8 June 2012

Ketua pendakwa raya kes liwat bela Anwar


Yusof: Saya tiada hubungan politik dengan Anwar
Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden

KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Cara Negara, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden yang mengepalai pasukan pendakwa raya dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyertai pasukan peguam bela Ketua Pembangkang itu, yang dikenakan tuduhan berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Mohd Yusuf merupakan ketua pendakwa raya kes liwat Anwar, yang diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi Januari lalu.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang ketua pendakwa raya selepas selesai satu kes (pihak pendakwa raya), terus menyeberang menjadi peguam bela," kata Anwar kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi ini.

Salah seorang peguam bela Anwar, Sankara Nair berkata, Yusof secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi salah seorang peguam bela dalam kes perbicaraan itu.

“Beliau telah dihubungi Anwar semalam dan membuat keputusan untuk menyertai perbicaraan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, penyertaan Yusof dalam barisan peguam bela Anwar satu perkara yang baik kerana beliau seorang yang berpengalaman dalam bidang perundangan.

Peguam lain yang berada dalam kumpulan Anwar ialah peguam utama Anwar, Karpal Singh dan anak Karpal, Ram Karpal Singh Deo.

Anwar bersama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Badrul Hisham didakwa secara berasingan menyertai satu protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret ketika perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/semasa/ketua-pendakwa-raya-kes-liwat-bela-anwar-1.50094

Mahkamah sesyen Kuala Terengganu membebaskan sdr Suwandi dan Azman dalam tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas


KUALA LUMPUR: “Hari ini, Allah telah memenangkan keadilan buat Saudara Suwandi dan Saudara Azman di atas kebatilan tuduhan yang dibuat ke atas diri mereka,” tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya melahirkan rasa setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah di atas pembebasan Suwandi Ab Ghani dan Azman Abdul Aziz dalam tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Suwandi dan Azman merupakan antara mangsa keganasan polis yang berlaku di Batu Burok pada 8 September 2007 yang lalu.

Tragedi berdarah di Batu Burok ini adalah berikutan tembakan peluru hidup daripada pihak polis untuk meleraikan perhimpunan orang awam.

Suwandi dan Azman adalah di antara mangsa yang terkena tembakan peluru hidup oleh pihak polis.

Daripada mendapat keadilan untuk dirinya, kedua-dua mereka telah dituduh oleh pandakwaraya menggunakan kekerasan dan sengaja cuba mencederakan seorang anggota polis dalam Tragedi Batu Burok pada 8 September 2007.

“Isu keganasan polis ke atas peserta himpunan orang awam bukanlah sesuatu yang baru bahkan mangsanya dibicarakan dan dikenakan tuduhan seolah-olah mereka adalah pengkhianat bangsa dan negara,” ujarnya Nasrudin dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali mengucapkan tahniah buat kedua-dua mereka.

“Semoga kedua pejuang ini akan terus istiqamah di dalam memperjuangkan Islam di bumi Malaysia,” ujarnya