15 July 2009

Kenyataan Media: PRK Manek Urai

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Mohd Fauzi Abdullah atas kemenangannya di Dun N.41 Manek Urai, Kelantan Darul Naim. Kemenangan tersebut walaupun amat tipis dengan majoriti 65 undi adalah satu kemenangan besar pada rakyat dan perjuangan Islam kerana PAS sebagai parti yang selalu ditindas dan ditekan telah berjaya mengekalkan kerusi tersebut.

JUHAM juga ingin mengucapkan penghargaan kepada ahli JUHAM Negeri Kelantan khususnya dan lain-lain ahli JUHAM negeri lain yang datang membantu jentera pilihanraya di sana. Sebagaimana yang dijangka, keadaan pada hari mengundi adalah saat yang genting dan sering kali berlaku kekacauan serta krisis pada hari tersebut. Kehadiran para peguam pada hari tersebut amat membantu jentera parti bagi memberikan bantuan perundangan secara segera.

Meskipun dengan majoriti yang rendah, kehendak demokrasi negara ini menyatakan bahawa kemenangan seseorang calon bergantung kepada nisbah undi yang diperolehi berbanding lawan. JUHAM percaya kempen agresif dan rasuah politik serta janji-janji yang ditaburkan oleh menteri pusat di Dun tersebut telah mempengaruhi pengundi. Contohnya, janji Timbalan Perdana Menteri untuk membina jambatan baru yang bernilai RM7 juta menghubungkan Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama telah menyebabkan kemenangan BN di kedua-dua peti undi berkenaan.

Selain itu, ketokohan bekas YB Pak Su Wel juga mungkin mempengaruhi pengundi di sana.Kemungkinan pengundi di sana mengundi PAS kerana faktor batang tubuh arwah itu sendiri.

Namun, jika dilihat secara teliti, undi yang diperolehi oleh PAS hanya berkurangan sebanyak 7.44% sahaja iaitu 398 undi (Ismail Yaacob (PAS) - 5,746 undi tolak Mohd Fauzi (PAS) - 5,348 undi. Meskipun begitu, pimpinan PAS tidak seharusnya berdiam diri dan gembira dengan kemenangan yang tipis ini. JUHAM berharap Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dapat membuat post-mortem segera bagi mencari punca kenapakah undi diperolehi PAS berkurangan dan undi BN bertambah.

Mungkinkah juga faktor pilihanraya kecil yang menyebabkan perubahan mood pengundi. Jika dinisbahkan dengan PRK di Pengkalan Pasir tempohari, BN telah memenanginya namun pada PRU 12 lepas BN telah kalah teruk di DUN berkenaan.

Apapun, semoga PAS Kelantan terus maju dan semoga YB Mohd Fauzi dapat meneruskan perjuangan PAS di kawasan berkenaan dan mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU 13 kelak.

Sekian.


JUHAM


Ismail Yaacob (PAS) – 5,746 undi

PAS – 5,348 undi

7.44% sahaja iaitu sebanyak 398 undi.

No comments: