16 January 2015

KES MEJAR ZAIDI-SIAPA YANG SEBENARNYA DIBICARAKAN ?

KES MEJAR ZAIDI-SIAPA YANG SEBENARNYA DIBICARAKAN ?
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Mahkamah Tentera telah memutuskan hero Malaysia, Mejar Zaidi bersalah atas dua pertuduhan dan lantas menjatuhkan hukuman buang kerja. Sebagai peguambela beliau saya langsung tidak hairan dan terkejut dengan hukuman tersebut.

Hakikatnya sebaik sahaja Mejar Zaidi mengambil satu keputusan melakukan tindakan berani membuat laporan polis dengan uniform tentera atas isu cap jari yang tidak kekal dalam Pilihanraya Umum yang lalu , beliau hakikatnya telah di"hukum" meskipun sebelum dibicarakan di Mahkamah Tentera.

Semasa perbicaraan didedahkan bagaimana Mejar Zaidi telah diberikan tugas yang "tidak wujud"dalam skim penjawatan selepas tindakan berani beliau tersebut meskipun beliau adalah seorang juruterbang pesawat pejuang TUDM.

Artikel ini bertujuan untuk berkongsi maklumat "first hand" dari peguambela beliau sendiri tentang apa yang berlaku dalam kes tersebut dan terpulanglah kepada pembaca kemudiannya membuat kesimpulan sendiri tentang perbicaraan tersebut .

Mejar Zaidi pada asalnya dikenakan tujuh pertuduhan . Apabila saya membantah pertuduhan asal itu kerana wujudnya kecacatan pada kertas pertuduhan , Mahkamah Tentera telah membatalkan lima dari pertuduhan tersebut dan hanya mengekalkan dua pertuduhan. Bagaimanapun Pihak Berkuasa Sidang ( badan yang membuat keputusan tentang pendakwaan dan penjalanan kes di Mahkamah Tentera ) telah mengembalikan semula lima pertuduhan yang ditolak itu dengan membuat pindaan ke atas pertuduhan pertuduhan itu disamping mengekalkan dua pertuduhan yang asal.

Selepas semua saksi pihak pendakwa dipanggil maka Mahkamah perlu memutuskan sama ada pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes prima facie ke atas kesemua tujuh pertuduhan itu. Saya berhujah pendakwa gagal buktikan kes prima facie ke atas kesemua pertuduhan itu dan pendakwa pula berhujah sebaliknya.

Akhirnya Mahkamah yang dianggotai oleh lima orang panel hakim telah memutuskan pendakwa telah gagal membuktikan kes prima facie bagi lima pertuduhan tapi berjaya membuktikan kes prima facie bagi dua pertuduhan iaitu pertuduhan kedua dan ketiga.Maka Mahkamah telah memutuskan Mejar Zaidi dipanggil membela diri bagi dua pertuduhan tersebut.

Sebagai peguam beliau , saya ( bersama sama peguam Nasar Khan dan Aminuddin Zulkifli ) menerima dengan lapang dada keputusan tersebut meskipun keputusan itu agak pelik dan alasan yang diberikan agak aneh. Maka kami pun mula berbincang bagi menyediakan pembelaan Mejar Zaidi. Sehingga tarikh keputusan prima facie itu dibuat saya masih yakin Mahkamah Tentera akan mengendalikan kes Mejar Zaidi dengan adil dan tanpa wujudnya sebarang elemen "prejudgment"atau berat sebelah.

Namun saya silap. Dalam masa dua atau tiga hari sebelum tarikh perbicaraan bagi Mejar Zaidi membela diri diteruskan saya dimaklumkan oleh anakguam saya itu bahawa Tuan Yang DiPertua Mahkamah Tentera yang mempengerusikan panel hakim yang mendengar kes tersebut telah membuat satu komen tentang kes tersebut di portal Malaysiakini.

Mana mana pembaca Malaysiakini yang ingin memberi komen di dalam mana mana artikel di portal online itu perlu mempunyai akaun facebook . Apabila kami membuat semakan ke atas penama yang membuat komen tentang laporan berita mengenai perbicaraan Mejar Zaidi itu kami mempunyai asas yang kuat dan kukuh untuk mempercayai individu yang membuat komen itu adalah pemilik akaun facebook yang secara jelas merujuk kepada Tuan Yang Dipertuan Mahkamah Tentera itu.Komen di Malaysiakini itu dibuat selepas saya berhujah tentang kes prima facie dan sebelum Mahkamah memutuskan meminta Mejar Zaidi dipanggil membela diri.

Maka sudah jelas wujudnya elemen berat sebelah ( bias ) dan "prejudgment" yang menjejaskan perbicaraan yang adil ke atas Mejar Zaidi. Bagaimanakah Mejar Zaidi dan peguam beliau yakin komen Yang DiPertua yang mempengerusikan Mahkamah Tentera tidak mempengaruhi keputusan Mahkamah Tentera yang memutuskan Mejar Zaidi dipanggil membela diri.

Maka sebagai peguambela beliau saya melakukan perkara yang pasti dan wajar akan dilakukan oleh mana mana peguambela khususnya yang biasa mengendalikan kes jenayah. Saya menasihati anakguam saya supaya membuat aduan tentang perkara itu kepada Pihak Tertinggi Tentera dan anakguam saya telah membuat aduan bertulis dan rasmi tersebut.

Di Mahkamah Tentera saya telah membuat permohonan bertulis disokong oleh Afidavit meminta Pihak Berkuasa Sidang membubarkan Mahkamah Tentera di bawah seksyen 111 ( 1 ) Akta Tentera 1972 kerana menurut seksyen tersebut Pihak Berkuasa Sidang mempunyai kuasa untuk membubarkan Mahkamah Tentera sekiranya wujudnya elemen elemen yang boleh menjejaskan perbicaraan yang adil ke atas orang yang dituduh.

Saya memaklumkan kepada Mahkamah bagaimanakah anakguam saya boleh yakin Mahkamah yang membicarakan kes beliau akan berlaku adil kepada beliau jika anggota Mahkamah sendiri terlibat memberi komen ke atas anakguam saya ketika kes masih berjalan.

Saya juga memberitahu Mahkamah aduan terhadap Tuan Yang DiPertua Mahkamah telah dibuat oleh anakguam saya kepada pihak tertinggi tentera ,  maka perbicaraan tidak sewajarnnya diteruskan sehingga keputusan siasatan tentang aduan anakguam saya itu diperolehi.

Saya juga maklumkan kepada Mahkamah " Untuk makluman Mahkamah sebaik sahaja anakguam saya membuat aduan tentang komen di Malaysiakini itu secara tiba tiba akaun Facebook pihak yang membuat komen itu kini telah terpadam."Saya maklumkan kejadian akaun facebook itu secara tiba tiba terpadam lebih misteri daripada misteri kehilangan pesawat MH 370.

Pihak Berkuasa sidang menolak permohonan Mejar Zaidi untuk membubarkan Mahkamah Tentera dan membebaskan beliau dan keputusan itu dibuat tanpa Mejar Zaidi dan peguam beliau dipanggil dan diberi peluang memberi apa apa penjelasan. Maka saya telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membatalkan keputusan tersebut.

Apabila Mahkamah ingin meneruskan perbicaraan saya meminta kes ditangguh sehingga keputusan Mahkamah Tinggi tentang semakan kehakiman diberikan. Permohonan saya ditolak. Saya juga membuat permohonan supaya kes tidak diteruskan kerana kami masih tidak tahu tentang status siasatan aduan Mejar Zaidi . Sekali lagi ditolak.

Saya bangun lagi dan membuat permohonan jika Mahkamah ingin teruskan pihak membela meminta supaya Tuan Yang Dipertua dipanggil sebagai saksi pembela kerana pembelaan kami bagi kes ini adalah ketidakwujudan perbicaraan yang adil kerana ia tidak dikendalikan mengikut prinsip prinsip keadilan. Bersandar pembelaan itu saya berhujah peguambela Mejar Zaidi berhak menyoal pihak yang terlibat dalam membuat komen di Malaysiakini itu sebagai saksi. Permohonan kami ini juga ditolak.

Mahkamah berkeras meminta saya memanggil saksi. Saya mengatakan kami tidak ada saksi lain kecuali Tuan Yang DiPertua Mahkamah.Saya juga memaklumkan kepada Mahkamah bagaimanakah seorang tertuduh seperti Mejar Zaidi boleh meneruskan perbicaraan di hadapan panel hakim yang diragui integriti mereka dengan wujudnya komen yang dibuat oleh anggota panel hakim semasa kes masih dalam proses perbicaraan. Sehingga sekarang Mahkamah tidak dapat menjawab soalan saya itu kecuali menyatakan kami terpaksa teruskan !

Akhirnya Mahkamah meminta kami membuat hujah penggulungan selepas semua permohonan kami ditolak oleh Mahkamah. Pada hari penggulungan hujah itu saya memberitahu Mahkamah saya akan berhujah tetapi berhujah secara protes kerana saya tidak mengiktiraf panel  Mahkamah yang mendengar kes ini yang bagi saya telah dicemari oleh unsur unsur yang menjejaskan integriti dan kredibilitinya .

Dan saya juga memberitahu Mahkamah bahawa hujah saya hanya satu iaitu berdasarkan apa yang berlaku dalam kes ini adalah satu yang mustahil Mejar Zaidi akan mendapat perbicaraan yang adil . Maka, hujah saya, satu satunya remedi atau jalan keluar bagi kemelut ini adalah Mahkamah sewajarnya mengisytihatkan perbicaraan ke atas Mejar Zaidi sebagai "mistrial".

Mistrial adalah salah satu pembelaan pihak tertuduh jika Mahkamah tidak lagi mampu mengendalikan perbicaraan secara adil dan mengikut lunas lunas keadilan.

Apa yang berlaku ? Mahkamah Tentera tidak membenarkan saya membuat penggulungan hujah mengenai mistrial meskipun saya telah menyediakan hujah dan nas nas bagi menyokong hujah saya.

Apabila berhujah tentang mistrial juga tidak dibenarkan saya pun menyatakan sayonara kepada Mahkamah dan terpulanglah kepada Mahkamah untuk buat apa sahaja yang mereka ingin putuskan. Mejar Zaidi juga redha dengan keputusan peguambela beliau yang mendapat restu sepenuhnya dari beliau.

Dalam keadaan senario di atas terpulanglah kepada para pembaca sekelian untuk membuat tanggapan sendiri tentang kes Mejar Zaidi ini iaitu sama ada beliau diberikan perbicaraan yang adil atau tidak ? Atau adakah Mahkamah yang membicarakan kes Mejar Zaidi ini benar benar Mahkamah Tentera atau ianya Mahkamah Kanggaroo?

Sejarah akan tentukan siapakah yang sebenarnya dibicarakan dalam kes Mejar Zaidi ini ...beliau atau Mahkamah Tentera itu sendiri ? Sepertimana kata kata Hakim Ehud Barak..."when a judge sits to judge he is in fact being judged " ( "Ketika mana seorang hakim duduk menghakimi kes,  hakim itu sendiri hakikatnya yang sedang dihakimi" )

15 January 2015

KENYATAAN MEDIA JUHAM NEGERI SABAH

KENYATAAN MEDIA JUHAM NEGERI SABAH
06 NOVEMBER 2014

Mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah khususnya Mahkamah Tinggi Syariah Tawau diatas perlaksanakan hukuman sebat secara terbuka bagi kesalahan syariah yang pertama di negara ini pada 28 Oktober 2014 bersamaan 4 Muharram 1436H. Perlaksanaan hukuman sebatan syariah bagi kesalahan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 3 (Sabah) 1995 ini memperlihatkan kesungguhan Jabatan Kehakiman Negeri Sabah mempastikan hukuman-hukuman syariah yang diperuntukkan di dalam undang-undang dapat dilaksanakan.

DPPNS juga merakamkan penghargaan di atas kebijaksanaan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Tawau, Yang Arif Tuan Ahadin Bin Arinen yang telah mensabitkan pesalah berdasarkan pengakuan bersalah yang dibuat dihadapan beliau. YA Tuan Ahadin bukan sahaja telah menjatuhkan hukuman dengan bijaksana, malahan telah mengambil kesempatan setelah hukuman dijalankan untuk memberikan ucapan yang amat berguna kepada pesalah, pegawai mahkamah, peguam dan orang ramai yang hadir menyaksikan hukuman tersebut tentang keindahan dan keadilan undang-undang Islam. Saya memetik ucapan beliau:

“Alhamdulillah. Sebentar tadi kita semua telah menyaksikan di hadapan mata kita perlaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah atas kesalahan zina. Hukuman sebat adalah satu hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada orang yang melakukan zina sebagaimana disebutkan dalam surah an Nuur: 2 yang berbunyi: “Perempuan yang berzina dan laki laki yang berzina, hendaklah kamu sebat kedua-duanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh kumpulan daripada orang yang beriman”.

Para hadirin semua telah menyaksikan betapa hukuman sebat yang telah ditetapkan Allah itu bukanlah satu hukuman menyiksa atau mendera atau mengazab pesalah. Ia jauh sekali lebih ringan berbanding hukuman yang dikenakan dari Mahkamah Awam. Inilah dia hukuman yang selama ini digeruni dan ditakuti oleh ramai orang selama ini. Mereka menyangka betapa kejam dan dahsyatnya hukuman sebat dalam Islam. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap hukuman ini. Namun, hari ini, para hadirin semua dapat saksikan depan mata. Apakah benar dakwaan orang-orang tersebut bahawa hukuman Islam ini kejam? Anda semua boleh menjawapnya hari ini. Para hadirin semua, dalam Islam, perlaksanaan hukuman hendaklah dilakukan di khalayak umum. Ini telah disebutkan sendiri oleh Allah dalam surah an Nuur: 2 yang dibacakan tadi. Allah menegaskan bahawa hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman. Tujuannya bukan mendera, bukan menyeksa, tetapi untuk memberi pengajaran, pendidikan dan keinsafan kepada kepada pesalah dan orang lain, lebih-lebih lagi kepada orang yang menyaksikan hukuman itu, jangan sampai perbuatan ini dilakukan lagi oleh pesalah atau orang yang menyaksikan atau ahli-ahli keluarga yang menyaksikan dan juga oleh masyarakat. Kesannya adalah kepada jiwa dan minda manusia. Inilah dia keindahan dan mutiara Islam yang perlu diketahui orang.

Ketika ini, pemerintah hanya memberi mahkamah syariah kuasa untuk menghukum sebat paling maksima 6 kali sebatan sahaja berbanding 100 kali sebagaimana yang diperintahkan Allah. Dan hari ini, Mahkamah ini telah mengambil dan melaksanakan kuasa yang diberi oleh pemerintah itu. Kita doakan semoga pihak pemerintah akan memperkasa lagi undang-undang yang sedia ada sehingga benar-benar menurut apa yang disebutkan dalam Al Quran pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin. Semoga Allah meredhai perlaksanaan hukuman pada hari ini dan menghitungnya sebagai sebahagian daripada amal soleh dan usaha kita semua untuk memartabatkan hukum Allah di muka bumi. Semoga dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah ini diampuni Allah. Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum pada hari ini membawa rahmat kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Sekian. Wassalamualaikum wbt”.

DPPNS juga mengucapkan penghargaan kepada jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis dan lain-lain yang telah memberikan kerjasama sehingga terlaksananya hukuman sebatan syariah ini. DPPNS menyatakan bahawa ini menunjukkan bahawa perlaksanaan undang-undang Islam mampu dilaksanakan sekiranya semua pihak khususnya kerajaan memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman Syariah.

DPPNS mengambil kesempatan untuk mencadangkan agar pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah menggiatkan usaha memberikan pendedahan dan penerangan kepada rakyat berkenaan undang-undang Islam dan hukuman-hukuman yang diperuntukkan bagi menghakis sikap prejudis dan salah faham . DPPNS juga mencadangkan agar Mahkamah Syariah Negeri Sabah menjemput Badan Bukan Kerajaan (NGO), pegawai-pegawai kerajaan, Ahli-ahli politik dan orang ramai bagi melihat sendiri prosedur perlaksanaan hukuman sebat ini. Walaupun hukuman yang dilaksanakan ini tidak memenuhi tuntutan sebenar hukuman bagi kesalahan hudud, setidak-tidaknya ia mampu memberikan gambaran kepada masyarakat bagaimana hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah dilaksanakan.

DPPNS juga menggesa agar Jabatan Kehakiman Syariah negeri-negeri lain mengambil langkah proaktif mencontohi langkah berani Mahkamah Syariah Sabah dan kami berharap agar pihak kerajaan mengambil langkah yang lebih serius bagi memberikan pendedahan kepada rakyat Malaysia tentang keadilan dan kesaksamaan yang ditawarkan oleh Undang-undang Islam.

Sekian, Terima Kasih.

Yang benar,

Haris Bin Alimudin
Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Sabah &
Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu Sapi.

KEPUTUSAN KES TRANSGENDER-SATU PENILAIAN

KEPUTUSAN KES TRANSGENDER-SATU PENILAIAN
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Mahkamah Rayuan pada 7/11/2014 mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah tidak berperlembagaan. Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 66 memperuntukkan “ mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Antara alasan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan adalah Seksyen 66 dirangka untuk mencegah kesan negatif kepada masyarakat, yang antaranya membendung kegiatan homoseksual dan lesbian yang menyebabkan penyebaran HIV.

"Kes ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan homoseksual. Kes ini mengenai lelaki Islam dengan keadaan perubatan yang dikenali sebagai GID," katanya. GID merujuk kepada Gender Identity Disoder.

Hishamuddin berkata terdapat kesilapan di pihak hakim apabila tidak mengambil kira bukti perubatan yang tidak disangkal di hadapannya. Beliau berkata pihak berkuasa negeri gagal menolak laporan perubatan yang dikemukakan oleh pakar psikiatri Dr Ang Jin Kiat dan pendapat pakar perunding psikiatri Dr Deva Dass.

Hishamuddin berkata mufti negeri memberikan pendapatnya apabila pertikaian dah di bawa ke mahkamah.

"Kami ingin menjelaskan sama ada atau tidak Seksyen 66 selaras dengan ajaran Islam atau tidak bukan satu isu dalam kes ini," katanya.

Para pemohon, Muhammad Juzaili Mohd Khamis, Shukor Jani dan Wan Kay Yusof Wan Ismail yang merupakan wanita transgender ditangkap beberapa kali kerana melanggar enakmen negeri. Mereka akhirnya memfailkan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan tidak berperlembagaan sebuah fatwa syariah yang melarang lelaki daripada "memakai pakaian perempuan" atau "menyamar sebagai seorang wanita" di Negeri Sembilan.

Mahkamah Tinggi pada bulan Oktober 2012 memutuskan mereka perlu mematuhi undang-undang kerana mereka Muslim dan dilahirkan lelaki.

Saya ingin memberikan sedikit komentar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut namun harus dinyatakan di sini komen ini bukanlah suatu komen yang terperinci yang menyentuh setiap aspek penghakiman tersebut. Sebaliknya ia lebih bersifat umum dan hanya memfokus intipati penghakiman itu sahaja.

Biarlah saya mulakan begini. Walaupun seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan itu agak jelas iaitu seksyen yang men”jenayah”kan mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam namun fakta kes di hadapan Mahkamah tidak sejelas peruntukkan di seksyen 66 tersebut.

Dengan lain perkataan jika kes seorang yang jelas dilahirkan sebagai seorang lelaki normal dan tidak menghadapi apa apa masalah untuk hidup dan berkelakuan seperti lelaki dalam kehidupannya sehari hari maka tindakan lelaki normal itu memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah jelas melanggar seksyen 66 tersebut.

Bagaimanapun apa yang berlaku dalam kes ini adalah Mahkamah berhadapan dengan satu isu di mana meskipun ketiga-tiga pemohon tersebut dilahirkan sebagai seorang lelaki namun mereka telah dibuktikan melalui keterangan perubatan mengidap penyakit yang dikatakan “Gender Identity Disoder” ( GID ) di mana keterangan ini tidak disangkal oleh pihak Jabatan Agama Negeri Sembilan.Dalam keadaan begitu persoalan yang timbul adakah seksyen 66 itu terpakai kepada ketiga-tiga pemohon tersebut ? Atau wajarkah atau adilkah mereka dikenakan apa apa pertuduhan di bawah seksyen 66 tersebut ?

Saya melihat pihak Jabatan Agama Islam hanya melihat dari sudut mereka bertiga dilahirkan sebagai lelaki dan beridentitikan seorang lelaki berdasarkan nama dan identity kelahiran mereka tanpa mengira bahawa mereka mengidap GID. Di situlah , dengan hormat, saya berpendapat mereka tersilap kerana terlalu mudah menangkap dan menghukum mereka bertiga.

Saya berpendapat memandangkan wujudnya bukti perubatan yang tidak disangkal bahawa ketiga tiga pemohon itu mempunyai masalah GID maka tidak wajar mereka didakwa di bawah seksyen 66 kerana wujudnya keraguan pemakaian seksyen 66 ke atas mereka.

Bagaimanapun adakah seksyen 66 tersebut wajar dikatakan bercanggah dengan Artikel Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan ? Artikel 5 berkaitan dengan tiada mana –mana orang boleh dilucutkan kehidupan ( life ) dan kebebasanya ( liberty ) kecuali menurut undang-undang. Artikel 8 pula menyentuh tentang hak sama rata di sisi undang-undang. Artikel 9 mengenai hak kebebasan bergerak ( freedom of movement ) manakala Artikel 10 berkaitan tiga hak iaitu hak kebebasan bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan berpersatuan. Dalam kes ini saya percaya ia lebih merujuk kepada kebebasan berekspresi.

Saya berpendapat meskipun Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang bagi saya adil dan wajar kepada ketiga-tiga pemohon itu namun saya , dengan hormat, berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan seksyen 66 itu adalah bercanggah dengan Artikel 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan adalah satu kesilapan atas alasan alasan berikut.

Pertamanya seksyen 66 itu bagi saya adalah satu kesalahan jenayah syariah yang dipanggil taazir yang mana ia secara jelas di bawah kuasa Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Negeri Sembilan maka seksyen itu adalah satu yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keduanya meskipun GID boleh dihujahkan menghalang seksyen 66 ini terpakai kepada “lelaki” yang tergolong dalam ketegori seperti pemohon-pemohon dalam kes ini ia tidak dengan sendirinya bermakna seksyen ini masih tidak boleh dipakai ke atas kes-kes yang secara jelas merujuk kepada lelaki yang normal dan dengan secara sengaja memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam. Jadi saya tidak nampak bagaimanakah seksyen 66 itu dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketiganya bagi saya Mahkamah perlu membezakan antara tindakan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama dan seksyen 66 itu . Bagi saya tindakan penguatkuasa undang-undang yang seharusnya dicabar dan bukannya seksyen 66 itu kerana seksyen 66 itu bagi saya lebih berbentuk umum maka insiden yang spesifik tidak sewajarnya menyebabakan seluruh seksyen 66 dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh jika seksyen 66 dikatakan bercanggah dengan Artikel 8 kerana isu perbezaan gender adakah Mahkamah juga akan katakan kes pembahagian faraid juga bercanggah dengan Artikel 8 kerana ia membezakan pembahgian harta pusaka antara lelaki dan perempuan ?

Keempat bagi saya Mahkamah seharusnya memutuskan bahawa seksyen 66 itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan sebaliknya tindakan penguatkuasa itu mungkin boleh ditafsirkan bercangah dengan Perlembagaan .

Mengenai kenyataan setengah pihak bahawa Mahkamah Sivil tidak seharusnya terlibat dalam kes ini kerana Artikel 121A Perlembagaan Persekutuan, bagi saya ini hujah yang tidak betul kerana isu di sini bukan isu bidangkuasa tetapi isu adakah sesuatu undang-undang itu bercanggah atau tidak bercanggah dengan Perlembagaan ? Maka ia adalah termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Akhirnya saya rasa berpendapat ketiga –tiga pemohon itu tidak wajar sama sekali ditangkap dan didakwa di bawah seksyen 66 tersebut dan saya bersetuju Mahkamah Rayuan melindungi hak mereka . Namun saya tetap berpendapat alas an Mahkamah Rayuan bahawa seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah sukar untuk dipertahankan.

Kita lihatlah bagaimana Mahkamah Persekutuan melihat isu ini nanti .