak pembelaan tidak diberikan ruang untuk membentangkan hujahan mereka dalam kedua-dua sesi perbicaraan yang bertempat di Mahkamah Minya, Selatan Kaherah. Hakim perbicaraan itu juga menafikan 'right to be heard' dengan kegagalan memberikan ruang kepada para tertuduh untuk memberikan penjelasan kepada Mahkamah berkenaan tuduhan – termasuklah menyerang dan membunuh anggota polis - yang disabitkan kepada mereka. Ini sekaligus dilihat sebagai langkah yang membelakangkan prinsip undang-undang ‘Justice isn’t only must be done, but also must be seen to be done’ 

Penghakiman yang dibuat pada hari Isnin, 24 Mac 2014 yang menjatuhkan hukuman gantung kepada 529 ahli gerakan Ikhwan Muslimin itu juga dianggap sebagai hukuman mati melibatkan pesalah teramai dalam sejarah Mesir. Antara yang termasuk dalam senarai bakal syuhada’ ini adalah ; Dr Mohamed Badee - Mursyidul Am, dan juga Dr Mohamed Saad Katatni – Presiden FJP, sayap politik Ikhwan. 

Di peringkat JUHAM, kami menggesa kerajaan Malaysia pimpinan Dato Seri Najib hari ini, menyatakan pendirian dan menghantar bantahan diplomatik yang jelas lantaran pencabulan proses perundangan dan kezaliman ke atas hak asasi saudara kita di belahan bumi sana. Rentetan daripada itu, Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan satu demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Mesir selepas solat Jumaat minggu ini bagi menyatakan solidariti kita bersama #Egpyt529 di sana. Innallaha maa'na. 

Izzat Ghazali. 
PSU 2, JUHAM.