24 September 2011

Kerjaya sebagai peguam

Hj Sulaiman Abdullah adalah peguam yang dihormati kawan dan lawan kerana prinsipnya

Oleh: Dr Zulqarnain Lukman

    Sewaktu melintasi tempat meletak kereta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam saya terlihat beberapa orang membawa jambangan bunga diiringi oleh ahli keluarga masing-masing. Kelihatan di wajah mereka kegembiraan dan keceriaan. Saya pasti bahawa hari semalam adalah hari besar dalam hidup mereka dan ibu bapa mereka. Mereka telah menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1 tahun di peringkat matrikulasi atau A-Level dan 4 tahun bagi menghabisi pengajian undang-undang. Ibu bapa mereka juga pasti telah berbelanja besar untuk menampung yuran pengajian anak-anak di universiti. Tidak syak lagi bahawa semalam adalah hari besar dan bersejarah bagi mereka kerana hari semalam adalah hari mereka didaftarai dan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Ini bermakna pengajian mereka di peringkat sarjana muda undang-undang telah mencapai kemuncaknya. Selepas ini mereka bebas untuk beramal sebagai peguamcara dan peguambela. Mereka dibenarkan untuk memasuki dewan bicara mahkamah dan berhujah di hadapan Yang Arif Hakim. Mereka pasti akan dipanggil sebagai peguam yang terpelajar (learned counsel). Alangkah indahnya saat-saat itu.

Allahyarham Aris Rizal Christopher Fernando sangat cekap semasa sesi  soal balas. Kerjayanya sampai ke kemuncak sewaktu mengendalikan kes Liwat I
Pengalaman yang sama telah saya lalui lebih sedekad yang lalu. Dan saya masih mengingati saat-saat indah ketika diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Temerloh di hadapan Yang Arif Dato’ VT Singham. Sebenarnya, saya dan rakan saya adalah orang yang pertama diterima masuk di hadapan Yang Arif Dato’ VT Singham kerana beliau baru sahaja dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada waktu itu.

Semalam juga saya berbalas mesej dengan seorang rakan senior saya berkaitan kerjaya di dalam bidang guaman ini. Beliau menyatakan kenapa beliau masih belum hidup senang dengan kerjaya ini sedangkan beliau telah diterima masuk sebagai peguam kira-kira 13 tahun. Apakah silapnya?

Dato' Muhamad Shafee Abdullah adalah seorang peguam bidang jenayah tersohor di Malaysia

Saya melihat begitu banyak pahit manis di dalam bidang guaman ini. Ada rakan-rakan yang pernah memiliki 3 buah kereta mewah dan rumah teres yang besar untuk beberapa tahun, akhirnya beliau tersungkur kerana salah perkiraan. Ada juga rakan yang pernah membuka firma guaman tetapi hanya mampu bertahan selama 2 bulan sahaja kerana modalnya sebanyak RM20 ribu habis begitu seolah-olah seperti air yang tumpah. Ada juga firma sahabat peguam yang mampu bertahan selama 2 tahun kerana selepas itu terpaksa ditutup gara-gara karenah rakan kongsi yang pecah amanah terhadap wang klien. Ada firma guaman yang dibuka lebih sedekad lalu dan nampaknya semakin maju. Ada yang rakan yang memperolehi durian runtuh atau ‘jackpot’ dalam kariernya apabila kliennya membayar fi sebanyak RM1 juta ringgit kerana membantu kliennya mendapatkan wang sejumlah RM7 juta. Lantas, beliau pada minggu depannya kelihatan memandu sebuah BMW 3 series dengan bergaya (Kalaulah saya yang menerima ‘jackpot ini, alangkah bahagianya).

Karpal Singh adalah legenda bidang guaman. Dikatakan banyak undang-undang berkaitan dadah dipinda setiap kali beliau memenangi kes. Beliau telah menjadi peguam semenjak tahun 1969 dan semenjak itu wajahnya setiap hari kelihatan di mahkamah.

Pokok pangkalnya, menjalani hidup sebagai peguam memerlukan skil tertentu. Peguam yang berkhidmat sebagai seorang pembantu undang-undang di firma orang lain perlu mempunyai skil bekerja secara bebas (independent) iaitu mampu berfikir dan melaksanakan kerja tanpa perlu menunggu arahan bos. Peguam itu harus mampu membuat penyelidikan sendiri dan mampu mengundang rasa hormat daripada bosnya atas ketrampilan, ilmu dan semangat berkerja. Selain itu, peguam ini harus bijak menangani politik dalaman pejabat dan menjauhi daripada gosip pejabat yang boleh mengundang rasa dengki orang lain.

Bagi peguam yang membuka firma sendiri, beliau harus mempunyai skil yang lebih hebat. Beliau harus mampu mencari kerja, membina rangkaian dan jaringan kenalan supaya mudah mendapat kerja. Beliau juga harus tegak atas prinsip undang-undang. Jangan amalkan memberi rasuah kepada mereka yang memberikan kerja kepada kita. Sebaliknya, biarkan klien yang meletakkan kebergantungannya kepada kita dalam menyelesaikan masalah mereka. Dan peguam ini harus menunjukkan sifat profesional sebagai peguam. Peguam ini harus menepati janji mereka kepada klien dan mempersembahkan kes klien di hadapan Yang Arif dengan sebaik mungkin. Peguam ini tidak boleh menutup telefon kerana terganggu dengan panggilan klien yang bertalu-talu. Pakaian mestilah kemas sesuai dengan profesion. Saya melihat dari aspek ketrampilan ini, peguam seperti Dato’ Mohd Shafee atau Dato’ Wan Mutalib Embong boleh ditiru. Kedua-duanya adalah peguam yang berjaya. Jika klien berpuashati dengan khidmat yang diberikan, insyallah ada lagi pekerjaan lain yang diberikan kepada peguam itu. Mungkin juga, klien itu akan merekomenkan rakannya untuk mengambil khidmat peguam itu.

Allahyarham Raja Aziz Addruse adalah seorang peguam sivil yang ternama. Beliau baru sahaja meninggal dunia. Ketegasannya semasa mengendalikan kes pemecatan Ketua Hakim Tun Salleh Abas amat meninggalkan kesan kepada profesion guaman.

Justeru, bagi peguam muda yang baru didaftarai dan diterima masuk hendaklah bijak merangka pelan kerjaya masing-masing. Berjaya diterima masuk sebagai peguam bukanlah tiket yang menjamin seseorang itu memperolehi gaji yang tinggi (Minggu lepas, Perdana Menteri menyatakan bahawa profesional di Malaysia ini dibayar gaji yang rendah tidak setimpal dengan kerjanya). Peguam muda harus mempersiapkan diri untuk meletakkan target menjadi peguam yang bebas dan tidak bergantung kepada orang lain dalam tempoh 5 tahun akan datang. Sebaiknya peguam muda ini menimba sedikit pengalaman dengan kerja-kerja berkaitan mahkamah terlebih dahulu barang 2-3 tahun sebelum memasuki cabang korporat atau lain-lain kerja berbentuk ‘conveyancing’. Ini kerana, bagi orang kampung, jika disebut peguam yang mereka kenali adalah peguam yang berhujah di mahkamah seperti Tuan Karpal Singh. Selain itu juga, peguam muda ini harus melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarela samada di dalam mana-mana jawatankuasa kecil Majlis Peguam atau badan sukarela yang lain. Peguam perlu juga membuat kerja-kerja berbentuk probono (kerja free lah ni tanpa dibayar) kerana pengalaman kerja probono ini amat membantu dalam merangka kerjaya masa hadapan. Selepas itu, peguam muda bolehlah membuat pengkhususan dalam kerjaya samada memilih kerja berbentuk conveyancing, litigasi, korporat, pusaka dan probet, tanah, ekuiti dan amanah, tuntutan kemalangan dan insuran atau lain-lainnya.

Dato' Wan A. Mutalib Embong, seorang legenda peguam di Terengganu. Sewaktu rakan-rakannya menyertai UMNO sekembali dari pengajian di London, beliau sebaliknya menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atas dasar prinsip perjuangan Islam.

Saya yakin bahawa jika di mana ada semangat di situ ada jalan. 

Selamat Berjaya.

22 September 2011

Pemansuhan ISA sia-sia sekiranya tahanan dinafikan hak dibicarakan dan diwakili Peguam

Oleh: Noorazmir bin Zakaria


Pengumuman Kerajaan yang akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 dilihat sebagai suatu permainan politik yang cuba mengelirukan rakyat dan bukannya suatu tindakan yang jujur kepada rakyat.

Hal ini dapat dilihat melalui pelbagai reaksi yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang secara angkuh berkata tiada permohonan maaf mahupun pampasan akan diberikan kepada tahanan ISA. Malah, kenyataan beliau yang berselindung di sebalik alasan kononnya ISA telah dilaksanakan secara sah tidak mampu menepis hakikat bahawa ISA itu sendiri sebenarnya adalah undang-undang lapok, zalim, tidak demokratik dan ketinggalan zaman.

Sehubungan dengan itu, penulis menegaskan bahawa Kerajaan harus mengendurkan ego mereka dan mengakui kezaliman ISA dengan meminta maaf secara terbuka kepada semua tahanan ISA sekiranya Kerajaan benar-benar jujur dan ikhlas dalam menghapuskan ISA ini.

Kerajaan Barisan Nasional tidak harus berdolak-dalik dalam soal kezaliman ISA ini kerana Perdana Menteri sendiri telah mengakui bahawa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tersebut adalah satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik di dunia. Justeru, tidakkah ia bermaksud Malaysia merupakan Negara yang mundur dan tidak demoktratik sepenuhnya akibat daripada menggunakan ISA sebelum ini?

Keduanya, penulis masih ragu-ragu dan tidak menyambut baik sepenuhnya berita pemansuhan ISA ini kerana penulis masih belum melihat apakah undang-undang baru yang akan menggantikan ISA ini.

Penulis bertegas dengan pendirian bahawa mana-mana undang-undang yang ingin digubal bagi menggantikan ISA ini haruslah tidak sekadar bersifat kosmetik dan hanya cantik pada nama sahaja. Pemansuhan ISA hanya sia-sia sahaja sekiranya undang-undang baru tersebut masih mengekalkan konsep tahanan tanpa bicara dan menafikan hak tahanan untuk mendapat perbicaraan yang adil sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Keraguan Penulis ini ternyata munasabah kerana Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz sendiri telah menegaskan bahawa konsep tahanan tanpa bicara masih akan dikekalkan walaupun ISA dimansuhkan

Justeru, Penulis menegaskan bahawa seluruh mata rakyat kini akan tertumpu kepada tindakan Kerajaan selepas daripada ini sama ada mengekalkan konsep tahanan tanpa bicara ataupun tidak. Sekiranya konsep tahanan tanpa bicara tersebut kekal namun hanya nama sahaja yang digantikan, maka ia jelas mencerminkan pembohongan besar Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional keseluruhannya dalam memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia. Sebaliknya, indeks demokrasi Malaysia akan jauh lebih teruk dan mundur dari Negara seperti Zimbabwe, Namibia dan Timor Leste