25 February 2010

RAJA DRAMA


Oleh: Ariff Azami bin Hussein


Drama kehidupan berlaku di mana-mana. Di kaca tv, di kedai kopi, di hadapan pembesar@penguasa, di dalam mesyuarat dan di mana sahaja. Begitu juga di mahkamah keadilan (bukan mahkamah kanggaru ya) drama wujud tanpa kita sedari. Drama yang ada itulah yang menarik minat ke mahkamah, walau bagaimana menyampah pun kita sebagai seorang peguam dengan hakim, pihak lawan, saksi mahupun kurangnya tempat parking kereta.

Pada saya, drama inilah yang membezakan mahkamah dengan tanah perkuburan, bilik boss kita mahupun dewan peperiksaan. Dengan adanya drama dan calon-calon raja dramanya; mahkamah boleh bertukar menjadi satu lokasi yang menyedihkan, mencuit hati dan mungkin juga menaikkan darah seseorang. Itulah yang saya alami semalam semasa menyelusuri hari-hari sebagai seorang loyar di mana seorang saksi telah naik angin dengan soalan bertubi-tubi saya yang menggunakan jurus bersenjatakan Ru-78 Heavy Machine Gun (sila rujuk Mafia Wars untuk pedoman).

Saksi seorang ahli korporat berjaya telah menjadi hangin seraya berkata "I'm a businessman, don't try to teach me! Let me teach you!" (au kama Qaal). Lalu saya menjawab dengan cakar penolak awan saya "Im a lawyer, ini gelanggang saya, awak diam!". Beginilah, bukan sifat saya mencari perbalahan, jika pihak satu lagi itu berlembut dan akur; lembutlah saya. Sebaliknya, jika mereka cuba membuat lawak senario; maka keraslah terjahan saya. Nasib baik hakim yang biasanya menyinga menyokong saya dengan mengatakan; "Encik, awak janganlah jadi kurang ajar ya, ini kerja peguam dia kena tanya".

Drama di mahkamah sebenarnya ada spontan seperti yang berlaku kepada saya dan ada juga yang "stage-managed". Kenapa saya berkata begitu? Kerana itulah yang saya perhatikan saban hari di mahkamah. Ada peguam yang berdrama dengan bercakap dengan nada yang kuat untuk menunjukkan kepada audien yang mereka ini gedebe. Ada yang mundar-mandir di dalam mahkamah dan menegur semua orang penting untuk menunjukkan mereka loyar yang "somebody". Ada pula peguam yang berdrama dengan cuba bertekak dan membantah apa saja (object for the sake of objecting) untuk menunjukkan kepada anak guam yang mereka ada membuat kerja untuk menjustifikasi yuran guaman mereka yang berlebihan diminta.

Drama juga berlaku di pihak lain iaitu pendakwaan, hakim dan saksi. Ada pendakwa yang berdegar-degar bercakap mahu menjalankan kes di mahkamah terbuka, pada masa yang sama membisik dan meminta peguam meminta kes DNAA. Ada hakim yang beria-ria memarahi semua orang termasuklah jurubahasa tertidur pun dimarahi untuk menunjukkan beliau patuh sami'na waata'na dengan KPI, walhal mereka pun tahu kemengarutan KPI ini sudah mencapai tahap gaban. Ada saksi yang mengulangi skrip sama seperti "saya kurang pasti" atau "saya tak berapa ingat" atau "saya memilih untuk menjawab soalan ini", padahal perkara yang diajukan itu sudah terang lagi bersuluh kepastiannya.

Begitulah drama yang berlaku di mahkamah saban hari. Ia boleh membuatkan anda tergelak kesukaan atau mengetap bibir menahan sakit hati dan mungkin juga menggeleng kepala kehairanan dengan mutu drama yang begitu berkualiti yang dipamerkan. Drama atau tidak drama, aksi di mahkamah bukanlah perkara main-main kerana ia melibatkan kebebasan dan mungkin nyawa seseorang yang menjadi taruhannya. Jika hendak berdrama sekalipun, berpada-padalah dan berdramalah dengan berjurus dan penuh berhemah. Elakkan daripada menyakiti orang lain atau memijak kepala orang lain untuk mencapai tujuan drama kita. Wassalam.

(Ehsan dari blog www.loyarberjurus.blogspot.com)

No comments: