This article was first published in Praxis, Chronicle of the Malaysian Bar, Apr-June 2012 issue, and is reproduced with the kind permission of the Malaysian Bar Council.
Saya masih ingat kali pertama saya mencelup kaki ke dalam bidang litigasi kepentingan awam (dalam bahasa Inggeris, public interest litigation).
Pengalaman saya
Kes di mana lapan orang warga asing dan seorang warga Malaysia telah ditahan di bawah Akta Kesalamatan Dalam Negeri atau ISA. Kononnya, mereka terlibat dengan kegiatan pengganasan antarabangsa. Kononnya, salah seorang daripada mereka yang ditangkap adalah seorang perekrut sel pengganas di negara ini.
Sama ada benar atau tidak dakwaan itu tidak penting. Yang penting adalah prinsip di belakang tentangan terhadap akta zalim ISA. Prinsip bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk dibicarakan sebelum dia dijatuhi hukuman. Prinsip bahawa penahanan tanpa bicara tidak boleh, atas apa dasar sekalipun, dihalalkan.
Saya masih ingat lagi, e-mel yang disebarkan oleh seorang peguam litigasi kepentingan awam veteran, memanggil peguam-peguam untuk menjadi ahli pasukan litigasi kepentingan awam yang akan mewakili tahanan-tahanan ISA tersebut. Perasaan teruja saya ketika menjawab e-mel tersebut menyahut seruan untuk menjadi ahli pasukan.
Apakah mungkin, seorang peguam muda yang basah di belakang telinga seperti saya boleh memberi sumbangan bermakna kepada pasukan yang ditubuhkan ini? Saya tidak pernah menceburi bidang ini dan pengetahuan saya terlalu cetek. Naluri saya bertanya, ketika saya menghadirkan diri untuk mesyuarat pertama yang diadakan di sebuah firma guaman di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Ramai peguam lain juga telah menyahut seruan itu. Ada yang telah mengamal undang-undang selama lebih dari 10 tahun. Ada pula yang seperti saya, peguam muda yang ingin belajar. Sebagai peguam muda, kami beruntung kerana peguam-peguam yang lebih senior menerima kami seadanya. Dengan sabar mereka mengajar kami peguam muda yang rata-rata tidak mempunyai pengalaman di dalam litigasi kepentingan awam.
Melalui tunjuk ajar mereka, barulah saya tahu apa itu habeas corpus. Barulah saya tahu bahawa permohonan habeas corpus itu disokong oleh afidavit sokongan yang sewajarnya diikrarkan oleh mereka yang ditahan, tetapi sekiranya ini tidak dapat dilakukan afidavit sokongan boleh diikrarkan oleh ahli keluarga. Saya belajar kes-kes yang lazim digunakan: Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor dan Mohamad Ezam Mohd Noor v Ketua Polis Negara.
“We have to manage client’s expectations,” salah seorang senior mengingatkan kami. Saya diajar betapa pentingnya tugas seorang peguam di dalam kes litigasi kepentingan awam dalam mengurus harapan anakguam. Anakguam harus faham bahawa sekiranya badan eksekutif dilawan, peluang kemenangan adalah amat tipis sekali. Namun mereka juga harus faham bahawa mencabar dan gagal adalah jauh lebih baik daripada membiarkannya dalam keadaan status quo.
Bibir mudah berkata-kata. Tetapi tidakkah tergerak hati kita apabila mendengar rayuan seorang ibu yang membuat panggilan telefon dari negara yang berbatu jauhnya? Bolehkah kita mengekalkan profesionalisme kita apabila ibu tersebut mengatakan bahawa usaha kita akan diiringi oleh doanya kepada Ilahi? Ini semua kami pelajari daripada pengalaman kami ketika menjadi ahli pasukan litigasi kepentingan awam tersebut.
Langkah kami sering dipintas dan dibantutkan. Pengalaman itu juga mengajar saya betapa sukarnya mencabar badan eksekutif yang mempunyai sokongan jentera kerajaan yang pelbagai. Pada ketika kes dibicarakan di mahkamah, kami terkesima melihat keghairahan seorang peguam litigasi kepentingan awam mengemukakan hujahan demi anakguam kami dengan begitu bersemangat dan meyakinkan. Walaupun akhirnya kami gagal, pengalaman yang ditimba telah menyemai di dalam jiwa kami benih-benih perasaan untuk terus berkecimpung di dalam kes-kes litigasi kepentingan awam.
Mengapa harus terlibat?
Sekiranya bancian dibuat, saya percaya bahawa keputusannya amat jelas. Tidak ramai peguam muda yang terlibat dengan litigasi kepentingan awam. Balik-balik muka yang sama; peguam-aktivis yang memang sering melibatkan diri dengan aktivisme, sama ada melalui Badan Peguam atau melalui badan serta pertubuhan yang lain. Ya, mungkin bilangannya makin bertambah, tetapi jika dibandingkan dengan bilangan peguam muda di luar sana, bilangan ini amatlah menyedihkan.
Banyak sebenarnya kelebihan yang diperolehi sekiranya peguam muda terlibat dengan litigasi kepentigan awam. Oleh yang demikian, kita sebagai peguam muda wajar mengambil peluang untuk melibatkan diri dengan litigasi kepentingan awam.
Berapa banyak peguam muda yang mengendalikan kes-kes ISA di dalam kerja seharian mereka? Ataupun terlibat dengan kes-kes yang melibatkan isu-isu Perlembagaan ataupun hak asasi manusia? Sebilangan besar peguam muda tidak mengamal di firma guaman yang mengendalikan kes litigasi kepentingan awam. Penglibatan peguam muda secara sukarelawan dapat memberi peluang kepada mereka untuk melibatkan diri di dalam bidang undang-undang yang belum pernah mereka ceburi sebelum ini. Ini akan sedikit sebanyak membantu dalam pembangunan profesional peguam muda. Seseorang peguam itu harus mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dan bukan hanya terbatas kepada satu jenis bidang sahaja. Apatah lagi dengan keadaan masa kini di mana lebih ramai peguam menyedari akan peri pentingnya pembangunan profesional seseorang peguam.
Sebagai contoh, pengalaman saya dalam litigasi kepentingan awam telah mendedahkan saya kepada permohonan untuk semakan kehakiman (judicial review). Pengalaman itu telah saya jadikan batu loncatan untuk mendalami dengan lebih lanjut tentang proses semakan kehakiman, sehinggalah saya boleh memberi nasihat tentang semakan kehakiman kepada anakguam yang datang ke firma saya.
Bagi mereka yang tidak mengamalkan litigasi, kes-kes litigasi kepentingan awam memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendedahan kepada perbicaraan di mahkamah. Sahabat baik saya, seorang peguam korporat, telah membuktikan bahawa litigasi kepentingan awam bukan hanya terhad kepada peguam litigasi sahaja. Tidak kira apa bidang undang-undang sekalipun, mereka masih boleh memberikan sumbangan.
Di samping itu, litigasi kepentingan awam memberi peluang kepada peguam muda untuk belajar daripada veteran-veteran yang biasa terlibat dengan litigasi kepentingan awam. Kita bernasib baik kerana kebanyakan peguam senior yang ada tidak kedekut ilmu dan begitu sabar membimbing mana-mana peguam muda yang ingin belajar. Asalkan kita bersedia untuk berkongsi ilmu dengan peguam pelapis kelak apabila tiba masanya untuk kita melakukan yang sama. Tambahan pula, keghairahan peguam-peguam veteran ini akan membuahkan ilham kepada peguam muda.
Pengorbanan?
Ya, sememangnya litigasi kepentingan awam akan dilakukan secara percuma, atau pro-bono. Ia berdasarkan prinsip di sebalik tindakan yang diambil. Contohnya tentangan terhadap ISA, atau sekiranya ia melibatkan pencabulan hak yang termaktub di dalam Perlembagaan atau hak asasi manusia. Ia juga satu bentuk bantuan guaman kerana biasanya mereka yang memerlukan bantuan tidak mampu membayar yuran sekiranya ia dikenakan. Ia juga satu bentuk aktivisme, diperjuangkan “in the trenches of the Courtroom”, bak kata seorang peguam-aktivis veteran.
Oleh kerana ia dilakukan pro-bono¸ peguam muda mesti sanggup bekorban masa dan tenaga untuk melakukannya, tanpa apa-apa insentif kewangan. Ini juga bermakna peguam muda harus bijak mengatur masa dan mengimbangi tanggungjawab terhadap fail-fail firma dan penglibatan dalam kes litigasi kepentingan awam. Ini mungkin bermakna peguam muda terpaksa mengorbankan masa tidur mereka atau masa rekreasi mereka demi litigasi kepentingan awam.
Kepada para majikan
Ramai peguam muda yang memaklumkan kepada saya bahawa walaupun mereka ingin melibatkan diri di dalam aktivisme, mereka dihalang oleh majikan mereka. Sama ada larangan secara terus mahupun halangan secara implikasi dengan timbunan kerja yang berlambak, peguam muda tidak dapat melakukannya.
Dari aspek ini, saya bernasib baik kerana ketika saya mengamal sebagai legal assistant, majikan saya telah membenarkan saya melibatkan diri dalam kes litigasi kepentingan awam.
Di sini saya ingin memohon budibicara para majikan untuk membenarkan peguam muda mereka untuk melibatkan diri. Asalkan mereka pastikan bahawa kes-kes firma diberikan keutamaan dan penglibatan mereka tidak menjejaskan kes-kes firma, mereka wajar diberikan peluang. Saya sesungguhnya percaya bahawa pengetahuan dan pengalaman yang mereka kecapi hanya akan menguntungkan firma kerana ia dapat membantu pembangunan profesional peguam muda.
Ayuh, peguam muda
Bagi mereka yang tidak ada apa-apa halangan, tunggu apa lagi? Kes litigasi kepentingan awam semakin bertambah. Rakyat di luar sana semakin sedar akan hak mereka, dan kini tidak gentar untuk menguatkuasakan hak yang mereka ada. Lebih ramai litigan, maknanya lebih banyak peluang untuk melibatkan diri. Jangan risau sekiranya anda tidak tahu apa-apa tentang litigasi kepentingan awam sebelum ini, yang penting adalah anda ingin belajar dan sudi mengajar suatu hari nanti.
Ayuh, peguam muda!
**
Syahredzan Johan adalah seorang peguam muda dan seorang rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Dia melihat dirinya sebagai seorang pengkritik politik dan pengulas sosial. Tetapi dia sebenarnya hanyalah seorang warga Malaysia yang mempunyai terlalu banyak pendapat. Dia adalah seorang yang patriotik, walaupun bukan dengan cara biasa seperti mengibar bendera. Dia percaya Malaysia mempunyai potensi yang hanya dapat direalisasi sekiranya rakyatnya belajar bersatu-padu dan bukannya berpecah-belah. Ikutilah Syah di Refleksi Minda.
Sumber:http://www.loyarburok.com/2012/06/04/ayuh-peguam-muda-mari-sertai-litigasi-kepentingan-awam/