22 August 2012

Ramadhan Dan Peguam

Ramadhan Dan Peguam
Oleh: Dr Zulqarnain Lukman

Salam Aidilfitri untuk semua. Tatkala coretan ini dilakarkan, Ramadhan 1433H hanya tinggal sehari lagi. Ramadhan akan datang belum pasti lagi berjaya ditempuhi.

Ramadhan adalah bulan paling diberkati di dalam agama Islam. Bulan yang penuh rahmah dan muhasabah kepada penganutnya. Di Malaysia, Per. 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak umat Islam untuk menganut dan beramal dengan ajaran Islam tanpa ada gangguan daripada kerajaan mahupun penganut agama lain. Oleh itu, dengan jaminan perundangan yang ada, umat Islam di Malaysia dapat beramal ibadat dan melaksanakan rukun Islam ketiga ini dengan sempurna.

Bagi seorang peguam khususnya yang bekerja sendiri, pasti bulan Ramadhan adalah bulan penuh cabaran dan dugaan. Ramadhan kali ini dirasa sangat mencabar bila mana tahap KPI (Key Performance Index) dilaksanakan. Kalau dahulu, sesuatu kes memakan masa 4-5 tahun untuk dihabiskan, kini kes perlu dihabiskan dalam tempoh 9 bulan. Lazimnya, para hakim akan cuba selesaikan satu-satu kes dalam masa 6 bulan.

Ini bermakna, Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang sibuk kerana ada tugasan guaman yang menunggu. Banyak kali juga solat tarawih berjamaah terpaksa dikorbankan demi menyiapkan hujahan. Ruang masa untuk beribadat secara khusus juga semakin sempit sebab kadangkala terpaksa tidur jam 2 pagi sedangkan waktu itu orang lain baru bangun untuk bertahajud dan bersolat malam.

Selain itu, Ramadhan kali ini juga menginsafkan diri bahawa sebenarnya kerjaya sebagai peguam ini penuh dengan masa 'melantak' makanan (suatu istilah untuk menunjukkan makan untuk keseronokan atau eating for pleasure). Waktu sampai di Mahkamah, kalau masa masih awal tentu kafeteria menjadi tempat tuju. Setelah selesai kes, jika bertemu rakan sekali lagi akan pergi melepak dan menjamu selera. Kembali ke pejabat, rasa nak makan tengahari pula. Setelah menyiapkan kertas kausa Mahkamah, pasti rasa nak mengeteh (tea time).

Sebelum pulang jam 6.30 petang, rakan pejabat pasti akan mengajak makan maggi goreng atau sandwich tuna. Sampai di rumah, kena makan malam dengan famili pula! Kalau kena berjumpa klien di malam hari atau menyiapkan tugasan lain pasti akan disusuli dengan 'supper' yang enak.

Jadi, kedatangan Ramadhan ini memberikan peluang kepada perut untuk berehat dengan syarat tidak pula digantikan dengan segala macam buffet Ramadhan. Kali ini, sedaya upaya cuba dihayati pola pemakanan Rasulullah saw sewaktu berbuka iaitu berbuka dengan hidangan kurma kering dan susu lembu sahaja tanpa ada biryani, murtabak, popia, tepung pelita dan lain-lain. Hasilnya, badan terasa ringan, perut makin kempis dan terbukti, 5 kilogram berat badan sudah hilang. Segala bisa badan dan sakit sinus tiba-tiba hilang begitu sahaja. Setelah menelaah buku kesihatan, ternyata puasa ini turut diamalkan oleh pelbagai penganut agama lain dan golongan yang pentingkan kecantikan kerana puasa berfungsi sebagai agen detoksifikasi dan pembersihan perut.

Ramadhan ini juga memberikan keinsafan dan membina jiwa untuk menjadi golongan yang lebih baik. Tidak guna berpuasa jika hati dan jiwa masih penuh dengan sifat dengki, penipu, tamak, rasuah dan dendam. Sifat-sifat buruk sebegitu amat dekat dengan kerjaya peguam. Ada yang menawarkan rasuah kepada pegawai syarikat atau bank semata-mata untuk meraih fail daripada mereka. Ada yang menipu rakan peguam yang lain atau mahkamah sewaktu perbicaraan dengan menyembunyikan bukti yang dilihat tidak berpihak kepadanya. Ada yang menfitnah peguam lain supaya klien memandang serong kepada peguam itu. Ada peguam yang tidak amanah kepada wang pemegang pertaruhan (stakeholder). Ada yang menipu klien dalam hal conveyancing yang belum diselesaikan.

Oleh itu, madrasah Ramadhan (school of Ramadhan) diibaratkan sebagai sebuah sekolah yang mengajar umat Islam menjadi lebih baik dan bertambah taqwa (piousness)dan sewajarnya mampu untuk menjadikan seorang peguam Muslim untuk menjadi peguam yang lebih baik.

Kesimpulannya, Ramadhan ini mengajar kita untuk:

1. Menguruskan masa dengan lebih baik supaya ada peruntukan masa untuk famili dan amal ibadat.

2. Mengawal nafsu makan supaya kesihatan lebih terjaga kerana sakit adalah musuh utama dalam kerjaya guaman.

3. Peguam perlu lebih kreatif dalam kerjaya supaya kerja guaman menjadi lebih ringan, berbaloi dan berjaya.

4. Peguam perlu bersihkan jiwa dan nurani daripada segala sifat terkeji seperti tidak amanah, tipu, dusta, tamak, dendam, rasuah dan fitnah untuk menjadi peguam yang berjaya di dunia dan akhirat.

Semoga Syawal yang bakal tiba akan menceriakan hidup kita dan semoga kita menjadi peguam yang lebih baik.

9 August 2012

PERBICARAAN BERSIH 2.0: POLIS AKUI MEMILIKI DAN MEMAKAI BAJU BERSIH 2.0 TIDAK SALAH

KENYATAAN MEDIA
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
BERTARIKH: 9/8/2012
PERBICARAAN BERSIH 2.0: POLIS AKUI MEMILIKI DAN MEMAKAI BAJU BERSIH 2.0 TIDAK SALAH

9/8/2012- Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menyambung perbicaraan Kes Musafri bin Abdullah Azmi di dalam kes saman beliau terhadap Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan 3 yang lain kerana mendakwa penahanan beliau dan rampasan pihak Polis terhadap baju-baju beliau yang tertera “BERSIH 2.0 Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil” pada 24/6/2011 adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.

Beliau diwakili barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) iaitu Mohd Nazruddin Abdullah, 37, Noorazmir Zakaria, 30 dan Azizzul Shariman, 36.

Perbicaraan adalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, iaitu Yang Arif Dato’ Hj Zainal Azman bin Ab Aziz.

Perbicaraan yang masuk hari kedua ini telah mendengar keterangan daripada 3 orang saksi daripada pihak Defendan-defendan yang merangkumi pegawai polis yang menangkap, pegawai polis yang merakamkan percakapan Musafri dan pegawai penyiasat bagi kes tangkapan Musafri tersebut.

ASP Mohd Amirul Anbalagan bin Abdullah, 41, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut ketika disoal oleh Peguam JUHAM mengakui dan bersetuju dengan cadangan Peguam JUHAM bahawa memiliki dan memakai baju BERSIH 2.0 adalah tidak salah. Malah, beliau kemudiannya bersetuju dengan cadangan yang dilontarkan oleh Peguam JUHAM bahawa tangkapan pihak polis terhadap Musafri bukanlah kerana Gabungan BERSIH 2.0 adalah satu pertubuhan haram.

Sebaliknya, ASP Mohd Amirul menyatakan hasil siasatan beliau menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan Musafri berniat untuk membuat perhimpunan tanpa permit di kawasan Musafri ditangkap pada malam tersebut iaitu di Bilik Gerakan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Padang Jawa (JKKK).

Korp Ruslee bin Mastam, 52, yang merupakan pegawai polis yang menangkap Musafri sebelum itu telah memberikan keterangan di Mahkamah bahawa beliau menangkap Musafri berdasarkan syak wasangka yang munasabah bahawa Plaintif akan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang ketika itu sedang diadakan di Uptown Seksyen 24 Shah Alam. Namun ketika disoal balas oleh Peguam JUHAM kemudiannya, Korp Ruslee menyatakan bahawa beliau tidak tahu penangkapan yang dibuat oleh beliau tersebut adalah berdasarkan kepada undang-undang apa dan apakah undang-undang yang digunakan untuk menyiasat Musafri.

Ketua Inspektor Zakiol bin Kaning, 35, yang merupakan Ketua Polis Balai Seksyen 15 Shah Alam sebelum itu turut memberikan keterangan di Mahkamah dan menyatakan bahawa beliau telah memberikan taklimat kepada anggota bawahan yang bertugas di Balai Seksyen 15 Shah Alam berkenaan “Ops Padam”; iaitu Operasi Pencegahan Perhimpunan BERSIH 2.0 untuk menangkap mana-mana orang atau pihak yang terlibat atau disyaki terlibat dalam perhimpunan di Uptown Seksyen 25 Shah Alam. Ketua Inspektor Zakiol kemudiannya ketika disoal balas oleh Peguam JUHAM mengakui bahawa arahan tangkapan tersebut tidak merangkumi tangkapan terhadap orang yang menjual dan mengedar baju BERSIH 2.0.

Mahkamah telah menetapkan para Peguam untuk memfailkan Hujahan mereka pada 18/9/2012 dan kemudiannya Mahkamah telah menetapkan tarikh 26/9/2012 untuk para Peguam membuat Hujahan Balas dan klarifikasi.

Mahkamah Tinggi pada 24/7/2012 yang lalu telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun 2011 bahawa Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

NOORAZMIR BIN ZAKARIA
KETUA UNIT MEDIA/PENERANGAN
JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

__._,_.___

2 August 2012

PENDAKWAAN RAFIZI BERMOTIF POLITIK

KENYATAAN MEDIA
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
BERTARIKH: 2/8/2012

PENDAKWAAN RAFIZI BERMOTIF POLITIK

JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA, DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA (JUHAM) menempelak sekeras-kerasnya tindakan pendakwaan yang dilakukan oleh Peguam Negara terhadap Rafizi Ramli di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam di bawah Seksyen 97, Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

JUHAM menyifatkan pendakwaan yang dilakukan terhadap Rafizi Ramli adalah bersifat pendakwaan terpilih kerana dalam usaha Rafizi Ramli untuk mendedahkan gejala najis rasuah di dalam kerajaan UMNO/BN, beliau pula yang menjadi mangsa keadaan apabila ditangkap dan didakwa di Mahkamah. Penangkapan yang dikenakan terhadap beliau boleh diumpamakan sebagai madu dibalas dengan tuba apabila pendedahan murni beliau terhadap gejala najis rasuah di dalam kerajaan UMNO/BN seharusnya disanjung, namun sebaliknya beliau kini dianggap sebagai pengkhianat Negara.

Malah, Rafizi Ramli seharusnya dilindungi oleh Akta Pemberi Maklumat 2010 yang digubal bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain (kelakuan tidak wajar) termasuk oleh Kerajaan UMNO/BN dengan menggalakkan dan memudahkan Pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar dalam Kerajaan UMNO/BN serta melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan.

Namun, kini jelas terbukti bahawa Akta Pemberi Maklumat 2010 tersebut hanya sekadar kosmetik dan bertujuan untuk mengaburi mata rakyat seperti pengumuman-pengumuman kosmetik umpamanya pemansuhan ISA yang semata-mata untuk mengembalikan sokongan pengundi kepada UMNO/BN yang semakin terhakis.

Peguam Negara juga yang pada hakikatnya perlu menjalankan tugas dengan amanah dan bersifat berkecuali daripada sebarang pengaruh pemerintah regim UMNO/BN, kini dilihat dengan jelas telah menjadi kuda tunggangan dan talian hayat oleh UMNO/BN untuk menyekat Rafizi Ramli daripada terus membongkar gejala najis rasuah di dalam kerajaan UMNO/BN.

JUHAM juga menempelak pendekatan keras yang digunakan oleh Peguam Negara di dalam kes pendakwaan Rafizi Ramli ini apabila beliau turut digari umpama pelaku kes jenayah berat dan serius seperti pembunuh dan perompak.
Malah, Peguam Negara juga jelas bersifat melampau apabila memohon jaminan sehingga RM100,000.00 dan memohon passport beliau ditahan. Tindakan Peguam Negara ini jelas berbeza dengan pendakwaan-pendakwaan yang dikenakan terhadap kes-kes politik berprofil tinggi yang melibatkan UMNO/BN seperti di dalam kes pendakwaan rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo apabila beliau tidak pun digari ketika dihadapkan untuk pendakwaan di Mahkamah.

Justeru, tindakan pilih kasih yang diamalkan oleh Peguam Negara ini jelas membuktikan terdapat pengaruh yang besar daripada kerajaan UMNO/BN untuk memberikan tekanan kepada Rafizi Ramli bagi tujuan menzalimi dan menganiaya beliau sebagai balasan kepada pendedahan berani beliau yang menelanjangkan najis rasuah yang membarah di dalam kerajaan UMNO/BN.
Oleh itu, JUHAM menyeru dan berharap agar Institusi Kehakiman dapat memberikan layanan dan perbicaraan yang adil kepada Rafizi Ramli agar beliau dapat menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk membela diri beliau secara adil tanpa mendapat sebarang gangguan dan tekanan daripada Kerajaan UMNO/BN.

Melalui perbicaraan yang adil, ia akan memberikan lonjakan yang positif kepada imej Institusi Kehakiman dan memulihkan tanggapan rakyat yang telah lama menganggap Institusi Kehakiman acap kali dinodai dan dibayangi Kerajaan UMNO/BN.

JUHAM mengucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi Ramli dan semoga beliau mendapat keadilan yang sewajarnya.

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
PENGARAH
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia