Ramadhan Dan Peguam
Oleh: Dr Zulqarnain Lukman
Salam Aidilfitri untuk semua. Tatkala coretan ini dilakarkan, Ramadhan 1433H hanya tinggal sehari lagi. Ramadhan akan datang belum pasti lagi berjaya ditempuhi.
Ramadhan adalah bulan paling diberkati di dalam agama Islam. Bulan yang penuh rahmah dan muhasabah kepada penganutnya. Di Malaysia, Per. 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak umat Islam untuk menganut dan beramal dengan ajaran Islam tanpa ada gangguan daripada kerajaan mahupun penganut agama lain. Oleh itu, dengan jaminan perundangan yang ada, umat Islam di Malaysia dapat beramal ibadat dan melaksanakan rukun Islam ketiga ini dengan sempurna.
Bagi seorang peguam khususnya yang bekerja sendiri, pasti bulan Ramadhan adalah bulan penuh cabaran dan dugaan. Ramadhan kali ini dirasa sangat mencabar bila mana tahap KPI (Key Performance Index) dilaksanakan. Kalau dahulu, sesuatu kes memakan masa 4-5 tahun untuk dihabiskan, kini kes perlu dihabiskan dalam tempoh 9 bulan. Lazimnya, para hakim akan cuba selesaikan satu-satu kes dalam masa 6 bulan.
Ini bermakna, Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang sibuk kerana ada tugasan guaman yang menunggu. Banyak kali juga solat tarawih berjamaah terpaksa dikorbankan demi menyiapkan hujahan. Ruang masa untuk beribadat secara khusus juga semakin sempit sebab kadangkala terpaksa tidur jam 2 pagi sedangkan waktu itu orang lain baru bangun untuk bertahajud dan bersolat malam.
Selain itu, Ramadhan kali ini juga menginsafkan diri bahawa sebenarnya kerjaya sebagai peguam ini penuh dengan masa 'melantak' makanan (suatu istilah untuk menunjukkan makan untuk keseronokan atau eating for pleasure). Waktu sampai di Mahkamah, kalau masa masih awal tentu kafeteria menjadi tempat tuju. Setelah selesai kes, jika bertemu rakan sekali lagi akan pergi melepak dan menjamu selera. Kembali ke pejabat, rasa nak makan tengahari pula. Setelah menyiapkan kertas kausa Mahkamah, pasti rasa nak mengeteh (tea time).
Sebelum pulang jam 6.30 petang, rakan pejabat pasti akan mengajak makan maggi goreng atau sandwich tuna. Sampai di rumah, kena makan malam dengan famili pula! Kalau kena berjumpa klien di malam hari atau menyiapkan tugasan lain pasti akan disusuli dengan 'supper' yang enak.
Jadi, kedatangan Ramadhan ini memberikan peluang kepada perut untuk berehat dengan syarat tidak pula digantikan dengan segala macam buffet Ramadhan. Kali ini, sedaya upaya cuba dihayati pola pemakanan Rasulullah saw sewaktu berbuka iaitu berbuka dengan hidangan kurma kering dan susu lembu sahaja tanpa ada biryani, murtabak, popia, tepung pelita dan lain-lain. Hasilnya, badan terasa ringan, perut makin kempis dan terbukti, 5 kilogram berat badan sudah hilang. Segala bisa badan dan sakit sinus tiba-tiba hilang begitu sahaja. Setelah menelaah buku kesihatan, ternyata puasa ini turut diamalkan oleh pelbagai penganut agama lain dan golongan yang pentingkan kecantikan kerana puasa berfungsi sebagai agen detoksifikasi dan pembersihan perut.
Ramadhan ini juga memberikan keinsafan dan membina jiwa untuk menjadi golongan yang lebih baik. Tidak guna berpuasa jika hati dan jiwa masih penuh dengan sifat dengki, penipu, tamak, rasuah dan dendam. Sifat-sifat buruk sebegitu amat dekat dengan kerjaya peguam. Ada yang menawarkan rasuah kepada pegawai syarikat atau bank semata-mata untuk meraih fail daripada mereka. Ada yang menipu rakan peguam yang lain atau mahkamah sewaktu perbicaraan dengan menyembunyikan bukti yang dilihat tidak berpihak kepadanya. Ada yang menfitnah peguam lain supaya klien memandang serong kepada peguam itu. Ada peguam yang tidak amanah kepada wang pemegang pertaruhan (stakeholder). Ada yang menipu klien dalam hal conveyancing yang belum diselesaikan.
Oleh itu, madrasah Ramadhan (school of Ramadhan) diibaratkan sebagai sebuah sekolah yang mengajar umat Islam menjadi lebih baik dan bertambah taqwa (piousness)dan sewajarnya mampu untuk menjadikan seorang peguam Muslim untuk menjadi peguam yang lebih baik.
Kesimpulannya, Ramadhan ini mengajar kita untuk:
1. Menguruskan masa dengan lebih baik supaya ada peruntukan masa untuk famili dan amal ibadat.
2. Mengawal nafsu makan supaya kesihatan lebih terjaga kerana sakit adalah musuh utama dalam kerjaya guaman.
3. Peguam perlu lebih kreatif dalam kerjaya supaya kerja guaman menjadi lebih ringan, berbaloi dan berjaya.
4. Peguam perlu bersihkan jiwa dan nurani daripada segala sifat terkeji seperti tidak amanah, tipu, dusta, tamak, dendam, rasuah dan fitnah untuk menjadi peguam yang berjaya di dunia dan akhirat.
Semoga Syawal yang bakal tiba akan menceriakan hidup kita dan semoga kita menjadi peguam yang lebih baik.