22 May 2012

Saksi: Jika enggan Interpol boleh tangkap

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi akan disapina agar datang ke mahkamah Perancis untuk memberikan keterangan.


(Apakah Najib dan Zahid boleh tersenyum lagi di mahkamah Perancis nanti)

Peguam Suaram yang baru pulang dari Perancis Fadiah Nadwa Fikri berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada mahkamah Perancis tentang saksi-saksi yang akan dipanggil itu.

Turut disenaraikan sebagai saksi adalah bekas penasihat Najib, Abdul Razak Baginda dan isterinya Mazlinda.

Mahkamah Perancis sedang menyiasat dakwaan rasuah dalam pembelian dua kapal selam Scorpean yang dibuat oleh syarikat Perancis.

“Bila kami berjumpa dengan hakim pada 16 Mac lalu, kami telah serahkan senarai saksi yang perlu disapina agar datang ke mahkamah.

“Kami memberikan nama Najib Tun Razak, Zahid Hamidi and Razak Baginda,” kata Fadiah dengan mendapat tepukan gemuruh dari lebih 2,000 yang hadir dalam ceramahnya di Third Mile Bazaar, Kuching Ahad lepas lapor Free Malaysia Today.

Apabila kesnya difailkan di Perancis, Zahid berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh.

Namun, baru-baru ini selepas namanya disebutkan sebagai saksi, Zahid berkata beliau keberatan untuk pergi ke sana kerana tidak ada dana yang cukup untuknya.

"Siapa akan membayar kos penerbangan dan hotel saya di Perancis, " soal Zahid.

Fadiah (gambar) dalam ceramahnya berkata, rakyat Malaysia sedia membayar kos penerbangan dan hotel Zahid di Perancis asalkan beliau sedia memberikan keterangan.

Menurut beliau, jika mereka enggan datang menjadi saksi selepas sapina dikeluarkan, mahkamah akan mengeluarkan notis sekali lagi.

Jika gagal hadir juga, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa mereka hadir.

"Dan jika mereka gagal lagi, Interpol (International Police) boleh mengeluarkan amaran dan boleh ditangkap dan dibawa ke mahkamah Perancis," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia mula memberikan respon ke atas laporan ini dengan berkata mereka sedia menyumbang untuk membolehkan mereka berdua (Najib dan Zahid) menjadi saksi.

"Saya akan menyumbangkan RM1.00 dari wang yang saya cari dengan susah payah untuk menampung kos mereka. Jika tak cukup, saya boleh tambah RM1.0 lagi," kata Cheong Seng Keong.

Namun katanya, "Saya tidak mahu menyumbang untuk kondom mereka."


Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/10490--saksi-jika-enggan-interpol-boleh-tangkap

16 May 2012

Akademi Undang-undang 'sabotaj' demokrasi


KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan menghidupkan kembali Malaysian Academy of Law Bill sebagai organisasi baru selain Majlis Peguam untuk mewakili golongan itu dilihat cubaan mensabotaj demokrasi.

Bagi Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), beliau melihat cadangan itu tidak ubah seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) oleh pusat, di negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat selepas PRU 2008 lalu.

Menurut Dzulkefly, biarpun diperingkat negeri sudah ada Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK), namun kerajaan tetap juga mewujudkan JKKKP yang dilihat cuba 'mengambil kuasa' JKKK yang dilantik kerajaan negeri.

"Begitulah cara Umno, bila ada benda yang dikeluarkan tak sebulu dengan dia, dia buat yang lain. Ia sama dengan tindakan tubuh JKKKP bila BN kalah di negeri ditawan Pakatan. 

"Ini ialah tabiat jelek untuk lakukan 'subversion' atau 'sabotaj' demokrasi dan institusinya," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin yang bersetuju jika agensi baru seperti Akademi Undang-undang ditubuhkan selain Majlis Peguam sedia ada.

Cadanagn Nazri itu dipercayai dibuat ekoran 12 usul tergempar yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam pada 11 Mei lalu berhubung himpunan Bersih 3.0.

Antara lain, usul itu mengutuk tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih terhadap peserta.

Selain itu mereka juga menyalahkan polis kerana tidak memberikan masa yang secukup untuk perserta bersurai secara teratur dan selamat dengan mendakwa ia kemudian mendorong kepada penahanan yang tidak wajar.

Mengulas lanjut Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, cadangan Nazri itu berbaur politik dan cuba untuk 'undermine' wibawa Majlis Peguam.

Sedangkan katanya Majlis Peguam ditubuhkan secara sah di bawah Akta Profesion Guaman 1976 bagi mengawal amalan, standard, etik dan lesen amalan peguam.

"Usaha ini telah dua kali mereka lakukan dahulu tetapi terpaksa dihentikan.  

"Tindakan kerajaan untuk menghidupkan kembali cadangan akademi ini dilihat umum sebagai langkah memadamkan suara perbezaan 'legitimate dissent' yang menyemak imbang suara eksekutif," katanya.


Kalau polis belasah, apa perlu mahkamah?



KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kalau polis ikut suka hati pukul peserta Bersih 3.0 yang menyerah diri, tidak perlu ada mahkamah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil mengutuk tindakan membelasah Mohd Safuan Mamat, peserta Bersih yang menyerah diri dengan sukarela, beliau melihat tindakan itu akan menambahkan kebencian rakyat.

"Kalau sudah tidak mahu ikut peraturan dan seronok sangat membelasah orang ikut suka hati, suruh polis runtuhkan semua mahkamah dan lepas itu bolehlah mereka hukum orang ikut suka hati," kata Mohamad yang ternyata marah dengan tindakan tersebut.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai sengaja tidak mahu mengikut peraturan.

"Mereka sengaja tidak mahu ikut peraturan dan saya tidak mahu cakap fasal peraturan dan sifat perikemanusiaan sebab saya sudah tidak nampak sifat-sifat itu ada pada mereka yang membelasah orang lain sesuka hati," katanya.

Mohamad yakin, jika kekejaman seperti itu berterusan dan berleluasa, mungkin jutaan rakyat akan berhimpun sendiri tanpa perlu digerakkan oleh mana-mana pemimpin atau pertubuhan.

"Hari ini, sebahagian rakyat sudah tidak nampak perbezaan antara polis dan Umno.

"Jika rasa sakit hati rakyat tidak dapat dikawal lagi, bukan lagi ratusan ribu malah berjuta rakyat akan berhimpun sendiri di seluruh negara melawan Umno," katanya.

Mohamad juga yakin apa yang berlaku itu akan menjadikan rakyat semakin nampak keengganan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) untuk menerima dan menyetujui pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya yakin, isu utama yang rakyat nampak dengan lebih jelas ialah Umno BN tidak mahu pilihan raya yang adil dan bersih," kata beliau.

Rakyat juga, katanya, akan semakin memahami bahawa tindakan ganas yang berterusan itu adalah disebabkan ketakutan Umno apabila melihat ratusan ribu rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

"Mereka tidak sangka ratusan ribu rakyat berhimpun, mereka panik dan seperti kerbau yang disembelih, dia menendang-nendang sana sini," katanya.

Mohd Safuan yang membuat laporan polis semalam terhadap tindakan membelasahnya itu berkata, dia ditahan dan dipukul oleh pihak polis selepas menyerah diri pada hari Isnin.

Pemuda dari Marang, Terengganu itu mengadu, selepas ditendang masuk ke dalam sebuah bilik, beliau dipukul di mukanya dengan batang paip hitam oleh anggota polis yang memakai pakaian seragam sambil memaksa beliau mengaku beliaulah yang memukul kereta polis ketika perhimpunan Bersih 3.0.

Mohd Safuan juga dipukul di bahunya dengan batang paip hitam itu.

Apabila dibawa ke lokap, beliau ditampar pula oleh tahanan lain selepas polis yang membawanya ke lokap itu memberitahu "dia ni Bersih, gangster".

Mohd Safuan juga mengadu beliau dipaksa membuat pengakuan dan menandatangani borang tertentu.



Mohd Safuan dihadapkan di hadapan Hakim Mahmud Abdullah  di Mahkamah Sesyen [5] Kuala Lumpur pada 16/5/2012 dan dipertuduhkan di bawah seksyen 440 dan 174 Kanun Keseksaan.  Beliau diwakili peguam Tajudin Razak dan Ahmad Deniel Roslan dari JUHAM Pusat, manakala pendakwaan oleh TPR Mohamad Hanafiah Zakaria.  Mohd safuan diikat jamin sebanyak RM 1500.00 dan kes ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 6 Jun 2012.

Bersih 3: Maklum peguam, keluarga jika ditahan


KUALA LUMPUR: Mana-mana peserta Bersih 3.0 yang diburu polis diingatkan agar memaklumkan ahli keluarga, rakan ataupun peguam sekiranya ditahan polis.

Mereka juga diingatkan agar memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis apabila ditahan bagi mengelakkan sebarang masalah lain.

Demikian ditegaskan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi(gambar) kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pihak polis yang akan terus memburu 121 peserta Bersih 3.0 hingga ke pintu rumah, jika tidak menyerah diri.

Zamri juga berkata Juham yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia itu bersedia mewakili mereka yang ditahan, khususnya di kalangan ahli PAS.

Dalam pada itu, Juham juga mengingatkan pihak polis agar memburu anggota polis yang didakwa terlibat dengan kekasaran ke atas peserta himpunan.

Kata Zamri, pelaksanaan undang-undang di negara ini perlu dikenakan secara adil ke atas pihak yang terbabit, tanpa mengira sesiapa, biarpun ia membabitkan anggota polis.

"Pelaksanaan undang-undang perlu adil.  Dalam mereka memburu peserta Bersih, bagaimana dengan anggota polis yang bertindak mengasari peserta?  Adakah mereka dikecualikan?" soal beliau.

Zamri juga turut mengingatkan pihak polis agar memberikan jaminan bahawa pihak polis tidak akan mengapa-apakan mereka yang ditahan.

Bagaimanapun, beliau masih menyuarakan kebimbangan berhubung perkara tersebut memandangkan terdapat kes peserta yang ditahan sebelum ini didakwa dikasari pihak polis.

Beliau mendakwa perkara itu berlaku terhadap seorang peserta Bersih, Mohd Safwan dari Terengganu yang dikatakan dipukul dan dilibas dengan getah paip ketika ditahan polis.

"Kita minta jaminan pihak polis untuk tidak mengapa-apakan mereka.  Siasatan boleh dilakukan, tetapi tidak perlu menggunakan kekerasan ke atas mereka," tegas beliau.

Ekoran perhimpunan aman Bersih 3.0, 28 April lalu, pihak polis memburu 121 peserta himpunan yang dikatakan melakukan kekecohan pada perhimpunan tersebut dengan menyiarkan gambar mereka di media-media utama.