Oleh: Ariff Azami Bin Hussein Kerjaya sebagai majistret adalah satu karier yang sangat-sangat diimpikan oleh ramai pelajar sekolah (selain angkasawan). Bukan saja para pelajar, malah para ibu bapa (termasuklah ibu mertua dalam cerita Ibu Mertuaku) juga pasti sangat berbangga jika anak mereka menjadi seorang majistret. Dalam cerita Labu Labi pun digambarkan kehidupan majistret yang serba berprestij, penuh dengan gaya, mutu dan keunggulan. Realitinya, benarkah karier sebagai majistret ini begitu menarik, tertarik atau hanya retorik semata-mata? Saya tidak pernah menjadi majistret walaupun pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi majistret. Namun, saya bersyukur kerana tidak terpilih karier saya sebagai majistret. Justru, layakkah saya menulis tentang karier sebagai majistret ini? Jawapannya mungkin layak dan mungkin tidak. Biarlah saya menulis berdasarkan pengalaman saya berkecimpung dalam arena kemahkamahan dan berhadapan serta berstonecold (bukan bersekongkol) dengan majistret; saya dapati ada yang bijaksana dan ada juga yang bijaksini. Cuba kita lihat dari aspek kemunasabahan dan kesesuaian jenis manusia yang bagaimana molek menjadi majistret. Pada saya, perlulah seseorang itu mempunyai kesabaran yang tinggi, a good listener dan bijak bermain tarik tali dengan situasi dan karektor yang ditempuhi di mahkamah. Ini bermakna tahu bila hendak dilepaskan talinya yakni dengan mengamalkan sikap toleransi atau memberi peluang, dan bila pula perlu menyentap (atau menyenjoh) tali dengan menggunakan pendekatan tegas dan tidak bagi muka apabila sesuai pula dengan situasinya. Oleh sebab itulah, faktor jantina tidaklah terlalu penting. Ada majistret lelaki yang begitu penyabar dan cool tetapi yang wanitanya garang dan asyik nak menyembur sahaja kerjanya (macam naga daa). Sebaliknya, ada majisret wanita yang adil dan bertimbangrasa namun ada yang lelakinya yang menganggap diri sendiri sahaja yang betul dan benar, tiada apa-apa yang tidak benar melainkan benar belaka. Pokoknya, walau bagaimana profesional pun anda mahu dilihat di atas bench itu, tidak perlulah mengubah karektor diri anda sehingga menjadi orang lain apabila di dalam mahkamah. Sebab itulah, saya amat pelik dengan majistret yang sangat tegas dan keras di dalam mahkamah, namun apabila di luar atau di chambers, mereka sangat berbeza, tenang sahaja dan boleh berlawak pula. Stress bakali diorang ni. Saya percaya, banyak cabaran dan dugaan menjadi seorang majistret. Ramai yang lulus ujian namun ada juga yang tumpas. Bayangkanlah, kuasa yang dipinjamkan itu (pinjam saja ye) sangat besar dan jika di daerah yang kecil di mana hanya andalah satu-satunya majistret di situ; bertambah-tambah besarlah lagi kedudukannya. Pendek kata, hanya OCPD dan DO saja yang layak berkawan dengan seorang majistret. Kuasa ini boleh menjadi nikmat jika pandai dikekang dan boleh juga menjadi bala jika gagal dikawal. Pengalaman sebagai DPP juga sama, malah mungkin lebih dahsyat kerana kuasa DPP sebenarnya lebih besar dan akan ramailah orang menerumuni kita seperti orang mengerumuni gerai cendol semasa khutbah jumaat. Justru, perlulah ada kebijaksanaan di sini. Kata orang tua-tua, pandai-pandailah memilih kawan, bahkan dalam hadith pun ada. Jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka harumlah kita. Jika berkawan dengan pekerja Alam Flora (with due respect), maka semerbaklah jadinya kita. Oleh sebab itulah, saya sangat-sangat bersetuju seorang majistret itu dilantik dari kalangan mereka yang lebih senior, contohnya 3 tahun di dalam perkhidmatan ke atas. Mereka mungkin lebih elok dilatih dengan jawatan lain yang lebih "mencabar" seperti SAR (latihan pengurusan dan membuat research) atau DPP (letihan dan letih amal, pendinding dari ammarah hakim). Hasil yang sepatutnya kita perolehi selepas tapisan 3 tahun "kerja berat" ini, dapat meningkatkan standard jawatan majistret itu sendiri. Juga penapisan dapat dibuat dengan mengenalpasti siapa yang sesuai dan wajar menjadi majistret, dan siapa yang tak cukup syarat. Selanjutnya, dengan memilih seorang yang lebih matang, lebih berumur (dan mungkin sudah berkeluarga), maka daya tahan dan kesabaran akan lebih tinggi, ilmu yang lebih luas dan pengalaman yang secukup rasa. Ini semuanya akan menghasilkan satu proses keadilan di mahkamah majistret yang lebih adil, efisyen dan berkualiti. Sekaligus mengelakkan kisah-kisah benar seperti majistret yang mula bersidang sesuka hati, keluar masuk mahkamah untuk urusan peribadi dan juga makan minum sedangkan pihak-pihak menunggu di mahkamah dan juga majistret yang kurang kualitinya dan syok sendiri (sesunggunya peria itu pahit, begitu juga berkata benar). Buat akhirnya, ikhlas dari lubuk hati saya, majistret perlu sentiasa pesatkan ilmu. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Belajarlah dari mereka yang lebih mengetahui atau mungkin lebih pengalaman, samada orang itu jurubahasa, polis mahkamah, peguam ataupun mungkin pegawai pendakwa yang selalu dimarahi itu. When you start treating others with respect, you will get the same treatment. Once you stop learning and considered yourself as already learned; then you will remain at that level without progressing anymore. Till then, setiap kali saya menjengah ke mahkamah majistret, saya akan terus tersenyum sendirian; samada menghargai kebijaksanaan majistret itu atau mengasihani kebijaksinian dia. Wassalam. |
Surf faster and smarter with Firefox 3!