22 September 2011

Pemansuhan ISA sia-sia sekiranya tahanan dinafikan hak dibicarakan dan diwakili Peguam

Oleh: Noorazmir bin Zakaria


Pengumuman Kerajaan yang akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 dilihat sebagai suatu permainan politik yang cuba mengelirukan rakyat dan bukannya suatu tindakan yang jujur kepada rakyat.

Hal ini dapat dilihat melalui pelbagai reaksi yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang secara angkuh berkata tiada permohonan maaf mahupun pampasan akan diberikan kepada tahanan ISA. Malah, kenyataan beliau yang berselindung di sebalik alasan kononnya ISA telah dilaksanakan secara sah tidak mampu menepis hakikat bahawa ISA itu sendiri sebenarnya adalah undang-undang lapok, zalim, tidak demokratik dan ketinggalan zaman.

Sehubungan dengan itu, penulis menegaskan bahawa Kerajaan harus mengendurkan ego mereka dan mengakui kezaliman ISA dengan meminta maaf secara terbuka kepada semua tahanan ISA sekiranya Kerajaan benar-benar jujur dan ikhlas dalam menghapuskan ISA ini.

Kerajaan Barisan Nasional tidak harus berdolak-dalik dalam soal kezaliman ISA ini kerana Perdana Menteri sendiri telah mengakui bahawa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tersebut adalah satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik di dunia. Justeru, tidakkah ia bermaksud Malaysia merupakan Negara yang mundur dan tidak demoktratik sepenuhnya akibat daripada menggunakan ISA sebelum ini?

Keduanya, penulis masih ragu-ragu dan tidak menyambut baik sepenuhnya berita pemansuhan ISA ini kerana penulis masih belum melihat apakah undang-undang baru yang akan menggantikan ISA ini.

Penulis bertegas dengan pendirian bahawa mana-mana undang-undang yang ingin digubal bagi menggantikan ISA ini haruslah tidak sekadar bersifat kosmetik dan hanya cantik pada nama sahaja. Pemansuhan ISA hanya sia-sia sahaja sekiranya undang-undang baru tersebut masih mengekalkan konsep tahanan tanpa bicara dan menafikan hak tahanan untuk mendapat perbicaraan yang adil sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Keraguan Penulis ini ternyata munasabah kerana Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz sendiri telah menegaskan bahawa konsep tahanan tanpa bicara masih akan dikekalkan walaupun ISA dimansuhkan

Justeru, Penulis menegaskan bahawa seluruh mata rakyat kini akan tertumpu kepada tindakan Kerajaan selepas daripada ini sama ada mengekalkan konsep tahanan tanpa bicara ataupun tidak. Sekiranya konsep tahanan tanpa bicara tersebut kekal namun hanya nama sahaja yang digantikan, maka ia jelas mencerminkan pembohongan besar Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional keseluruhannya dalam memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia. Sebaliknya, indeks demokrasi Malaysia akan jauh lebih teruk dan mundur dari Negara seperti Zimbabwe, Namibia dan Timor Leste

No comments: