17 January 2014

Cikgu Dipaksa Buka Tudung?


Kenyataan media Lujnah Undang-undang dan hak asasi manusia Badan Perhubungan Pas Negeri Johor.

Isu seorang guru berbangsa cina yg beragama Islam bernama Pang Ah Ngang @ Pang Tim Kwee yg telah diarah oleh seorang ahli jemaah pengurus sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Nan Ya di Teluk Sengat Kota Tinggi Johor untuk membuka tudung dan diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian benar -benar mengejutkan banyak pihak.

Dalam suasana semua bangsa bebas mengamalkan agama adat dan budaya seperti mana yang dijamin oleh perlembagaan negara kita merasa agak terkejut dengan tindakan tidak bertamadun ini. Justeru Badan Perhubungan Pas Negeri Johor melalui Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia bersedia untuk menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada guru yang menjadi mangsa dalam kejadian ini untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya perlu bagi beliau mendapatkan hak-haknya seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Pihak kami juga ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak Jabatan Pendidikan Daerah Kota Tinggi yang pantas mengambil tindakan drastik memindahkan guru tersebut ke Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya dalam usaha untuk menjamin keselamatannya. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk segera mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang- undang terhadap pihak yang terbabit dalam insiden ini agar ianya tidak menjadi satu polemik yang berpanjangan demi keharmonian hidup semua bangsa dan agama di negara ini.

Firdaus Masod
Pengerusi Lujnah Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia
Badan Perhubungan Pas Negeri Johor
16 Januari 201