JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
MENJAWAB FITNAH KONONNYA PEGUAM CUAI DI DALAM KES PENGHAKIMAN INGKAR
TERHADAP PRESIDEN PAS, YB DATO SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
1) Sejak meletusnya isu Penghakiman Ingkar Kehadiran yang dimasukkan ke atas Presiden PAS yang dikasihi beberapa hari lalu, JUHAM ingin melahirkan rasa kehairanan apabila secara tiba-tiba muncul begitu ramai ‘peguam’, ‘pendakwaraya’ dan juga ‘hakim’ di kalangan ahli dan pemimpin PAS.
2) Lebih membimbangkan, wujud satu fenomena ‘menjatuhkan hukuman’ kepada para peguam PAS terutamanya Tuan Haji Asmuni Awi kerana kononnya peguam telah cuai, leka, tidak kompeten bahkan sampai ke tahap peguam dituduh mensabotaj Presiden PAS hingga Penghakiman Ingkar tersebut dimasukkan.
3) Walaupun kami amat kecewa dengan fitnah jahat yang amat tidak berasas ini, namun kami memahami bahawa mereka yang terlibat menyebarkannnya atau yang terkeliru dengan pelbagai fitnah yang sedang berlegar saat ini adalah di kalangan orang awam (layman) yang tidak mempunyai pengetahuan berkenaan dengan fakta sebenar yang terjadi di dalam kes ini . Mereka juga nampaknya sangat tidak memahami prosedur undang-undang yang digunakan di dalam kes-kes yang dibicarakan di mahkamah. Oleh yang demikian, kami bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan sebenar supaya tidak lagi timbul sebarang fitnah yang akan memburukkan lagi keadaan.
4) Penjelasan teknikal berhubung dengan apakah dia Penghakiman Ingkar Kehadiran dan prosedur asas di dalam sesuatu saman sivil yang difailkan di mahkamah telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar di dalam tulisan saya sebelum ini bertajuk ‘JID for Dummies.’ Pada kali ini, saya hanya ingin mendedahkan fakta ringkas yang berlaku di sebalik Writ Saman dan Penyata Tuntutan bagi kes ini (Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Guaman Sivil No. 22NCVC-39-12/2013 di antara Mohd Shamsul bin Mat Amin v. Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang) yang dikatakan tidak pernah diterima oleh pihak Presiden PAS sendiri mahupun peguam kepada beliau iaitu Tuan Haji Asmuni Awi hingga membawa kepada kegagalan memfailkan Memorandum Kehadiran di dalam tempoh masa yang ditetapkan yang akhirnya mengakibatkan Plaintif memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran ke atas Presiden PAS.
5) Untuk makluman, pihak JUHAM telah memperolehi salinan dokumen (iaitu Afidavit Penyampaian) yang difailkan di mahkamah oleh peguam Plaintif dimana Plaintif mendakwa bahawa mereka telah menyerahkan saman tersebut kepada pihak Defendan melaui pos berdaftar akuan terima (pos AR berdaftar). Afidavit Penyampaian ini walaupun ianya merupakakan dokumen yang difailkan di mahkamah, tetapi ianya adalah dokumen umum yang diperolehi melalui carian yang dijalankan di kaunter pendaftaran mahkamah.
6) Di dalam afidavit tersebut yang bertarikh 11 Februari 2014, Plaintif telah melampirkan sama dokumen berikut iaitu :
A) sesalinan Writ Saman dan Penyata Tuntutan bagi kes ini,
B) surat iringan Peguam Plaintif bertarikh 2 Januari 2014 yang ditujukan kepada Presiden PAS bagi tujuan menyerahkan Writ Saman tersebut; dan
C) Kad AR pejabat pos yang mengandungi nama dan tandantangan pihak yang menghantar dan menerima Writ Saman tersebut beserta dengan tarikh penghantaran dan tarikh penerimaan.
7) Di dalam surat iringan Peguam Plaintif bertarikh 2 Januari 2014 yang ditujukan kepada Defendan bagi tujuan penyerahan Writ Saman bagi kes ini, tertera di dalam surat tersebut bahawa peguam Plaintif telah menyerahkan saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Pusat Khidmat Parlimen Marang, Bangunan PAS Marang (depan Masjid Rusila), 21080 Kuala Terengganu. Alamat penerima yang tertera di dalam surat ini jelas membuktikan bahawa peguam Plaintif tidak menghantar Writ Saman tersebut ke pejabat peguam Haji Asmuni Awi yang terletak di Ipoh, Perak. Maka, adalah tidak wajar sama sekali untuk menyalahkan Tuan Haji Asmuni Awi di atas penghakiman ingkar yang dimasukkan ke atas Presiden PAS tersebut.
8) Manakala berdasarkan kepada kad AR yang disertakan bersama dengan surat dan Writ Saman tersebut bagi tujuan merekodkan bukti penghantaran dan penerimaan, surat bersama Writ Saman tersebut telah diposkan oleh Peguam Plaintif pada 9 Januari 2014. Kad AR yang sama seterusnya menunjukkan bahawa Writ Saman tersebut telah diterima pada 16 Januari 2014 di alamat Presiden PAS sebagaimana yang tertera di dalam surat iringan tersebut. Bahkan terdapat cop Pejabat Pos Marang di atas Kad AR tersebut sebagai menunjukkan bahawa kiriman Writ Saman tersebut telah sampai ke Marang dan diproses oleh Pejabat Pos Marang sebelum diserahkan ke alamat Presiden PAS di Marang.
9) Di dalam Kad AR yang sama juga tertera tandatangan dan nama seseorang yang menerima serahan Writ Saman tersebut bagi pihak Presiden PAS. Walau bagaimanapun, JUHAM tidak boleh mendedahkan nama individu yang tertera di kad AR tersebut bagi mengelakkan sebarang unsur subjudis terhadap kes. Pihak Plaintif seterusnya telah menggunakan AR kad ini sebagai bukti yang diterima oleh mahkamah bagi menyokong hujahan mereka bahawa saman tersebut telah berjaya disampaikan dengan teratur kepada pihak Presiden PAS.
10) Pihak JUHAM bagaimanapun tidak dapat mengesahkan siapakah dia individu yang menerima AR kad tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri telah menjelaskan bahawa pejabat Presiden PAS langsung tidak dapat menemui atau mengesan Writ Saman yang dikatakan telah disampaikan pada 16 Januari 2014.
11) Dalam hal ini, memandangkan writ saman ini tidak diserahkan oleh Peguam Plaintif kepada Tuan Haji Asmuni selaku peguam kepada Presiden PAS dan pada masa yang sama Setiausaha Politik Presiden PAS sendiri mengesahkan bahawa Pejabat Presiden PAS juga tidak dapat mengesan Writ Saman tersebut, di mana asas dan logiknya Tuan Haji Asmuni dituduh sebagai leka dan lembap sedangkan beliau, sama seperti Presiden PAS dan juga Setiausaha Politik Presiden PAS, tidak mengetahui akan wujudnya Writ Saman tersebut?
12) Saya dimaklumkan bahawa pejabat Haji Asmuni hanya memperolehi salinan Writ Saman tersebut pada 11 Februari 2014. Merujuk kepada fakta ini, ada cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa memandangkan Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 17 Februari 2014 tersebut direkodkan di mahkamah pada tarikh Pengurusan Kes yang diadakan 23 Februari 2014 , maka ianya jelas kecuaian di pihak Haji Asmuni memandangkan Haji Asmuni telah menerima Writ Saman tersebut terlebih awal iaitu pada 11 Februari 2014. JUHAM ingin menegaskan bahawa pandangan ini jelas adalah salah dan tidak mengikut undang-undang.
13) Suka saya menjelaskan bahawa pada ketika Haji Asmuni menerima salinan Writ Saman tersebut pada 11 Februari 2014, ianya sudah melewati had masa 14 hari bagi Defendan memfailkan Memorandum Kehadiran yang dikira bermula dari tarikh 16 Januari 2014 iaitu tarikh penerimaan Writ Saman secara rasmi sebagaiman yang direkodkan di dalam Kad AR yang dilampirkan di dalam affidavit Plaintif. Dari segi undang-undang terutamanya peruntukan-peruntukan di dalam Rules of Court 2012, selepas dari tamatnya tempoh 14 hari tersebut, Defendan tidak lagi boleh memfailkan Memorandum Kehadiran dan Plaintif berhak untuk memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran. Pada saat ini tiada apa yang boleh dilakukan Defendan meskipun Defendan menghantar satu ‘batalion’ peguam sekalipun ke mahkamah pada tarikh 23 Februari 2014 yang lalu untuk menyekat penghakiman ingkar tersebut. Pilihan yang ada bagi Defendan sekarang ialah memfailkan Notis Permohonan untuk mengketepikan Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut sebagaimana yang telah saya jelaskan di dalam tulisan bertajuk ‘JID for Dummies’ yang lalu. JUHAM dari awal lagi memberikan komitmen untuk mengerahkan segala kekuatan yang ada untuk membantu membela Presiden PAS di dalam kes ini.
14) Satu lagi cerita dongeng yang disebarkan ialah kononnya Penghakiman Ingkar tersebut yang memerintahkan Presiden PAS untuk membayar gantirugi sebanyak RM2 juta kepada Plaintif bakal mengakibatkan Presiden PAS hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN dan akan menyebabkan berlangsung pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Pandangan sebegini juga adalah salah, penuh dengan imaginasi serta berbahaya kerana mereka ini tidak dapat membezakan di antara kes sivil dan kes jenayah. Kes saman yang dihadapi Presiden PAS ialah kes sivil. Ianya bukan kes jenayah yang membawa pelbagai hukuman seperti hukuman gantung, penjara, sebat atau denda. Berdasarkan Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, antara perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen ialah apabila dia disabitkan dengan satu kesalahan jenayah yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan denda tidak kurang dari RM2 ribu ringgit. Di sini jelas, kes saman sivil yang membabitkan Presiden PAS atau mana-mana Ahli Parlimen sekalipun tidak akan menjejaskan status mereka selaku Ahli Parlimen.
15) JUHAM juga ingin memberikan respon terhadap tulisan terbaru Ustaz Zaharudin Muhammad bertarikh 26 Februari 2014 di laman facebook beliau yang menyatakan bahawa, “Semua akan lupa bertanya siapa yg letakkan alamat pejabat marang yang sepatutnya ialah alamat firma guaman terbabit? Apa lawyer yang telah diberikan amanah lakukan selepas mendapat mandat menguruskan kes? Bukankah surat pertama kes ini diserahkan tidak lama selepas ianya diterima?”
16) Sebagai jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Ustaz Zaharudin Muhamad, beliau perlu terlebih dahulu memahami apakah yang dimaksudkan dengan “Plaintif”, “Saman” dan apakah yang dimaksudkan dengan “Defendan”. Di dalam kes ini, yang menyaman adalah Plaintif dan Defendan di dalam kes ini ialah Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Di dalam mana-mana saman bagi kes sivil, Plaintif bebas untuk meletakkan mana-mana alamat Defendan yang difikirkan sesuai bagi Plaintif. Dari segi undang-undang, Defendan tidak mempunyai kuasa untuk meminda alamat Defendan di dalam Saman yang difailkan oleh Plaintif. Meskipun sebelum dari Writ Saman ini difailkan lagi Hj Asmuni telah memaklumkan secara bertulis kepada peguamcara Defendan memohon agar sebarang Writ Saman yang difailkan dapat diserahkan kepada Haji Asmuni sendiri, namun adalah di luar bidang kuasa Peguam Defendan sekiranya pihak Plaintif tetap ingin menyerahkan Saman tersebut ke alamat Presiden PAS di Marang. Justeru, Hj Asmuni sebagai Peguam Defendan langsung tidak boleh dipersalahkan apabila pihak Plaintif meletakkan alamat Defendan di Marang kerana ia adalah hak sepenuhnya di pihak Plaintif.
17) Sebagai menjawab kepada soalan yang kedua dan yang ketiga yang dibangkitkan di dalam posting Facebook Ustaz Zaharuddin, ianya telah pun dihurai secara panjang lebar di atas bermula dari fakta bahawa Peguam Defendan hanya menerima Saman tersebut pada 11 Februari 2014 iaitu telah pun melangkaui lebih 14 hari tarikh penerimaan di Marang.
18) Sebagai kesimpulan, JUHAM berharap agar pihak-pihak tertentu yang sedang giat menabur fitnah dan menyebarkan cerita-cerita palsu berkaitan kes ini supaya berhenti dari melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini. JUHAM amat kesal dengan situasi yang berlaku ini yang seolah-olah meletakkan hukuman kepada seluruh jentera Peguam PAS yang sentiasa bertungkus-lumus untuk membela PAS serta pimpinan dan ahli-ahlinya. JUHAM khuatir situasi sebegini akan mengundang gelak-ketawa pihak musuh di luar sana.
19) Dalam hal ini, JUHAM bersedia untuk bersemuka dengan siapa sahaja yang inginkan penjelasan JUHAM berkaitan perkara ini. Moga segala kekalutan dapat dijernihkan dan kita semua dapat menumpukan kepada agenda perjuangan yang lebih besar.
Yang benar,
NOORAZMIR ZAKARIA
Pengarah Jabatan Undang-Undang &
Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Pemuda PAS Malaysia
26 Februari 2014