Oleh: Dr Hj Zulqarnain Lukman
Ahad lepas (3.7.2011), Menteri Dalam Negeri dilaporkan telah mengisytiharkan bahawa kumpulan ‘Bersih 2.0’ sebagai haram. Haramnya ‘Bersih 2.0’ ini bertitik tolak daripada hasrat kumpulan ini untuk mengadakan perhimpunan rakyat bagi memberikan kesedaran peri penting wujudnya sistem pilihanraya yang adil. Pengumuman tersebut sangat aneh, seaneh S.27 Akta Polis 1967 sendiri. Semasa belajar subjek ‘Perlembagaan’ di universiti 17 tahun yang lalu, saya telah menemui keanehan seksyen ini. Sedangkan Per. 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun, bagaimanakah suatu akta biasa boleh mengambil alih kuasa perlembagaan dengan sebegitu drastik. Ibarat kata Profesor Andrew Harding, di Malaysia, kebebasan bersuara telah diambil oleh pihak eksekutif sebelum ianya diberikan lagi.
Pun begitu, saya masih tidak memahami s.27 Akta Polis ini sepenuhnya sehingga berlaku perhimpunan Bersih 1.0. Selepas itu beberapa orang demonstran tegar telah ditangkap dan didakwa. Juga, selepas itu, lanskap politik Malaysia telah berubah akibat ‘tsunami’ politik. Beberapa demonstrasi lain juga telah diadakan seperti demonstrasi ‘Protes’ kenaikan harga minyak dan demonstrasi ‘Mansuh ISA’. Beberapa orang demonstran telah turut ditangkap. Tidak ramai peguam yang sudi menjadi peguam mereka kerana semuanya percuma, malah wang di dalam poket peguam turut digunakan untuk membayar petrol dan makanan. Oleh itu, saya menghulur budi kepada mereka ini.
Alhamdulilah, saya dianugerahi ilmu berkaitan S.27 ini secara praktikal. Saya terlibat dengan empat perbicaraan berlainan melibatkan s. 27 ini. Dua perbicaraan telah selesai dan kesemua tertuduh telah dilepaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Dua lagi perbicaraan, kesemua tertuduh bakal dilepaskan. Baru saya tahu rupanya pendakwaan di bawah S.27 ini tidak sehebat bahasa yang digunakan di dalam Akta tersebut. Dengan saksi-saksi polis yang berterabur dan hanya mengikut arahan atasan, bagaimanakah pendakwa boleh mendapat sabitan? Apabila dipanggil menjadi saksi, kesemua pegawai polis peringkat atasan menikus seperti tikus di dalam kepok padi. Di hadapan media, merekalah juara harimau Malaya, mengaum sederasnya. Barang kes tidak dijaga dengan baik malah ada barang kes telah hilang di balai tangkapan seawal hari tangkapan. Akhirnya, s. 27 ini digunakan sebagai senjata pemerintah untuk menakutkan-nakutkan rakyat daripada menikmati hak asasi mereka.
Lebih aneh lagi, SUHAKAM telah beberapa kali menggesa pihak pemerintah untuk meminda S.27 ini supaya selari dengan prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara. SUHAKAM bukanlah agen pembangkang. Perlantikan pesuruhjaya SUHAKAM kesemuanya dilantik atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong. SUHAKAM ditubuhkan untuk menasihati kerajaan berhubung hak asasi. Tetapi tengoklah, berapa banyakkah saranan SUHAKAM diterima berkaitan isu hak asasi khususnya berkaitan S.27 ini.
Yang tersangat aneh adalah berkaitan penubuhan Suruhanjaya Penambahbaikan PDRM yang diketuai oleh Tun Dzaiddin Abdullah. Suruhanjaya ini juga ditubuhkan oleh kerajaan untuk mencadangkan penambahbaikan kepada PDRM. Tidak kurang RM2 juta dilaburkan bagi penubuhan suruhanjaya ini. Antara cadangannya adalah supaya dipinda S.27 Akta Polis ini. Tetapi, akhirnya cadangan Suruhanjaya ini hanya tertulis di atas kertas dan wang rakyat dibazirkan.
Justeru, kewujudan ‘Bersih’ ini tidak harus dianggap ancaman kepada pihak polis. Perhimpunan aman harus dibenarkan. Sesiapa yang menggugat perhimpunan dengan keganasan boleh ditangkap tetapi perbuatan menangkap membuta-tuli manusia yang memakai pakaian berwarna kuning amat melucukan. Era ini adalah era kesedaran hak asasi. Mana-mana negara yang menghormati hak asasi pasti akan lebih makmur dan lebih menarik kepada para pelabur. Para pelabur akan lebih yakin kepada negara yang menghormati hak asasi kerana negara tersebut pasti ditadbir secara lebih transparen, demokratik dan menghormati undang-undang. Ayuh rakyat sekalian, gunakan akal dan budi semasa mengundi. Pilihlah kerajaan yang menghormati hak rakyat, negara makmur anda selamat.
No comments:
Post a Comment