24 November 2012

Nurul Izzah saman fitnah Utusan berkenaan isu murtad























KUALA LUMPUR, 23 Nov — Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah ke atas akhbar milik Umno Utusan Malaysia, mendakwa akhbar tersebut memutarbelitkan kenyataan beliau menyokong orang Melayu murtad dalam sebuah forum — isu sensitif bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Kes itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan ketua pengarang akhbar tersebut, Datuk Aziz Ishak, dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai defendan.
Ahli parlimen Lembah Pantai itu menuntut akhbar tersebut memohon maaf di muka hadapan akhbar berkenaan dengan laporan akhbar tersebut yang dikatakan mempunyai elemen “fitnah aqidah”.
Beliau juga menuntut injuksi kekal ke atas Utusan bagi menghalang akhbar tersebut terus menyiarkan artikel sama.
Beliau tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dituntut dalam saman tersebut.
Nurul Izzah (gambar, kanan) diwakili oleh peguamnya Mohd Hanipa Maidin dan Datuk Sulaiman Abdullah.
Hanipa yang juga peguam dari PAS berharap tarikh untuk perbicaraan itu akan diumumkan dua hari lagi.
Naib presiden PKR itu diserang oleh golongan agama dan ahli politik Umno berkenaan kenyataan beliau dalam forum “Negara Islam: Versi Mana? Tanggungjawab Siapa?” di Subang Jaya pada 3 November.
Golongan konservatif menuduh kenyataan beliau bermakna  menyokong umat Islam menjadi murtad atau keluar dari agama.
Tetapi beliau menafikan menyokong murtad di dalam negara yang majoritinya Melayu beragama Islam, 60 peratus dari 28 juta penduduk.
Isu kaum dan agama tidak boleh dipisahkan di Malaysia dimana di dalam Perlembagaan, Melayu dikategorikan sebagai Muslim.
Undang-undang tertinggi negara menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan tetapi agama-agama lain bebas untuk diamalkan.

22 November 2012

Saman AES: Bayar di mahkamah, bukan dengan polis, kata Pemuda PAS


KUALA LUMPUR, 21 Nov — Pemuda PAS menyeru orang ramai supaya membayar saman yang dikenakan oleh Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di mahkamah dan bukan kepada polis, kata pengarah undang-undang dan hak asasi manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi.


Menurut Ahmad Zamri, apabila membayar saman di mahkamah, wang tersebut akan dimasukkan ke kumpulan wang yang disatukan dan seterusnya akan disalurkan kepada dana kerajaan, bukannya disalurkan kepada syarikat swasta.

“Saya melihat agak aneh bila undang-undang dikuatkuasakan oleh syarikat swasta.
“Apabila syarikat swasta menguatkuasakan undang-undang, secara tak langsung mereka mahu membuat untung atas angin ke atas rakyat,” kata Ahmad Zamri hari ini selepas membuka kaunter penerangan dan bantuan mengenai saman AES di ibu pejabat PAS hari ini.

Kaunter tersebut dikelolakan oleh Juham Dewan Pemuda PAS dan badan bukan kerajaan (NGO) Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Sementara itu, ahli jawatankuasa unit Parlimen, Penyelidikan dan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Dr Zulqarnain Lukman berkata, sejak pengenalan AES, 65,000 saman telah dikeluarkan.
“Dari hujung September ke November ini sudah 65,000 saman dikeluarkan.


“Bayangkan setiap 65,000 saman ini, setiap RM16 akan diberikan kepada syarikat swasta ini,” kata Zulqarnain lagi.


Dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, kementerian pengangkutan berkata urusan itu akan dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd dan bukan dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) atau polis.
Kedua syarikat tersebut didakwa oleh pihak pembangkang sebagai syarikat kroni yang mempunyai kaitan dengan Umno dan MCA.


Bagaimanapun timbalan menteri pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan tersebut dan berkata proses pemilihan tender untuk AES dijalankan secara telus.