Oleh: Dr Zulqarnain Lukman
Beberapa hari lepas saya terbaca tulisan rakan peguam, saudari Elviza bertajuk 'Merintis masa depan dan mimpi' di dalam kolumnya, di dalam akhbar Sinar Harian (2/11/2011) yang menyatakan bahawa beliau kini telah jelas mengenai hala tuju kariernya. Beliau menyatakan bahawa dahulu beliau diberikan pilihan oleh kaunselor kerjaya usai peperiksaan SPM samada untuk menjadi seorang peguam, doktor atau akauntan. Lantas, beliau memilih untuk mempelajari undang-undang dan seterusnya mempraktikkan ilmu tersebut sebagai seorang peguambela dan peguamcara. Selepas 11 tahun berkerja sebagai peguam beliau menyatakan bahawa kini hati kecilnya merintih untuk berkerjaya di dalam bidang penulisan dan meninggalkan bidang kepeguaman.
Tulisannya itu mengingatkan saya perihal beberapa orang rakan yang turut
belajar ilmu perundangan tetapi akhirnya tidak menceburi kerjaya sebagai
peguam. Rakan-rakan itu ada yang memilih kerjaya sebagai pegawai bank, agen
insuran atau takaful, guru, ahli perniagaan, pegawai di sektor korporat,
penasihat perundangan, agen hartanah dan lain-lain. Pelbagai faktor yang
menyebabkan rakan-rakan lari daripada kerjaya sebagai peguam. Antara faktor
yang selalu diadukan adalah kerana tekanan kerja yang melampau, waktu kerja
yang panjang dan gaji yang tidak setimpal. Hal ini tidak sulit difahami kerana
jika ada perbicaraan maka peguam tersebut perlu mempersiapkan kes sebaik
mungkin, mencari nas otoriti untuk dihujahkan, menyediakan saksi dan bersedia
untuk dimarahi oleh hakim yang tidak bertimbangrasa keesokan harinya. Selain
itu, klien juga mungkin akan mempersalahkan peguam sekiranya kes yang dibawa
itu tidak dimenangi. Malah, mungkin peguam itu berhadapan dengan aduan kecuaian
profesional atau dihadapkan ke Lembaga Tatatertib kerana salah laku. Jika
seseorang itu makan gaji, maka hal itu akan lebih sulit kerana terpaksa
menjawab dengan bosnya walhal gajinya sangat ciput. Gaji permulaan seorang
peguam pada masa kini di kota Kuala Lumpur adalah antara lingkungan RM1,800 -
RM2,500 sahaja. Mungkin gaji di sektor korporat lebih lumayan dan skala gaji di
sektor kerajaan lebih menarik kerana turut diberikan pelbagai imbuhan dan
kemudahan pinjaman.
Saya sendiri mengakui bahawa saya pernah beberapa kali cuba melarikan
diri daripada kerjaya sebagai peguam. Selepas menerima ijazah LL.B daripada
universiti, saya menyambung pelajaran di peringkat 'double degree - LL.B
(Shariah)' dan peringkat sarjana. Selepas itu, saya menjalani latihan dalam
kamar selama 9 bulan sebelum menjadi peguam. Sehingga kini lebih sedekad saya
menjadi peguam. Dahulu selepas 2-3 tahun menjadi peguam, saya cuba memohon
jawatan sebagai pegawai shariah di firma percetakan nasional tetapi tidak
dipanggil kerana krisis kegawatan ekonomi. Setelah itu saya memohon jawatan di
beberapa universiti sebagai pensyarah tetapi tidak berjaya. Sehingga suatu
peringkat, saya lulus semua temuduga di peringkat jabatan tetapi akhirnya gagal
apabila ditemuduga di peringkat atasan universiti. Akhirnya, saya pasrah dengan
takdir bahawa saya sebenarnya perlu menjadi peguam. Semenjak itu, saya mula
mengubah paradigma kerjaya sebagai peguam dan mengkaji kenapa ramai peguam muda
tidak berpuas hati dengan kerjaya mereka dan juga bagaimanakah untuk menjadi
peguam berjaya serta berpendapatan lumayan.
Pada hemat saya, kerjaya sebagai peguam sebenarnya kerja yang
mengujakan, menarik, kaya dengan pengalaman, lumayan dan mampu membuatkan hidup
kita penuh warna-warni. Kebanyakan peguam tidak sedar potensi yang ada dalam
kerjaya ini. Dengan kerjaya ini, saya berpeluang untuk berjumpa insan luar
biasa yang tidak mampu saya ketemui sekiranya saya berkerja di dalam sektor
lain. Saya berpeluang untuk berjumpa mereka yang berjawatan besar seperti
Menteri, Menteri Besar, Exco kerajaan, ahli korporat ternama, sasterawan
negara, Peguam Negara, profesor dan wakil rakyat. Tidak kurang juga saya ketemu
manusia aneh seperti OCPD yang sangat gah di balai tetapi menikus di dalam
Mahkamah, saksi penipu yang pintar memperdaya hakim, wanita yang jelita tetapi
berperangai jelik, wanita yang baru mencuba menjadi ibu ayam tetapi gagal dalam
percubaan pertamanya untuk memperdagang 4 orang perawan, tokey dadah yang berIQ
tinggi, orang yang tidak bersalah tetapi dihukum kerana kegagalan sistem
perundangan, bapa yang tidak berhati perut kerana membiarkan anak hidup
kesusahan tanpa nafkah dan broker perniagaan yang menagih khidmat guaman
terbaik tetapi kedekut mengeluarkan wang.
Selain itu, peguam juga harus ingat bahawa hadir ke Mahkamah itu adalah
sebenarnya suatu keistimewaan atau 'privilege' yang tidak mungkin dinikmati
manusia biasa. Hanya manusia tertentu yang boleh bersuara di dalam Mahkamah
iaitu Hakim, Peguam, OKT, Pendakwa dan polis mahkamah. Selain itu, manusia lain
tidak punya hak untuk bersuara di Mahkamah. Kerana itu, peguam harus punya jati
diri yang tinggi dan mengambil peluang untuk bersuara di Mahkamah. Peguam yang
tidak bersuara di Mahkamah sebenarnya telah rugi kerana telah mensia-siakan
peluang yang ada. Seorang Perdana Menteri (atau sebenarnya mengikut nahu Bahasa
Melayu - Menteri Perdana) tidak mungkin gentar dengan sesiapa tetapi beliau
tetap menggelabah jika menerima notis daripada firma peguam. Lazimnya, peguam
tidak menulis surat cinta, tetapi surat peguam itu mempunyai nilai yang
tersendiri. Seseorang yang menerima notis tuntutan daripada peguam yakin bahawa
notis itu bukan mainan atau lelucon yang boleh dipersendakan tetapi sesuatu
yang bakal mendatangkan bala dalam hidupnya!
Peguam juga berupaya menjadi ahli politik yang berkesan. Ini kerana
tiada orang yang lebih mahir membaca akta atau enakmen kecuali seorang peguam.
Seseorang ahli politik yang menjadi wakil rakyat akan terlibat dalam proses
penggubalan sesuatu akta. Oleh kerana mempunyai asas undang-undang yang kuat
maka ahli politik yang juga peguam akan lebih memahami asas sesuatu perundangan
itu dibuat. Lihat sahaja bagaimana YB Karpal Singh, YB Gobind Singh atau YB
Fong Poh Kuan (ini rakan sekelas saya dahulu sewaktu menuntut di universiti)
berhujah di Parlimen.
Pokoknya, peguam bukan suatu kerja yang termasuk kategori stereotaip
yang rutin, kecuali kalau dia hanyalah peguam JID atau peguam 'mitigasi'.
Kerjaya peguam adalah penuh keseronokan dan boleh mewarnai kehidupan walaupun
sedikit meletihkan. Namun, bukan setiap masa itu meletihkan. Sewaktu ibu saya
meminta saya menemaninya untuk menunaikan haji tahun lepas, saya tidak perlu
berfikir banyak kali samada majikan membenarkan saya bercuti atau memikirkan
urusan kerja. Ini kerana, saya boleh mengatur jadual saya sendiri dan menulis
surat kepada mahkamah untuk memohon penangguhan kes. Klien saya juga memahami
keperluan saya melaksanakan rukun Islam yang kelima itu. Berbanding 7 orang
adik beradik saya lain, mereka semua berkerja makan gaji dan perlu merancang
percutian mereka terlebih dahulu apatah lagi cuti haji menjangkau 52 hari.
Tetapi, semua yang pernah menunaikan haji pasti tahu bahawa notis untuk
mengerjakan haji (selain yang pergi dengan Muasassah) biasanya diperolehi di
saat akhir.
Kerjaya sebagai peguam menjanjikan kebebasan diri dan kemuliaan terhadap
harga diri sebagai manusia. Berbanding dengan rakan-rakan yang berkerja di
sektor awam, mereka dikenakan sekatan untuk bersuara dengan bebas khususnya
apabila mengeluarkan pendapat menyokong parti tertentu. Mereka terpaksa hidup
dengan hipokrit atau kepura-puraan bila mana di hadapan ketua jabatan mereka
menyokong dasar kerajaan tetapi apabila 'mengeteh' mula mengutuk dasar
kerajaan. Sedangkan antara hak asasi manusia adalah kebebasan bersuara dan
mengeluarkan pendapat. Apa guna hidup sebagai manusia sekiranya hak asasi yang
dijamin Perlembagaan ini tidak dapat diamalkan sepenuhnya.
Begitu juga bila ditanya mengenai pendapatan, suatu soalan yang tidak
mampu untuk saya jawab. Ini kerana berkerja sebagai peguam adalah seperti
berkerja sebagai peniaga. Bezanya, peniaga menjual produk tetapi peguam menjual
servis atau perkhidmatan. Oleh itu, jika saya perlukan wang lebih maka saya
perlu mencari lebih banyak kes dan mengenakan fi yang lebih tinggi. Jika wang
sudah banyak, maka saya boleh memberikan khidmat probono kepada mereka yang
memerlukan. Namun, saya pasti peguam yang baik pasti pandai meletakkan harga
diri dan kemahiran kepeguamannya pada harga yang sepatutnya. Jika seseorang
klien itu pandai memilih intan dan permata tentu sekali beliau tidak kisah
dengan harga perkhidmatan peguam yang berkemahiran. Peguam juga jarang
bermasalah dengan klien sebegini kerana masing-masing saling memahami.
Jika klien itu mempersoalkan fi yang tinggi tetapi hendakkan perkhidmatan yang
cemerlang maka klien itu sebenarnya cenderung untuk memilih kaca dan bukan
permata. Sebab itu, nasihat saya adalah supaya seseorang peguam itu memahirkan
dirinya di dalam skil dan kemahiran yang khusus dan tertentu tanpa mencampur
rojak servisnya di dalam semua bidang. Seseorang peguam tidak mampu menjadi
seperti Jack yang menguasai semua cabang bisnes kerana keluasan bidang
kepeguaman itu. Jika beliau memilih kerjaya sebagai peguam aliran jenayah maka
elok ditumpukan ke arah itu sahaja. Begitu juga jika dia memilih aliran sivil
maka elok dibuat pengkhususan samada bidang 'running down', kecuaian perubatan,
fitnah, tanah atau harta intelek. Jika peguam ini diiktiraf oleh komuniti
guaman sebagai orang yang mahir dalam bidang itu, percayalah bahawa mereka
tidak perlu mencari klien tetapi klien akan mencari mereka walaupun harga
perkhidmatannya adalah tinggi.
Kesilapan seorang peguam adalah apabila beliau menghinakan kerjayanya
dengan menyembah pihak bank atau pemaju perumahan. Pihak bank atau pemaju
perumahan mempunyai kecenderungan untuk menetapkan harga perkhidmatan peguam
dan akhirnya peguam itu hanya mahir dalam bidang JID atau SS sahaja tanpa
menggilap skil dan kemahiran sebenar seorang peguam. Peguam seperti ini hanya
berbangga dengan jumlah kes yang banyak, tetapi sebenarnya fi yang diterima
amat kecil berbanding nilai kepeguaman. Yang lebih teruk lagi pihak bank juga
lewat membayar fi dan apabila jumlah tunggakan fi itu menjadi banyak, pihak
bank akan meminta diskaun tambahan. Pegawai bank juga mempunyai karenah
tersendiri. Ada yang meminta untuk dilayan di spa atau bilik karaoke dan ada
pula yang mengharapkan jamuan hebat daripada peguam. Peguam seperti
inilah yang akan penat dengan kerjaya mereka dan ingin menukar bidang kerjaya
kepada kerjaya lain yang lebih kurang tekanan dan mempunyai prospek yang lebih
baik.
Kesimpulannya, seseorang yang dilema menjadi peguam perlu mengkaji dan
memuhasabah diri mereka sendiri. Jika benar hidup mereka porak-poranda kerana
menjadi peguam maka silakan mencari profesion yang lebih sesuai. Saya percaya
tempoh mereka berkhidmat sebagai peguam ini telah memberikan pengalaman dan
nilai hidup yang tidak ternilai dalam menempuh kerjaya baru. Bagi yang ingin
meneruskan kerjaya sebagai peguam juga perlu muhasabahkan diri mereka samada
strategi bisnes mereka adalah tepat atau perlu diberikan nafas baru.
Percayalah, industri guaman ini bukan industri yang malap (sunset industry)
seumpama bisnes cybercafe tetapi industri yang berkembang seiring dengan
perkembangan zaman. Kerana itu, kerjaya peguam ini telah wujud semenjak
zaman Shakespeare lagi, cuma kepintaran seorang peguam itu yang
memastikan kesinambungan kerjaya dan meletakkan hala tuju kerjayanya di
landasan yang betul.
Glosari
1. Ciput
– kecil
2. OKT
– Orang kena tuduh
3. OCPD
– Ketua Polis Daerah
4. JID
– judgement in default iaitu hal keadaan apabila seseorang itu disaman tetapi
gagal hadir ke mahkamah, maka suatu penghakiman ingkar akan dimasukkan ke
atasnya.
5. SS
– singkatan untuk substituted service atau penyampaian saman dengan cara
penyampaian ganti seumpama pengiklanan di akhbar
6. Mengeteh
– minum teh atau kopi bersama rakan-rakan di warung, coffee house atau restoran
mamak.
7. Mitigasi
– khususnya dalam bidang jenayah, peguam akan berhujah dengan hakim untuk
mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan atas faktor tertentu seperti sakit,
kesalahan pertama, umur lanjut dan lain-lain
8. Probono
– memberikan khidmat guaman secara percuma dan hanya mengharapkan ganjaran
pahala dari Allah taala
9. Running
down – istilah bagi peguam yang mengendalikan kes berkaitan kemalangan
No comments:
Post a Comment