19 June 2013

Gesaan JAG agar pemansuhan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah adalah melampau dan penghinaan kepada Perlembagaan serta Ugama Islam


  1. Baru-baru ini, pelaksanaan hukuman sebat terhadap 24 wanita dan 17 lelaki yang didakwa melakukan sumbang mahram dan mengadakan hubungan seks luar nikah membawa kerengsaan kepada Gabungan Kumpulan Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG). JAG mendesak agar satu usaha pemansuhan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah yang berkuatkuasa di Malaysia. (http://www.themalaysianinsider.com/print/rencana/pemansuhan-undang-undang-kesalahan-jenayah-syariah-jag/)


    2.Gesaan JAG ini menampakkan satu manifestasi akan ketidakfahaman/kejahilan mereka akan hukuman sebat di dalam Syariah Islam dan praktikalnya di Mahkamah Syariah Malaysia.
  1. Asasnya, hukuman sebat yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah di Malaysian adalah ‘dikurniakan’ di dalam Perlembagaan Malaysia. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan. Maka, secara Perlembagaanya, hukuman sebat syariah ini disokong/diasas oleh Perlembagaan Persekutuaan dan bukanlah hukuman yang tidak sah. Di dalam Islam, Hukuman sebat ini, jika ditelusuri di dalam perundangan Islam adalah merupakan salah satu bentuk hukuman 'takzir' yang mana diperuntukkan kepada pemerintah.
  1. Hukuman ‘sebat’ yang didakwa oleh JAG sebagai melanggar prinsip hak asasi manusia dan dianggap sebagai satu perbuatan kejam di dalam isu ini tidak mempunyai asas dan tidak lebih sekadar dakwaan melulu tanpa melihat secara ilmiah dan praktikalnya akan ‘hukuman sebat’ yang diamalkan di Mahkamah Syariah, yang nyata berbeza dengan hukuman sebatan di Mahkamah Sivil (C0mmon law).
  1. Hukuman Sebat di dalam Undang-Undang Sivil tidak dinafikan melanggar prinsip hak asasi manusia dan dilihat sebagai kejam dari segi perlaksanaanya. Perlaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah adalah jelas menjaga maruah/kebajikan/mendidik pesalah dan bukanlah bersifat kejam sepertimana hukuman sebat di dalam Mahkamah Sivil.

  1. Contoh dilihat di dalam Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1997. Seksyen 125(2) Akta tersebut telah memperuntukkan alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, yang digunakan untuk melaksanakan hukuman sebat menurut prinsip syariah hendaklah terdiri dari sebatang alat sebatan yang sebaik-baiknya diperbuat dari kulit atau rotan. Alat sebatan tersebut seharusnya tidak mempunyai sendi mahupun bonggol serta mempunyai panjang dan ketebalan yang masing-masing tidak melebihi 1.22 meter dan 1.25 sentimeter. Seksyen 125(3) Akta pula kemudiannya memperuntukkan beberapa peruntukan yang terpakai kepada hukuman sebat menurut prinsip syariah anataranya sepertimana berikut:-

*Alat untuk menyebat tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan diperbuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

*Sebelum hukuman sebat dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh Pegawai Perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman berkenaan.

*Sekiranya pesalah hamil, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran.

**Hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat seperti diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi maksud itu.

Cara sebat:

**Orang yang dilantik melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang. Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.

**Selepas mengenakan satu sebat, dia hendaklah mengangkat alat sebat itu ke atas dan tidak menariknya.

** Sebat boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

**Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk.

**Jika ketika hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebat, sebat itu hendaklah ditangguhkan sehingga pegawai perubatan itu memperakui bahawa pesalah sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

**Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.


Masa pelaksanaan hukuman

**Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman penjara, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.

**Sebat itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

  1. Seterusnya, JAG mendakwa bahawa hukuman 'sebat tersebut' adalah satu diskriminasi terhadap wanita beragama Islam. JAG mendakwa Artikel 8(2) Perlembangaan Persekutuan menjamin kesetaraan dan kebebasan dari diskriminasi atas dasar agama dan gender. Maka, sebarang undang-undang yang menghukum wanita atas dasar agama melanggar prinsip anti-diskriminasi ini. Tambahan pula, Kod Prosedur Jenayah dan Peraturan-Peraturan Penjara jelas melarang hukuman sebat ke atas wanita, tidak kira umur.Dakwaan JAG ini tidak berasas dan menunjukkan JAG setakat serkap jarang dalam Isu ini.

  1. Perlu dibezakan hukuman sebat yang dimaksudkan Kod Prosedur Jenayah dan Peraturan-Peraturan Penjara adalah hukuman sebat sivil yang jelas berbeza aplikasinya/falsafahnya dengan hukuman sebat syariah. Malahan persoalan kesamarataan di bawah artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara ‘harfiah’ tanpa merujuk kepada pentafsiran/falsafah Perlembaagan yang menyeluruh.Lihat sahaja kepada situasi Pesalah kanak-kanak yang melakukan kesalah membunuh (seksyen 302 Kanun Keseksaan), adakah dijatuhkan hukuman gantung?Jawapannya tidak. Adakah sekiranya Raja/Sultan melakukan kesalahan akan dihadapkan ke Mahkamah biasa sepertimana rakyat biasa? Jawapannya juga tidak (Raja/Sultan mempunyai Mahkamah Khas Raja-Raja).Adakah dalam keadaan-keadaan ini JAG juga akan menyatakan bahawa telah berlaku diskriminasi dari sudut perlaksanaan keadilan? JAG perlu faham bahawa, 'keadilan' bukanlah bermaksud samarata atau 50-50, namun keadilan dalam hakikat sebenar adalah ‘meletakkan sesuatu perkara itu di/pada tempatnya’.


  1. Maka persoalan di atas sudah dapat menjawab bahawa persoalan kesamarataan yang dilaung JAG. Hakikatnya, masyarakat Islam di Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang Islam Negeri yang berkuatkuasa ke atas mereka. Suka atau tidak, itulah undang-undangnya. Samalah sekiranya kita memasuki sesebuah Negara asing, suka atau tidak kita akan tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa. Mengapa kita boleh bersetuju dengan hukuman denda/penjara bagi kesalahan memandu secara mabuk, tetapi tidak boleh bersetuju dengan hukuman sebatan bagi peminum arak berugama Islam?

  1. Kesimpulan di sini, hukuman sebat di Mahkamah syariah adalah berbeza sama sekali dengan sebatan di Mahkamah Sivil. Aspek pelaksaan hukuman sebat syariah jelas  tidak bersifat kejam, menzalimi dan melihat kepada kebajikan dan kehormatan si pesalah.

  1. Dari sudut perundangan Negara, hukuman sebat tersebut telah diasaskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidaklah menyalahi Perlembagaan.Maka, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan melakukan Semakan Kehakiman (Judicial Review) di Mahkanmah bagi menentukan keesahan hukuman ini.Maka, pastinya kekecewaan melanda mereka. Sebab itu, sehingga ke hari ini, tiada langsung usaha seumpama itu dilaksanakan, melainkan suara-suara sumbang di kala wujudnya penghakiman-penghakiman sebegini oleh Mahkamah Syariah.

  1. Persoalan, hukuman yang ingin dilakukan di khalyak ramai, Islam telah melihat akan keperluan sesuatu hukuman memberi pengajaran kepada ahli masyarakat yang lain dan bukanlah semata-mata pengajaran kepada pesalah sahaja. Lihatlah sahaja hukuman sivil yang sedia ada, walaupun pesalah dihukum gantung,sebat dan penjara yang lama, ianya langsung tidak memberi kegerunan dan ketakutan kepada masyarakat, malahan kejadian/kesalahan jenayah semakin menjadi jadi jadi. 

  1. JAG akan mendakwa bahawa hukuman sebat di tempat awam serta dikhalayak ramai adalah memalukan, maka dihujahkan di sini bahawa, hukuman sebat di bawah prinsip syariah yang dikatakan memalukan ini seharusnya ditimbang kembali dengan kesan-kesan pendidikan dan reformasi yang bakal terhasil dari metod hukuman sedemikian.Di atas dasar darurat dan kemaslahatan, adalah wajar pesalah dimalukan dengan dihukum sebat di khalayak ramai asalkan kesan dari hukuman sedemikian dapat menginsafkan serta mendidik pesalah dan masyarakat sekaligus menjadi pemangkin ke arah mencegahdan mengawal kadar jenayah dalam masyarakat.

  1. Dihujahkan bahawa,hanya dengan cara hukuman dilaksanakan di tempat awam serta di hadapan orang ramai sahaja yang akan berjaya menimbulkan keinsafan dalam diri pesalah dan masyarakat awam. Hasil dari sinar keinsafan yang timbul dalam diri pesalah dan masyarakat inilah yang akan menjadi pemangkin ke arah mendidik pesalah serta mencegah jenayah dalam masyarakat. Lihatlah saja isu ‘Kartika’ yang hangat diperkatakan sebelum daripada ini, belum lagi hukuman tersebut dilaksanakan,  membicarakanya sudah menjadi seolah satu kegerunan/tumpuan kepada Masyarakat. Maka, jika ianya dilaksanakan sudah pasti Masyarakat akan patuh kepada undang-undang Islam dan syiarnya. Insyallah.

  1. Perlaksaan hukuman sebat secara syariah telah dilaksanakan dengan jayanya di Negara Aceh,  dimana jika kita melihat keberhasilannya, jelas segala dakwaan dan anggapan jahat JAG tersebut terhadap hukuman sebatan syariah adalah sekadar retorik dan sekadar melempiaskan prinsip kebebasan dan kesamarataan yang dari sudut kaca mata penilaian mereka sendiri tanpa menjustifikasikan kepada strukur moral/sosio/agama masyarakat kini.



    16. Maka, gesaan JAG kepada Kerajaan untuk mengkaji semula dan memansuhkan undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah atas dasar bahawa peruntukan-peruntukan tersebut tidak berasas dari segi teori danamalan undang-undang Islam jelas sama sekali bertentangan dengan falsafah Perlembagaan dan secara jelas satu penghinaan kepada agama Islam dan Umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang syumul ini. Kami,sebagai umat Islam, berhak untuk mengamalkan ajaran dan segala syiar-syiar di dalam Agama Islam yang kami anuti.


    AHMAD DENIEL ROSLAN
    AJK Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Pusat(JUHAM)
    Peguambela & Peguamcara (Ahmad Deniel,Ruben& Co)
    19/6/2013