21 January 2010

Kewajaran Berpoligami : Satu Aspek Pandangan Undang-Undang dan Hukum Syarak



Oleh: JURAISH BIN KAMARUDDIN (JAKESS 241)

Peguam Syarie

# Nota Penerbit: Makalah ini adalah sebahagian daripada hujahan peguam yang digunakan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami daripada Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor Darul Ehsan. Nama dan butiran Plaintif dan Defendan telah dipadamkan bagi tujuan kerahsiaan. Kes ini telah diputuskan dan YA Hakim telah membenarkan permohonan tersebut. Oleh kerana penerbit berpendapat isu poligami ini banyak menimbulkan polemik dalam masyarakat, maka masyarakat perlu didedahkan mengenai asas persyariatan hukum berpoligami ini dari aspek perundangan dan undang-undang. Semoga peguam syarie yang bermurah hati membenarkan hujahannya ini diterbitkan mendapat ganjaran yang sewajarnya di sisi Allah Taala dan semoga masyarakat umum dapat memanfaatkan makalah ini semaksima mungkin.

HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

KETERANGAN DAN FAKTA KES

Pihak-Pihak

1. Kes ini merupakan tuntutan Plaintif xxx (No.K/P: xxx) terhadap Defendan yyy (No. K/P: xxx). Plaintif adalah suami kepada Defendan. Manakala Defendan adalah isteri kepada Plaintif.

Jenis Tuntutan

2. Kes ini didaftarkan sendiri oleh Plaintif, dimulai dengan saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 06/10/2009. Tuntutan Plaintif ialah untuk memohon kebenaran berkahwin secara poligami (untuk isteri kedua) di bawah seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Ini adalah kali pertama Plaintif memohon kebenaran berpoligami. Sebelum ini Plaintif tidak pernah membuat permohonan yang sama di mana-mana Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

Kehadiran dan Perwakilan

3. Dalam tuntutan ini, Plaintif telah hadir dengan diwakili oleh Peguam Syarienya Tuan Juraish Bin Kamaruddin, dari Tetuan Juraish Syariah Associates berdasarkan wakalah bertarikh 27/10/2009. Manakala Defendan hadir bersendirian tanpa diwakili Peguam Syarie.

Penyampaian dan Pembelaan

4. Penyampaian Saman kepada Defendan telah disempurnakan sendiri oleh Plaintif secara ke diri pada 06/10/2009 berdasarkan kepada affidavit penyampaian yang difailkan oleh Plaintif bertarikh 12/10/2009. Defendan seterusnya telah memfailkan pembelaannya pada 12/10/2009 dengan menyatakan persetujuan penuh terhadap tuntutan Plaintif.

Bidang Kuasa Mahkamah

5. Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar tuntutan ini berdasarkan kepada alamat permastautinan kedua-dua pihak di dalam Negeri Selangor iaitu di xxx xxxxxxxxxxxx Puchong Selangor. Alamat tersebut sama seperti yang tercatat dalam kad pengenalan kedua-dua pihak yang ditanda sebagai P1 dan P3.

Pendengaran Kes

6. Keterangan Plaintif yang diwakili Peguam Syarienya, telah didengar pada 02/12/2009 dalam Mahkamah Tertutup dengan kehadiran Defendan secara bersendirian dan bakal isteri kedua. Manakala wali kepada bakal isteri tidak hadir.

Keterangan Plaintif dan Alasan Poligami

7. Dalam soal utama Plaintif telah memberikan keterangan antara lainnya seperti mana berikut:

i) Plaintif memohon kebenaran untuk berkahwin kali kedua secara poligami dengan xxxxxxxxxx, K/P: xxx yang beralamat di xxx, Kuala Terengganu, Terengganu seperti tercatat dalam kad pengenalan bakal isteri yang ditanda sebagai P5. Bakal isteri Plaintif adalah berstatus seorang janda berdasarkan kepada surat perakuan cerai yang ditanda sebagai P6.

ii) Plaintif telah mempunyai seorang isteri iaitu Defendan yang telah diakadnikahkan pada 02/04/1988 di Kg. Wakaf Tengah Kuala Terengganu berdasarkan kepada surat perakuan nikah yang ditandakan sebagai P2.

iii) Plaintif telah dikurniakan 4 orang anak daripada perkahwinan dengan Defendan iaitu aaa (06/03/1989), bbb (23/04/1990), ccc (28/02/1994) dan ddd (01/07/1997) berdasarkan kepada sijil kelahiran anak-anak Plaintif yang ditandakan secara kolektif sebagai P4.

iv) Plaintif telah mendapatkan pandangan isteri pertama iaitu Defendan mengenai permohonan poligami ini dan Defendan telah bersetuju dengan permohonan tersebut.

v) Plaintif tidak mempunyai hubungan mahram dengan bakal isteri. Begitu juga Defendan tidak mempunyai hubungan mahram dengan bakal isteri Plaintif.

vi) Wali kepada bakal isteri ialah abang sebapa bernama vvv. Bakal isteri Plaintif mempunyai 3 orang abang sebapa sebagai wali. Bapa kandung kepada bakal isteri telah meninggal dunia pada 5 September 2007. Bukti kematian bapa bakal isteri adalah berdasarkan kepada surat pemberitahuan kematian daripada Kuala Terengganu Specialist Hospital bertarikh 05/09/2007 dan Permit Mengkuburkan yang ditanda secara kolektif sebagai ID7.

vii) Sejauh pengetahuan Plaintif, wali kepada bakal isteri telah bersetuju dengan perkahwinan poligami ini. Akan tetapi Plaintif belum pernah berjumpa sendiri dengan bakal wali.

viii) Ketika pendengaran kes ini Plaintif telah memohon untuk membuat pindaan secara lisan kepada alasan dalam penyata tuntutan. Defendan pula tidak menyatakan sebarang bantahan. Justeru Mahkamah telah membenarkan pindaan lisan dilakukan menurut seksyen 83 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Alasan Plaintif berpoligami adalah seperti berikut:

a) Alasan Pertama: Perkahwinan poligami ini adalah patut dan perlu memandangkan isteri pertama iaitu Defendan berkeuzuran melahirkan zuriat tambahan untuk Plaintif. Ini kerana perkahwinan Plaintif dengan Defendan hanya dikurniakan 4 orang anak di mana usia anak bongsu telah mencapai 12 tahun dan usia Defendan sekarang adalah 46 tahun. Dalam usia sedemikian Defendan tidak lagi bersedia untuk melahirkan zuriat tambahan. Plaintif yang juga berumur 46 tahun berhasrat untuk menambah zuriat dengan mengahwini isteri kedua iaitu bakal isteri yang baru berumur 29 tahun. Dari segi latar belakang keluarga Plaintif sendiri mempunyai seramai 6 orang adik-beradik.

b) Alasan Kedua: Plaintif berkemampuan untuk menanggung nafkah isteri pertama iaitu Defendan, nafkah bakal isteri dan semua anak yang di bawah tanggungannya. Plaintif bekerja sebagai Penolong Pengarah Kanan di xxxxxxxxxxxxx dengan pendapatan kasar sebanyak RM6,283.46 sebulan. Pendapatan bersih Plaintif setelah ditolak potongan dalam slip gaji adalah sebanyak RM4,857.40. Bukti pendapatan Plaintif adalah berdasarkan kepada slip gaji Plaintif bagi bulan Julai, Ogos dan September 2009 yang ditandakan secara kolektif sebagai P8. Pada masa sekarang tanggungan dan perbelanjaan kasar Plaintif adalah sebanyak RM3,726.06 sebulan dengan perincian seperti berikut:

Perkara

Amaun

Rumah kelamin tempat tinggal bersama dengan Defendan sekarang. (Bukti bayaran ada tercatat dalam slip gaji Plaintif sebagai Pinjaman Perumahan 1st loan)

RM684.06

Kereta Proton Perdana. (Bukti bayaran ada tercatat dalam perjanjian jual beli dengan Public Bank yang ditanda sebagai P9)

RM731.00

Kereta Proton Satria Neo. (Bukti bayaran ada tercatat dalam perjanjian jual beli dengan Eon Bank yang ditanda sebagai P10)

RM539.00

Nafkah isteri pertama iaitu Defendan. Jumlah nafkah ini telah dipersetujui oleh Defendan sendiri.

RM500.00

Nafkah anak-anak iaitu anak ketiga dan keempat sahaja. Manakala anak pertama sedang melanjutkan pengajian bidang perubatan (Tahun 3) di Mesir dan anak kedua sedang melanjutkan pengajian bidang kejuruteraan (Tahun 1) di Korea dengan biasiswa penuh daripada Kerajaan Persekutuan. (Bukti pembiayaan ditunjukkan dalam Perjanjian Biasiswa Persekutuan aaa ditanda sebagai P11 dan bbb ditanda sebagai P12)

RM500.00

Cukai pendapatan Plaintif. (Bukti bayaran seperti tercatat dalam slip gaji Plaintif)

RM204.00

Pinjaman peribadi. (Bukti bayaran adalah seperti dalam slip gaji Plaintif yang tercatat sebagai potongan Angkasa)

RM534.00

Yuran Persatuan (Bukti bayaran adalah seperti dalam slip gaji Plaintif yang tercatat sebagai lain-lain potongan.

RM4.00

JUMLAH BESAR PERBELANJAAN

RM3,696.06

JUMLAH PENDAPATAN

RM6,283.46

BAKI PENDAPATAN

RM2,587.40

Sekiranya permohonan poligami ini diluluskan, maka tanggungan tambahan yang wajib ditanggung oleh Plaintif hanyalah nafkah untuk isteri kedua sebanyak RM500.00 sebulan dan peruntukan untuk menyediakan tempat tinggal (membeli rumah) untuk isteri kedua sebanyak RM600.00 sebulan. Jumlah ini telah dipersetujui oleh bakal isteri sendiri.

c) Alasan Ketiga: Plaintif yakin dan berupaya untuk berlaku adil kepada kedua-dua isteri. Plaintif memperuntukkan giliran bermalam sebanyak 4 hari untuk isteri pertama (Defendan) dan 3 hari untuk isteri kedua (bakal isteri). Pembahagian giliran ini dilebihkan satu hari untuk isteri pertama atas dasar untuk menziarahi anak-anak Plaintif terutamanya semasa hujung minggu di mana mereka tinggal bersama isteri pertama (Defendan).

d) Alasan Keempat: Perkahwinan poligami ini tidak akan menyebabkan kemudaratan kepada Defendan selaku isteri pertama. Plaintif tidak ada meminjam wang daripada Defendan semata-mata untuk berkahwin dengan bakal isteri kedua. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh Defendan.

ix) Mengenai tuntutan sampingan, Plaintif juga memohon supaya harta sepencarian yang diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan Plaintif dengan Defendan, setakat yang telah menjadi milik mutlak mereka dibahagikan menurut kadar ½ kepada Plaintif dan ½ kepada Defendan. Cara pembahagian harta sepencarian ini adalah dengan cara dibahagikan kepada pihak Plaintif dan Defendan apabila harta tersebut dijual. Defendan juga bersetuju dengan tuntutan Plaintif ini. Harta-harta sepencarian tersebut adalah seperti berikut:

Harta

Pemilik Semasa

Rumah teres 2 tingkat beralamat xxxxxxxxxxxxx. (Masih berhutang dengan pihak bank)

Plaintif

Rumah kembar 4 beralamat xxxxxxxxxxxx. (Masih berhutang dengan pihak bank)

Defendan

Rumah Apartment xxxxxxxxxxxxxx. (Masih berhutang dengan pihak bank)

Defendan

Kereta Proton Perdana 2.0(A) V6 No. Pendaftaran xxxxxxxxxxx. (Masih berhutang dengan pihak bank)

Plaintif

Kereta Proton Satria Neo No. Pendaftaran xxxxxxxxxx (Masih berhutang dengan pihak bank)

Plaintif

Keterangan Defendan

8. Dalam soal utama yang dikemukakan oleh Mahkamah, Defendan telah memberikan keterangan bahawa Defendan bersetuju dengan permohonan Plaintif untuk berpoligami. Defendan juga bersetuju dengan pembahagian harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan mengikut kadar ½ bahagian setiap pihak. Defendan juga bersetuju dengan semua alasan dan keterangan yang dikemukakan oleh Plaintif dalam Mahkamah ini.

Keterangan Bakal Isteri

9. Dalam soal utama yang dikemukakan oleh Mahkamah kepada bakal isteri Plaintif, beliau telah memberikan keterangan antara lainnya seperti mana berikut:

- Saya berumur 29 tahun.

- Saya sedang belajar peringkat ijazah dalam bidang business administration.

- Selepas bercerai dengan suami terdahulu saya telah berhenti kerja dan menyambung pengajian.

- Saya tidak dikurniakan anak dalam perkahwinan terdahulu.

- Saya bersetuju dengan permohonan Plaintif untuk berpoligami dengan saya.

- Saya kenal dengan Plaintif selepas bercerai. Saya menyewa rumah dengan kawan-kawan di mana rumah sewa tersebut adalah milik Plaintif.

- Tempoh pengajian saya adalah selama 1 tahun setengah hingga 2 tahun.

- Saya telah membuat solat istikharah dan berasa tenang.

PENGHUJAHAN KETERANGAN

10. Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak Plaintif, Defendan dan bakal isteri, maka adalah dihujahkan seperti berikut:

i) Permohonan Plaintif untuk berpoligami atau mempunyai isteri kedua adalah suatu yang diharuskan oleh syarak berdasarkan firman Allah Taala:

(Surah al-Nisa’ (4); ayat 3)

Bermaksud: “Maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu sukai daripada wanita-wanita dua, tiga atau empat. Maka jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba perempuan yang kamu miliki.”

ii) Plaintif telah berjaya membuktikan keempat-empat alasan yang dikemukakan olehnya untuk mendapatkan kebenaran berpoligami kerana kesemua kehendak yang ditetapkan dalam subseksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah dapat dipatuhi.

a) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (a) Plaintif telah berjaya membuktikan bahawa perkahwinan poligami ini sebagai suatu yang patut atau perlu. Ini kerana alasan yang dikemukakan oleh Plaintif bahawa isteri pertama (Defendan) mempunyai keuzuran jasmani untuk melahirkan zuriat tambahan adalah suatu yang wajar dan boleh diterima mengikut hukum syarak kerana meramaikan zuriat seperti yang dihajati oleh pihak Plaintif adalah suatu yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. Perkara tersebut dijelaskan dalam banyak hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i, Ahmad, al-Baihaqi, al-Tabrani, Ibn Hibban dan al-Hakim (Berdasarkan carian secara digital menggunakan perisian al-Maktabah al-Syamilah Versi 2) . Berikut adalah hadith yang tercatat dalam Sunan Abu Daud, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, cetakan ketiga 2007, dalam Kitab al-Nikah, Bab Man Tazauwaja al-Walud, jilid kompilasi penuh, halaman 327, hadith nombor 2050:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَخْبَرَنَا مُسْتَلِمُ بْنُ سَعِيدٍ ابْنَ أُخْتِ مَنْصُورِ بْنِ زَاذَانَ عَنْ مَنْصُورٍ يَعْنِي ابْنَ زَاذَانَ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ وَإِنَّهَا لاَ تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا قَالَ لاَ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

Bermaksud: “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku menyukai seorang wanita yang berketurunan baik, mempunyai kedudukan dan berharta, akan tetapi dia tidak boleh beranak. Adakah boleh aku menikahinya?” Maka Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menikahinya”. Kemudian lelaki itu datang lagi untuk kali kedua dan bertanya soalan yang sama. Lalu Rasulullah tetap melarangnya. Kemudian dia datang untuk kali ketiga dengan soalan yang sama. Lalu Rasulullah bersabda: “Kahwinilah wanita yang penyayang dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai.”

- Adalah dihujahkan di sini bahawa fakta bahawa bakal isteri Plaintif tidak pernah dikurniakan anak dalam perkahwinan terdahulu tidaklah boleh menafikan sifat asalnya sebagai seorang yang mampu melahirkan anak. Ini kerana tiada keterangan dikemukakan bagi mengesahkan bakal isteri Plaintif memang tidak mampu melahirkan anak. Malah menurut hukum syarak soal mendapatkan anak adalah diluar kuasa manusia untuk menentukan kerana semuanya adalah tertakluk kepada ketentuan Allah. Mahkamah ini wajar melihat kepada sifat zahir bakal isteri Plaintif yang masih muda dan pada kebiasaannya masih berpeluang untuk mendapatkan zuriat.

b) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (b) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa Plaintif berkemampuan menanggung segala nafkah yang berbangkit dalam perkahwinan poligami ini. Ini kerana jika dihitung, baki pendapatan Plaintif setelah ditolak segala tanggungan yang bakal ditanggung berikutan daripada perkahwinan poligami ini adalah berbaki sebanyak RM1,487.40. Jumlah ini adalah suatu yang munasabah untuk digunakan bagi keperluan diri Plaintif sendiri. Mengenai ketiadaan nafkah 2 orang anak Plaintif iaitu anak pertama dan kedua, Plaintif berhak diberi pengecualian daripada memberi nafkah kepada anak-anak tersebut kerana mereka telah mendapat biasiswa penuh Kerajaan Persekutuan. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak ketika perbicaraan. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj oleh Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, cetakan 2000, jilid 5, halaman 183-185:

( وَلَا تَجِبُ ) النَّفَقَةُ ( لِمَالِكٍ كِفَايَتَهُ ) وَلَوْ زَمِنًا أَوْ صَغِيرًا أَوْ مَجْنُونًا لاِسْتِغْنَائِهِ عَنْهَا ( وَلاَ لِمُكْتَسِبِهَا ) بِأَنْ يَقْدِرَ عَلَى كَسْبِ كِفَايَتِهِ مِنْ كَسْبٍ حَلاَلٍ يَلِيقُ بِهِ لاِنْتِفَاءِ حَاجَتِهِ إلَى غَيْرِهِ ، وَإِنْ كَانَ يَكْسِبُ دُونَ كِفَايَتِهِ اسْتَحَقَّ الْقَدْرَ الْمَعْجُوزَ عَنْهُ خَاصَّةً .

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)

Bermaksud: “Tidak wajib memberi nafkah kepada seseorang yang mempunyai kecukupannya sendiri walaupun dia seorang yang menghidap penyakit yang tidak boleh sembuh, kanak-kanak yang masih kecil atau orang cacat mental (gila) disebabkan adanya kekayaan mereka sendiri daripada memerlukan nafkah…

- Adalah dihujahkan bahawa anak pertama dan kedua Plaintif telah mempunyai kecukupannya sendiri kerana mereka telah mendapat dan memiliki bantuan penuh biasiswa pelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka. Justeru hukum memberi nafkah ke atas mereka tidak lagi diwajibkan ke atas Plaintif.

c) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (c) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa Plaintif berupaya memberi layanan dan giliran yang adil kepada kedua-dua isteri. Mengenai pembahagian giliran 4 malam kepada isteri pertama (Defendan) dan 3 malam kepada isteri kedua (bakal isteri), perkara ini tidaklah merupakan satu kezaliman kepada isteri kedua. Ini kerana bakal isteri sendiri telah bersetuju dan tidak menyatakan sebarang bantahan terhadap pembahagian tersebut. Sekiranya bantahan berbangkit daripada isteri kedua di kemudian hari, Plaintif boleh mengubah kaedah giliran mengikut kesesuaian semasa. Tambahan pula Plaintif melebihkan giliran untuk isteri pertama kerana wujud keperluan khusus untuk melaksanakan tanggungjawab Plaintif sebagai bapa kepada anak-anak bersama isteri pertama. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab al-Iqna’ oleh al-Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, jilid 2, halaman 275-276:

((وَالتَّسْوِيَةُ فِي الْقِسْمِ بَيْنَ الزَّوْجَاتِ وَاجِبَةٌ وَلاَ يَدْخُلُ عَلَى غَيْرِ الْمَقْسُوْمِ لَهَا لِغَيْرِ حَاجَةٍ))... أما دخوله لحاجة كوضع متاع أو أخذه أو تسليم نفقة أو تعريف خبر فجاز لحديث عائشة رضي الله تعالى عنها : )كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يطوف علينا جميعا فيدنو من كل امرأة من غير مسيس أي وطء- حتى يبلغ إلى التي هو يومها فيبيت عندها( ولا يقضي إذا دخل لحاجة وإن طال الزمن

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

Hadith riwayat: Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi, al-Hakim, al Tabrani dan al-Daruqatni.

Bermaksud: “Menyamakan dalam giliran bermalam di antara isteri-isteri adalah WAJIB dan tidak boleh suami memasuki (rumah) isteri yang bukan pada masa gilirannya tanpa sebarang keperluan… Adapun jika suami memasuki (rumah) isteri tersebut (yang bukan pada masa gilirannya) kerana keperluan seperti meletak barang atau mengambilnya, atau menyerahkan nafkah atau mengetahui perkhabaran maka ia diharuskan berdasarkan kepada hadith Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW pernah mengunjungi kami semua lalu Baginda singgah ke rumah setiap isteri tanpa bersentuhan (yakni bersetubuh) sehingga Baginda sampai ke (rumah) isteri yang mempunyai giliran pada hari itu, lalu Baginda bermalam bersamanya.” Dan tidak perlu suami itu menqada’ giliran jika ia dilakukan kerana keperluan walaupun mengambil masa yang lama.

Berdasarkan kepada hadith tersebut adalah harus bagi Plaintif melebihkan 1 hari (siang) untuk mengunjungi anak-anak yang tinggal bersama isteri pertama pada hujung minggu dan tidak perlu diqada’ ini kerana mengunjungi anak juga adalah satu keperluan yang diiktiraf oleh Syarak.

d) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (d) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa perkahwinan Plaintif dengan isteri kedua tidak akan menimbulkan kemudaratan kepada isteri pertama iaitu Defendan.

Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ yang bermaksud: “Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh saling membalas dengan kemudaratan” Fakta bahawa perkahwinan poligami ini tidak memudaratkan isteri pertama tidak pernah dipertikai oleh pihak Defendan yang merupakan isteri pertama Plaintif. Jika wujud persoalan sama ada terjadi kemudaratan ke atas Defendan, maka Defendan sendiri hendaklah membuktikannya. Plaintif tidak diletakkan beban untuk membuktikan wujudnya kemudaratan terhadap Defendan kerana pada asalnya kemudaratan itu tidak wujud. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah: الأصل العدم bermaksud: Asal (bagi sesuatu perkara yang mendatang) adalah tiada.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif Kitab al-Asybah wa al-Nazair, m/s: 129 seperti di Lampiran D).

iii) Adalah juga dihujahkan bahawa ketidakhadiran wali bakal isteri bukanlah satu kecacatan yang boleh menghalang kebenaran poligami dikeluarkan oleh Mahkamah ini. Ini kerana alasan-alasan berikut:

a) Keperluan kehadiran wali kepada bakal isteri yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) EUKINS 2003 bukanlah lagi merupakan perkara utama yang perlu diambilkira oleh Mahkamah di dalam kes ini kerana kesemua 4 syarat untuk mendapatkan kebenaran berpoligami yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) telah dapat dipenuhi berdasarkan kepada keterangan Plaintif (suami), isteri sedia ada (Defendan) dan bakal isteri.

b) Subseksyen 23(5) perlulah difahami dan ditafsirkan secara purposif, maksud atau tujuan dan bukannya secara literal. Ini kerana tafsiran secara literal boleh menyulitkan Mahkamah yang akan terpaksa memanggil “mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu” walaupun orang itu tidak wujud atau kehadirannya tidak diperlukan apabila kesemua fakta telah diperolehi daripada keterangan pemohon (suami), isteri sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Mahkamah juga akan terpaksa memanggil wali bakal isteri walaupun wali bakal isteri tidak wujud atau ia adalah seorang wali hakim. Oleh sebab itu tafsiran yang lebih sesuai dalam memahami peruntukan ini adalah tafsiran secara maksud. Dengan tafsiran secara maksud ini kehadiran pihak-pihak yang disebutkan hanyalah perlu setakat untuk mendapatkan keterangan mengenai empat perkara utama yang ditetapkan sebagai syarat poligami di bawah subseksyen yang sama. Sekiranya fakta mengenai keempat-empat perkara utama itu telah diperolehi tanpa perlu memanggil kesemua pihak yang disebutkan, maka ia adalah memadai.

c) Dalam kes ini bakal isteri adalah berstatus janda yang menurut hukum Syarak, tidak boleh dipaksa berkahwin oleh wali dan seorang janda berhak memilih suami yang disukainya tanpa perlu mendapat persetujuan wali (Ini tidak bermaksud seseorang bakal isteri boleh bernikah tanpa wali). Justeru sekalipun wali kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan perkahwinan poligami ini, dia tidak boleh menjalankan kuasa ijbar (memaksa perkahwinan) terhadap bakal isteri. Bahkan bakal isteri boleh meneruskan perkahwinan menggunakan wali yang lain sama ada wali ab’ad atau wali hakim. Menurut Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 246-247:

( وَلِلأَبِّ ) وِلاَيَةُ اْلأِِجْبَارِ وَهِيَ ( تَزْوِيجُ ) ابْنَتِهِ ( الْبِكْرِ صَغِيرَةً أَوْ كَبِيرَةً ) عَاقِلَةً أَوْ مَجْنُونَةً إنْ لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا عَدَاوَةٌ ظَاهِرَةٌ ( بِغَيْرِ إذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ : { الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا ، وَالْبِكْرُ يُزَوِّجُهَا أَبُوهَا }

Bermaksud: “Bapa mempunyai kuasa untuk memaksa perkahwinan anak perempuannya yang masih anak dara sama ada masih kanak-kanak atau telah dewasa, sama ada anaknya itu berfikiran waras atau gila jika tidak terdapat permusuhan yang zahir antara ayah dan anak perempuannya itu, (iaitu boleh memaksa anak perempuannya berkahwin) tanpa keizinannya, berdasarkan kepada hadith diriwayatkan oleh al-Daruqatni: ((Janda itu lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, dan anak dara itu boleh dinikahkan (secara paksa) oleh bapanya)).”

( وَلَيْسَ لَهُ تَزْوِيجُ ثَيِّبٍ ) بَالِغَةٍ وَإِنْ عَادَتْ بَكَارَتُهَا كَمَا صَرَّحَ بِهِ أَبُو خَلَفٍ الطَّبَرِيُّ فِي شَرْحِ الْمِفْتَاحِ ( إلَّا بِإِذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ السَّابِقِ وَخَبَرِ : { لاَ تُنْكِحُوا الْأَيَامَى حَتَّى تَسْتَأْمِرُوهُنَّ } رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ .

Bermaksud: “dan tidaklah harus bagi wali menikahkan seseorang janda yang telah dewasa walaupun janda itu telah menjadi dara semula seperti mana yang dinyatakan oleh al-Tabari dalam kitab Syarah al-Miftah melainkan dengan keizinan janda itu, berdasarkan kepada hadith al-Daruqatni di atas dan hadith: ((Tidak boleh kamu menikahkan janda-janda sehingga kamu meminta pandangan- yakni persetujuan mereka))”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif seperti di Lampiran E).

d) Wali yang berkuasa sebagai wali mujbir kepada bakal isteri iaitu bapa kandung telah pun meninggal dunia. Justeru tidak terdapat lagi wali mujbir yang berkuasa menikahkan bakal isteri secara paksa. Wali kepada bakal isteri pada masa sekarang adalah salah seorang daripada tiga (3) saudara lelaki (abang) sebapa yang tidak mempunyai sebarang kuasa ijbar. Justeru kehadiran salah seorang daripada mereka tidak akan dapat memudaratkan hak bakal isteri untuk memilih suami yang disukainya.

e) Sekalipun wali kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan pernikahan poligami ini dan akan bertindak sebagai wali enggan (adhal), maka bakal isteri boleh bertindak memohon kebenaran pernikahan menggunakan wali hakim yang mana kes ini bukanlah forum untuk mendengarnya.

f) Tiada peruntukan yang jelas menetapkan supaya kebenaran berpoligami tidak boleh diberikan semata-mata kerana ketidakhadiran wali kepada bakal isteri kerana memang terdapat kes yang mana wali kepada bakal isteri tidak perlu dipanggil iaitu jika ia melibatkan wali hakim.

g) Hak untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui perkahwinan poligami ini adalah terletak kepada Defendan sebagai isteri pertama dan bakal isteri kedua. Hak itu tidak terletak kepada wali bakal isteri. Ini kerana mudarat akibat poligami (sekiranya ada) hanya akan menimpa isteri sedia ada atau bakal isteri. Kemudaratan tersebut tidak akan menimpa wali bakal isteri kerana wali bakal isteri bukanlah suatu pihak dalam perkahwinan poligami tersebut. Hak yang ada pada wali bakal isteri hanyalah untuk mengakadnikahkan perkahwinan dan bukan untuk memilih atau menentukan siapakah bakal suami.

h) Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah untuk mengecualikan kehadiran wali kepada bakal isteri dalam kes ini tidak semestinya akan menjejaskan hak wali tersebut. Jika wali kepada bakal isteri tidak berpuas hati dengan tindakan Mahkamah yang tidak memanggilnya hadir ke Mahkamah dalam tuntutan kebenaran poligami ini, satu semakan kehakiman masih boleh dipohon oleh wali kepada bakal isteri seperti mana yang diperuntukkan dalam subseksyen 68(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kesimpulan dan Relif Yang dipohon

11. Berdasarkan kepada fakta kes dan penghujahan di atas, Plaintif dengan rendah diri dan tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk meluluskan permohonan Plaintif dan mengeluarkan perintah seperti berikut:

a) Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif untuk berkahwin kali kedua (poligami) dengan bakal isteri fff (K/P: vvv).

b) Mahkamah memerintahkan Plaintif untuk membayar nafkah kepada Defendan sebanyak RM500.00 sebulan dan kepada isteri kedua sebanyak RM500.00 sebulan.

c) Mahkamah memerintahkan Plaintif membayar nafkah kepada dua (2) orang anak Plaintif bernama ccc dan ddd sebanyak RM500.00 sebulan.

d) Mahkamah mengisytiharkan bahawa harta yang diperolehi oleh Plaintif dan Defendan dalam tempoh perkahwinan dan setakat yang telah menjadi milik sempurna, seperti dinyatakan dalam penyata tuntutan adalah harta sepencarian yang hendaklah dibahagikan ½ bahagian kepada Plaintif dan ½ bahagian kepada Defendan sama ada harta tersebut dijual atau tidak.

e) Apa-apa perintah lain yang difikirkan suai manfaat menurut Hukum Syarak.

-Wallahu A’lam-

Bertarikh pada 28 haribulan DISEMBER tahun 2009.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

............………………..

Peguam Syarie bagi Plaintif

No comments: