11 January 2012

Bersih: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Bersih: Mahkamah tolak rayuan Peguam Negara

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan daripada Peguam Negara yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Mei 2009 yang melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk beberapa pimpinan PAS daripada pertuduhan terlibat dengan perhimpunan Bersih pada 11 Disember 2007 lalu.

Keputusan tersebut dibaca oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Yeok Geam.
Mahkamah Sesyen pada 4 Mei 2009 telah melepaskan dan membebaskan 10 orang tersebut di mana pihak pendakwa menurut mahkamah gagal membuktikan wujudnya perhimpunan haram pada hari tersebut yang menyalahi Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.

Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim dan Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Ghazali.

Manakala lima lagi adalah Badilah Muda, Hashim Awang, Azira Arifin, Mohd Sabri Syafie dan Ang Hok Gan.

Mereka pada jam 11.30 pagi, 11 Disember 2007, telah hadir ke bangunan parlimen bagi menghantar satu memorandum, mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.

Semua tertuduh diwakili oleh barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai oleh Ketua Unit Tindakan Kes-kes Jenayah Juham, Ariff Azami dan dibantu oleh Radzlan Jalal, Azizul Shariman, Dr Zulqarnain Luqman, Noorazmir Zakaria dan Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Menurut Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, keputusan itu membuktikan bahawa pertuduhan dan pendakwaan tersebut jelas bermotifkan politik di mana mereka yang dituduh hanya melaksanakan hak kebebasan bersuara seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Safwan buat laporan, dakwa dikasari polis

Safwan dakwa dikasari polis
HASNIZA HUSSAIN (Sinar Harian)
January 6, 2012
Muhammad Safwan Anang
KUALA LUMPUR - Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang yang cedera ketika perhimpunan pro-kebebasan akademik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak baru-baru ini, membuat laporan polis semalam mendakwa dirinya tercedera sehingga tidak sedarkan diri akibat dikasari polis.

Terdahulu, Muhammad Safwan ditemani beberapa peguam dan isterinya, Masturah Abu Bakar hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 2.15 petang untuk membuat laporan itu, sebelum keluar hampir tiga jam kemudian.

Muhammad Safwan ketika ditemui semalam, menafikan kecederaannya berpunca dari sendiri, sebalik­nya menegaskan dia dikasari secara ganas oleh anggota polis ketika melakukan perhimpunan aman.

Menurutnya, dia mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya yang menunjukkan polis menyerbu ke arahnya dan rakan-rakan sebelum bahagian kiri mukanya ditumbuk.

“Saya ada rakaman jelas me­nunjukkan pergelutan berlaku, di mana saya ditumbuk sehingga bibir pecah dan berdarah. Kemudiannya pada masa sama dihentak dengan lutut di bahagian rusuk kanan oleh anggota polis sehingga sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya bahawa polis tidak melakukan kekerasan. Video yang dimuat naik polis hanyalah sebahagian rakaman yang berlaku sebelum pergelutan tersebut dan kita kecam polis kerana tidak memuat naik rakaman video yang menunjukkan gambaran sebenar insiden yang berlaku,” katanya semalam.

Menurutnya, tindakan polis (mengasari) adalah satu kesalahan jenayah terhadap orang awam dan boleh disabitkan salah di bawah Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguamnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, laporan berhubung insiden yang menimpa Muhammad Safwan sudah dibuat dan mereka bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dengan polis termasuk memberi bukti rakaman video yang menunjukkan polis mengasari anak guamnya.

Beliau berkata, polis juga perlu menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul untuk meleraikan sesuatu perhimpunan iaitu hadir untuk mengawal bukan menimbulkan provokasi

'Polis, bersedialah disaman'

(dipetik dari Malaysiakini.com)

Pihak polis yang didakwa melakukan kekasaran dalam perhimpunan mahasiswa menuntut prokebebasan akademik di Tanjung Malim awal pagi tadi diingatkan supaya bersedia menghadapi tindakan saman di mahkamah.

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS hari ini berkata, tidakan tersebut jelas tindakan yang zalim, tidak munasabah dan bertentangan dengan norma-norma hak asasi manusia.

"JUHAM yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para Mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di Mahkamah," Kata pengarahnya Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

"Malah, JUHAM bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa ini sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu JUHAM kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan."

Justeru, dalam kenyataannya hari ni, JUHAM menyeru saksi kejadian tampil dan menghubungi JUHAM bagi  membantu pihaknya mengumpulkan bukti "keganasan" polis dalam perhimpunan tersebut.

Katanya, lima peguam JUHAM termasuk dirinya sendiri kini sudah berkampung di balai polis Tanjung Malim sejak awal pagi bagi menunjukkan sokongan dan kesediaan mewakili mahasiswa  sekiranya polis mahu mendapatkan reman untuk terus menahan.

Jawatankuasa  itu juga menyifatkan tindakan polis malam tadi sebagai pilih kasih dan tidak seperti layanan yang diterima oleh Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) yang berhimpun pada 21 Disember lalu.

Pemuda PAS ikrar bela mahasiswa

,
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.

Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi  berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.

Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.

Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.

“Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.

Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.

Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah,” katanya.

Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.

“Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara,” tegasnya.