19 February 2012

Putrajaya: Peguam PAS ikrar lawan habis-habisan

SHAH ALAM, 19 Feb: Lajnah Undang-undang PASPusat dengan kerjasama Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih daripada 130 orang peguam PAS dari seluruh negara sempena Konvensyen Pilihan raya Peguam PAS 2012 yang berlangsung di sini, malam semalam.

Menurut Ketua Pengarah Konvensyen, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (gambar), program itu bertujuan sebagai persediaan terakhir peguam PAS bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.

"Komitmen yang diberikan oleh rakan peguam dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak juga di luar jangkaan.

“Pada asalnya kita mensasarkan hanya 80 orang peguam sahaja yang akan hadir, namun jumlah tersebut semakin bertambah sehingga tarikh penyertaan terpaksa ditutup lebih awal," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.


Katanya, konvensyen tersebut bermula dengan majlis perasmian dan makan malam bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman turut hadir selaku tuan rumah.

Menurutnya, Tuan Guru Abdul Hadi melahirkan kebanggaan di atas kejayaan pihak penganjur menghimpunkan para peguam PAS kerana peranan mereka secara keseluruhannya amat penting di dalam merealisasikan hasrat PAS dan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada PRU13.

Katanya, konvensyen tersebut mencapai enam resolusi dan resolusi yang menjadi keutamaan adalah peserta bertekad sekurang-kurangnya seorang peguam akan ditugaskan di setiap kerusi parlimen yang PAS akan bertanding dalam PRU13 kelak.

“Tindakan tegas menurut batas undang-undang sedia ada akan diambil ke atas mana-mana musuh Pakatan Rakyat yang melanggar mana-mana peraturan pilihan raya,” katanya.
Di samping itu, ujarnya para peserta juga turut mencapai resolusi untuk memberikan khidmat guaman pasca pilihan raya itu sendiri iaitu dalam soal petisyen pilihan raya.

Beliau berkata, bagi perjalanan yang melibatkan pihak SPR pula, peguam PAS akan memantau segala aduan berkaitan salah laku pegawai SPR di sepanjang pilihan raya berlangsung.

Jelasnya, peguam PAS juga mengingatkan para pegawai SPR bahawa segala tindakan mereka yang melanggar peraturan adalah satu kesalahan jenayah.

Oleh itu, katanya dengan tenaga peguam seramai 130 orang itu, PAS akan melangkah teguh menghadapi gelombang PRU13 bagi merealisasikan tekad Pakatan Rakyat untuk menakluki Putrajaya.

Konvensyen berakhir dengan sesi khas bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.

“Insya Allah di pihak Lajnah Undang-Undang PAS Pusat kita mensasarkan 150 peguam PAS akan bertugas di semua negeri jika dilihat daripada kehadiran pada hari ini.

"We will fight at all costs! Tumbang BN, negara selamat," ujarnya pada akhir majlis.

11 January 2012

Bersih: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Bersih: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan daripada Peguam Negara yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Mei 2009 yang melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk beberapa pimpinan PAS daripada pertuduhan terlibat dengan perhimpunan Bersih pada 11 Disember 2007 lalu.

Keputusan tersebut dibaca oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Yeok Geam.
Mahkamah Sesyen pada 4 Mei 2009 telah melepaskan dan membebaskan 10 orang tersebut di mana pihak pendakwa menurut mahkamah gagal membuktikan wujudnya perhimpunan haram pada hari tersebut yang menyalahi Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.

Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim dan Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Ghazali.

Manakala lima lagi adalah Badilah Muda, Hashim Awang, Azira Arifin, Mohd Sabri Syafie dan Ang Hok Gan.

Mereka pada jam 11.30 pagi, 11 Disember 2007, telah hadir ke bangunan parlimen bagi menghantar satu memorandum, mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.

Semua tertuduh diwakili oleh barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai oleh Ketua Unit Tindakan Kes-kes Jenayah Juham, Ariff Azami dan dibantu oleh Radzlan Jalal, Azizul Shariman, Dr Zulqarnain Luqman, Noorazmir Zakaria dan Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Menurut Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, keputusan itu membuktikan bahawa pertuduhan dan pendakwaan tersebut jelas bermotifkan politik di mana mereka yang dituduh hanya melaksanakan hak kebebasan bersuara seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.