KUALA LUMPUR, 23 Nov — Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah ke atas akhbar milik Umno Utusan Malaysia, mendakwa akhbar tersebut memutarbelitkan kenyataan beliau menyokong orang Melayu murtad dalam sebuah forum — isu sensitif bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia.
Kes itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan ketua pengarang akhbar tersebut, Datuk Aziz Ishak, dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai defendan.
Ahli parlimen Lembah Pantai itu menuntut akhbar tersebut memohon maaf di muka hadapan akhbar berkenaan dengan laporan akhbar tersebut yang dikatakan mempunyai elemen “fitnah aqidah”.
Beliau juga menuntut injuksi kekal ke atas Utusan bagi menghalang akhbar tersebut terus menyiarkan artikel sama.
Beliau tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dituntut dalam saman tersebut.
Nurul Izzah (gambar, kanan) diwakili oleh peguamnya Mohd Hanipa Maidin dan Datuk Sulaiman Abdullah.
Hanipa yang juga peguam dari PAS berharap tarikh untuk perbicaraan itu akan diumumkan dua hari lagi.
Naib presiden PKR itu diserang oleh golongan agama dan ahli politik Umno berkenaan kenyataan beliau dalam forum “Negara Islam: Versi Mana? Tanggungjawab Siapa?” di Subang Jaya pada 3 November.
Golongan konservatif menuduh kenyataan beliau bermakna menyokong umat Islam menjadi murtad atau keluar dari agama.
Tetapi beliau menafikan menyokong murtad di dalam negara yang majoritinya Melayu beragama Islam, 60 peratus dari 28 juta penduduk.
Isu kaum dan agama tidak boleh dipisahkan di Malaysia dimana di dalam Perlembagaan, Melayu dikategorikan sebagai Muslim.
Undang-undang tertinggi negara menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan tetapi agama-agama lain bebas untuk diamalkan.