Showing posts with label ditahan. Show all posts
Showing posts with label ditahan. Show all posts

17 November 2011

TANGKAPAN ISA DI SABAH: PM TIPU RAKYAT


JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM) dan JABATAN HAL EHWAL SABAH & SARAWAK, DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA  menempelak sekeras-kerasnya tangkapan yang dikenakan ke atas 10 orang Pendakwah di Tawau, Sabah di bawah Akta kuku besi, ISA pada 14/11/2011 yang lalu.

Kami telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa yang ditahan bahawa tangkapan tersebut dilakukan oleh Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Kami amat terkejut dengan situasi malang ini tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Maka benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan UMNO/Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai  sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya UMNO/Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu Akta kukubesi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada UMNO/Barisan Nasional.

Kami percaya tangkapan ini adalah rentetan daripada laporan oleh pihak PAS Sabah sendiri bahawa ahli-ahli PAS Sabah telah diberikan amaran oleh pihak Polis supaya tidak terlibat dengan program-program politik dan dakwah sekiranya tidak mahu ditangkap.

Justeru, kami percaya bahawa tangkapan ini hakikatnya adalah bermotifkan politik semata-mata dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan Seksyen 73 (1) ISA. Apatah lagi, tangkapan ini berlaku tatkala PAS Sabah melaungkan amaran bahawa PAS Sabah akan memberikan tentangan sengit pada Pilihanraya yang akan datang.

Jadi, kerajaan UMNO/Barisan Nasional pada hakikatnya takut dan gusar dengan gelombang tsunami PAS di Sabah yang menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan melainkan kembali menjilat ludah mereka sendiri iaitu kembali menggunakan ISA bagi mengekang kebangkitan PAS di Sabah.

Oleh itu, kami bertegas menggesa kesemua 10 orang yang ditangkap di bahawa ISA ini harus dilepaskan dan dibebaskan dengan serta merta tanpa syarat. Selain itu, mereka ini harus diberikan layanan yang selayaknya sepertimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia iaitu diberikan peluang untuk dibicarakan secara adil di Mahkamah, dan bukannya ditangkap tanpa diberikan peluang untuk dibicarakan.

Sekiranya pihak Polis benar-benar yakin bahawa mereka mempunyai bukti yang kukuh dalam mengaitkan para tahanan dengan sebarang aktiviti keganasan, seharusnya pihak Polis tidak teragak-agak untuk menuduh mereka di Mahkamah terbuka dan membenarkan para tahanan ini membela diri secara adil di Mahkamah kerana banyak peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang boleh diguna-pakai sekiranya pihak Polis benar-benar meyakini mereka ini terlibat dengan pengganas.

Akhirnya, Kerajaan UMNO/Barisan Nasional dicabar supaya berdepan dengan rakyat secara ”gentleman” pada hari pengundian Pilihanraya Umum yang akan datang, dan bukannya bersikap bacul dan penakut dengan menakut-nakutkan rakyat melalui Akta ISA yang ketinggalan zaman ini.

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
Pengarah JUHAM
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Abang Ahmad Kardee Abang Masagus
Pengarah Jab Hal Ehwal Sabah & Sarawak
Dewan Pemuda PAS Malaysia

1 July 2011

Dialog Bersih 2.0




Dialog peserta Bersih 2.0 dengan pihak polis di suatu sekatan jalan raya.

S: Saya berasal dari Pulau Pinang dan saya dalam perjalanan untuk ke perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Tiba-tiba, saya ditahan di sebuah sekatan polis dan diarahkan untuk berpatah balik ke rumah. Apakah yang patut saya buat?

J: Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap warganegara bebas untuk bergerak ke mana-mana di dalam Malaysia. Oleh itu, saudara boleh meniru dialog berikut:

Sdra: Saya ingin teruskan perjalanan saya ke Kuala Lumpur.

Polis: Apa tujuan kamu ke sana?

Sdra: Saya ingin melawat kawan/ Saya ingin hadiri kenduri/ Saya ingin shopping (pilih mana-mana jawapan, tetapi jangan nyatakan saudara ingin berdemo)

Polis: Tidak boleh. Saya arahkan kamu berpatah balik.

Sdra: Saya berada di Malaysia dan saya sebagai warganegara bebas ke mana-mana dalam Malaysia. Tuan tiada hak untuk arahkan saya pulang. Jika tuan ingin tahan saya, sila bawa saya ke balai polis.

Polis: Errmm. Ok, saya tahan kamu dan bawa ke balai polis.

Sdra: Sebelum tuan bawa saya ke balai polis, saya mahu dapatkan nama penuh, no. badan dan alamat tempat kerja tuan. Saya juga ingin tahu atas alasan apa saya ditahan. Saya akan arahkan peguam saya untuk saman tuan, pegawai tuan dan Kerajaan Malaysia kerana menahan saya secara salah dan melanggar hak asasi saya.

(sila catatkan nama penuh polis itu, no. badan dan alamatnya dan serahkan kepada peguam Bersih-0163126463/0163126473/014-6451753/012-3928379 untuk proses saman. Sila catat apa-apa alasan yang diberikan untuk menahan saudara. Sila maklumkan ahli keluarga bahawa saudara dibawa ke balai dan sila saudara hubungi peguam atau minta ahli keluarga hubungi peguam. Sila catatkan tarikh, hari dan masa ditahan. Juga, catatkan tempoh anda ditahan). Setelah saudara dibebaskan, saudara perlu segera membuat laporan polis. Saudara boleh guna format berikut untuk laporan polis.

Contoh laporan polis jika saudara ditahan:

Pada ................... hari ............... jam ........... hingga jam ................., saya ditahan oleh anggota polis bernama ................. no. badan ............... (masukkan semua nama pegawai penangkap) di ......................... Pegawai polis tersebut enggan membenarkan saya untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur tanpa sebarang alasan/tanpa alasan yang munasabah/pegawai tersebut tidak menyatakan sebarang alasan saya ditahan (pilih yang mana berkaitan). Saya buat laporan ini supaya tindakan undang-undang diambil ke atas pegawai terlibat kerana telah melanggar hak asasi saya untuk bergerak bebas.