12 April 2011

Video Seks 'Datuk T'


Video Seks ‘Datuk T’: Penyiasatan Bercelaru Polis

Oleh: Hj Zulqarnain Lukman

Isu wujudnya tayangan klip video seks yang dikatakan wujud aksi dan perlakuan seksual seorang tokoh politik telah ditayangkan kepada khalayak awam para wartawan di Carcosa Seri Negara. Trio ‘Datuk T’ pula telah membuat pengakuan terbuka bahawa merekalah yang membuat tayangan percuma itu.

Pihak polis sejurus selepas laporan polis dibuat oleh tokoh politik itu telah membuka kertas siasatan di bawah seksyen 292 Kanun Kesiksaan. Jika dilihat seksyen tersebut, ternyata yang berkenaan adalah seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang menyatakan seperti berikut:

“Barang siapa menjual, menyewakan, membahagi-bahagikan, menunjukkan secara awam, atau dengan apa-apa cara mengedarkan, atau bagi maksud menjual, menyewakan, membahagi-bahagikan, menunjukkan secara awam atau mengedarkan, membuat, mengeluarkan atau ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, kertas, rajah, lukisan, gambaran atau patung yang lucah atau apa-apa jua benda lain yang lucah; hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”.

“Whoever sells, lets to hire, distributes, publicly exhibits or in any manner puts into circulation, or for purposes of sale, hire, distribution, public exhibition or circulation makes, produces or has in his possession any obscene books, pamphlet, paper, drawing, painting representation or figure or any other obscene object whatsoever shall be punished with imprisonment for a term which may extend to three years, or with fine, or with both.”

Dalam bahasa mudah, seksyen tersebut menyatakan bahawa sesiapa yang menunjukkan secara awam (exhibit in public) sesuatu bahan lucah boleh dihukum penjara maksimum 3 tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Hanya tiga elemen seksyen berkenaan yang perlu disiasat oleh polis iaitu:

1. Seseorang telah menunjukkan video.

2. Video itu adalah lucah.

3. Video lucah itu ditunjukkan kepada awam.

Seksyen tersebut tidak menyatakan bahawa mengambil bahagian dalam perlakuan lucah tersebut boleh juga dihukum. Lainlah jika pelakon berkenaan berkongsi keuntungan hasil jualan, sewaan atau pertunjukan awam tersebut.

Apa yang kita tidak faham adalah tindakan polis yang seolah-olah tidak tahu apa yang patut disiasat dan tidak tahu apakah elemen jenayah yang perlu dibuktikan. Tidak mungkin dalam hal kehebohan di seluruh ceruk rantau mengenai filem seks ini tiada mana-mana pegawai daripada Kamar Peguam Negara memberikan tunjuk ajar berkenaan maklumat yang diperlukan untuk tujuan pendakwaan.

Kita tidak nampak apa relevannya untuk menyiasat siapakah pelakon video lucah itu dan tidak nampak rasional untuk tahu siapakah tuan punya jam ‘Omega’. Jika benar video itu ada aksi membuat hubungan seks maka jelas sekali ianya adalah video lucah. Tidak kira siapakah pelakonnya, malah aksi lucah dalam bentuk animasi ‘manga’ juga boleh menjadikannya video lucah. Trio Datuk T juga mengakui secara terbuka di dada akhbar bahawa merekalah yang bertanggungjawab membuat tayangan percuma video lucah itu kepada para wartawan. Oleh itu, penyiasatan ke atas ketiga-tiga elemen untuk mendakwa Datuk T di bawah s.292(a) Kanun Kesiksaan ini sebenarnya telah sempurna.

Rakyat tidak faham kenapakah Kamar Peguam Negara belum mendakwa pesalah ini. Rakyat jadi tambah bingung bila Menteri pula menyatakan bahawa tiada sesiapa ditahan dalam siasatan ini. Kalau ada kesalahan bermakna ada tangkapan. Seseorang yang ditangkap ada haknya yang perlu dijaga. Kalau diambil kenyataan tanpa memberitahunya bahawa beliau ditahan kemungkinan kenyataan yang diambil nanti boleh dicabar kesahihannya. Menambahkan kebingungan kita semua adalah kenyataan Menteri bahawa trio Datuk T harus dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2010 dan Akta Pemberian Maklumat 2010.

Jika kalian masih ingat kisah video lucah ‘Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau’, [Mohd Rizal bin Mat Yusof vs Public Prosecutor [2009] 8 MLJ 856] tertuduh dalam kes itu telah didakwa atas kesalahan mengedarkan video seks itu di bawah s. 292(a) Kanun Kesiksaan. Meskipun beliau mengakui beliau adalah pelakon video berkenaan, tetapi beliau tidak didakwa atas kesalahan berlakon video lucah. Yang menariknya, isteri tertuduh juga telah mengakui di mahkamah bahawa beliau juga antara pelakon video tersebut dan suaminya merakamkan video aksi seks dengan kebenarannya. Hanya yang menjadi isunya bahawa video itu adalah semata-mata untuk koleksi peribadi dan tiada niat untuk pengedaran terbuka. Isteri beliau menyatakan kemungkinan video tersebut telah jatuh ke tangan orang lain bila mana mereka dalam proses berpindah rumah. Akhirnya, apabila kes sampai ke peringkat rayuan, tertuduh telah gagal disabitkan di mahkamah atas kesalahan mengedar video lucah.

Oleh itu, usul untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi tujuan mengenal pasti pelakon video ini adalah tidak relevan dan tentu sekali suatu pembaziran kepada dana awam. Begitu juga dengan penyiasatan ke atas tuan punya jam ‘Omega’ ini pun mempunyai agenda politik tersembunyi.

Kini rakyat ternanti-nanti tindakan ke atas pesalah yang sebenar. S. 292(a) Kanun Kesiksaan ini dibuat bukan bagi tujuan politik tetapi bagi menjaga keharmonian dan kesucian moral rakyat Malaysia. Pihak polis perlu buktikan bahawa mereka tidak terjebak dengan flip flop politik menteri. Institusi yang awam seperti PDRM ini perlu menjadi institusi bebas yang berpaksikan undang-undang.