2 June 2010

SUBSIDI MENGHALANG KEMAJUAN?



Oleh Syed Zakaria bin Syed Zainal Abidin


Terdapat satu artikel bertajuk 'Malaysia Negara Subsidi" di muka surat 20 Harian Metro Rabu 26hb Mei 2010. Melihat pada tajuknya sahaja saya teruja untuk membacanya. Adakah benar Malaysia adalah Negara subsidi seperti yang dikata atau apakah maksud tajuk artikel tersebut yang begitu catchy sekali pada pandangan saya.

Sebelum kita kita pergi lebih jauh eloklah kita tinjau maksud perkataan subsidi itu sendiri? Mengikut Kamus Dewan edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, subsidi bermaksud bantuan berupa wang atau kebendaan (biasanya daripada kerajaan) yang diberi kepada sesuatu pihak tertentu seperti perbadanan, kumpulan petani dan lain-lain). Jadi maksud mudahnya bagi subsidi adalah bantuan kerajaan.

Jadi maksud sebenar subsidi iaitu bantuan kerajaan. Di dalam artikel tersebut, penulis mempersoalkan kenapa golongan berpendapatan sederahana dan tinggi berhak mendapat bantuan kerajaan sama rata dengan golongan berpendapatan rendah. Penulis juga mempersoalkan kenapa golongan kaya dan miskin menikmati tariff elektrik dan harga minyak petrol yang sama. Penulis berpandangan ini adalah tidak adil dan kerajaan seharusnya berbuat sesuatu bagi menghapuskan subsidi kerajaan terahadap beberapa jenis barangan dan perkhidmatan. Penulis juga berpendapat bahawa Malaysia mampu untuk menjimatkan sebanyak RM2.9 billion pada tahun 2010 jika subsidi-subsidi ini dihapuskan sama sekali.

Secara zahirnya memang tidak adil golongan kaya menikmati subsidi sama seperti golongan miskin. Namun, adakah wajar jika kita hapuskan subsidi hanya atas dasar kaya dan miskin. Perlu diingat, jika dihapuskan subsidi sekalipun, golongan kaya dan pertengahan tidak terjejas kerana mereka mempunyai kemampuan yang jauh dari golongan miskin dan bependapatan rendah. Akhirnya, kesan penghapusan subsidi hanya akan dirasai oleh golongan bawahan sahaja dan tidak terkecuali golongan pertengahan kelas kedua. Apa yang sepatutnya dikhuatiri adalah kesan penghapusan subsidi ke atas harga barangan harian seperti barangan runcit, barangan basah, tambang pengangkutan awam, harga makanan serta minuman dan lain-lain barangan pengguna yang mana secara lazimnya akan meningkat.

Kita pernah saksikan bagaimana kenaikkan harga minyak petrol dan diesel mempengaruhi pasaran pengguna yang menyebabkan kos sara hidup meningkat serta-merta dan yang paling menyeksakan rakyat sehingga ke hari ini, kenaikkan harga tersebut tidak pernah turun walaupun kerajaan menurunkan semula harga minyak tersebut. Kesannya mencengkam sehingga ke hari ini.

Penulis juga membandingkan harga minyak masak dan harga petrol dengan negara lain. Pada saya, ini adalah hujah yang tipikal di dalam usaha untuk menyokong penghapusan subsidi. Adalah tidak adil hanya membandingkan harga dalam Ringgit Malaysia (RM) dengan mata wang asing untuk barangan di negara berlainan yang sudah pasti mempunyai KDNK yang tidak sama dengan Malaysia, tidak termasuk sosio ekonomi dan budaya yang berbeza.

Seterusnya, penulis melihat kemajuan restoran 24 jam menunjukkan tahap ekonomi orang Malaysia yang dikatakan mewah makanan kerana harga makanan yang murah sampai rakyat Malaysia terlebih makan sehingga mendapat banyak penyakit akibat tabiat terlalu banyak makan tersebut. Sebenarnya, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa rakyat kita terlebih makan sebab makanan di negara ini murah. Orang Singapura pun sukakan makanan, begitu juga orang Thailand. Ini adalah satu budaya. Hakikatnya makanan di negara ini telah naik mendadak selepas kenaikkan harga minyak pada tahun 2007.

Penulis mencadangkan jumlah sebanyak RM74 billion subsidi pada tahun 2009 yang kerajaan telah belanja untuk subsidi iaitu RM42 billion subsidi untuk sosial (kesihatan, kebajikan, pendidikan dan biasiswa) RM23.5 billion untuk bahan api (petrol gas memasak, gas dan elektrik), RM4.6 billion untuk infrastuktur (tol penerbangan pedalaman, kereta api) dan RM3.1 billion untuk makanan (minyak masak, gula, tepung, beras dan makanan laut) sebenarnya boleh digunakan untuk kemajuan negara.

Persoalannya, adakah langkah kerajaan pilihan rakyat menghapuskan subsidi-subsidi ini akan menguntungkan rakyat pada akhirnya? Apakah jaminan kerajaan akan menghabiskan wang subsidi tersebut untuk maslahat rakyat tidak kira golongan yang kaya atau yang miskin dan golongan di antaranya? Adakah kerajaan berani bersikap telus di dalam pentadbiran kewangan negara untuk kepentingan semua pihak.

Isu ketelusan adalah perkara pokok yang perlu direformasikan oleh kerajaan supaya tiada ketirisan di dalam mengaturcara ekonomi negara. Sesuatu perlu dibuat untuk memperkasakan Ringgit Malaysia dan bukanlah memilih jalan singkat menghapuskan subsidi bagi mendapatkan lebihan wang. Kerajaan perlu menjalankan usaha untuk mentafsir kembali aset negara bagi memperkukuhkan nilai ringgit serta penambahan pelaburan dari luar dan bukannya hapuskan subsidi. Adalah tidak adil bagi seorang bapa memotong perbelanjaan sekolah anaknya bagi mengimbangi perbelanjaannya. Memupuk sikap jimat cermat adalah satu cara yang baik tetapi menghapuskan terus perbelanjaan anak adalah bukti kegagalan bapa tadi mentadbir hutang-piutang yang ada. Begitu juga dengan isu penghapusan subsidi.

Kawal selia secara telus pengurusan kewangan dari segi pelaburan-pelaburan yang dibuat di dalam dan luar negara adalah perlu untuk memastikan tiada penyelewengan di dalam urustadbir ekonomi. Menurut Transparency International, kedudukan Malaysia di dalam indeks CPI menurun sejak tahun 2007. Pada tahun 2007, Malaysia berada di ranking 43 dunia. Pada tahun 2008, kedudukan Malaysia jatuh kepada tangga 47 yang seterusnya menjunam kepada tangga 56 pada tahun 2009. Melihat kepada trend ini, kta boleh simpulkan bahawa tiada jaminan ketelusan pentadbiran "wang penghapusan subsidi" oleh kerajaan.

Jadi secara kesimpulannya, penghapusan subsidi atas alasan tidak mahu mengekang kemajuan adalah amat dangkal sekali. Sedangkan sepatutnya, menjadi tanggungjawab kerajaan bagi meringankan beban rakyat. Kemajuan tidak bermaksud mengabaikan rakyat bagi mencapainya sebaliknya kemajuan yang hakiki adalah seperti yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila tiada orang yang layak menerima subsidi pada zaman tersebut. Subsidi tidak dihapuskan tetapi tiada yang layak menerimanya disebabkan kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat..

No comments: