KENYATAAN
MEDIA
JABATAN
UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN
PEMUDA PAS MALAYSIA
TAWARAN
MENAMPAR YB TERESA KOK ADALAH KESALAHAN JENAYAH
DI
BAWAH KANUN KESEKSAAN
Sikap berat sebelah dan double
standard yang ditunjukkan kerajaan
dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia
(PDRM) semakin terserlah jika dilihat kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YB
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri dan sikap yang diambil oleh
PDRM sendiri di dalam kes tawaran menampar YB Teresa Kok yang dikeluarkan oleh
sekumpulan NGO pro UMNO. Sikap jelek Menteri dan PDRM ini tidak lain dari
sekadar membenarkan sangkaan selama ini bahawa di Malaysia wujud dua (2) set
undang-undang yang berbeza dari segi penguatkuasaannya iaitu untuk pemimpin
UMNO/BN dan seluruh suku sakat serta penyokongnya dan satu set lagi untuk
rakyat biasa terutama yang tidak menyokong UMNO/BN.
Adalah sangat tidak munasabah dan cukup dangkal bagi
seorang menteri kanan yang menjaga soal keselamatan negara bila mengatakan
hanya jika tawaran membunuh YB Teresa dikeluarkan oleh NGO terbabit, barulah
ianya dikira sebagai suatu kesalahan. Jika
sebegitu sekali jahilnya Zahid tentang undang-undang, maka JUHAM merasakan
adalah sangat wajar sekiranya Penasihat Undang-Undang KDN atau Penasihat
Undang-Undang UMNO memberi ‘tuisyen percuma’ bagi ‘menyekolahkan’ Zahid tentang
peruntukan Seksyen 503 Kanun Keseksaan.
Seksyen 503 ini memperuntukkan bahawa perbuatan melakukan
intimidasi jenayah adalah suatu kesalahan jenayah dan ianya boleh dihukum di
bawah Seksyen 506 kanun yang sama iaitu penjara sehingga selama dua tahun atau
denda atau kedua-duanya sekali. Jika dibaca lanjut Seksyen 506 tersebut,
sekiranya intimidasi jenayah itu dilakukan hingga ke tahap melakukan ugutan
untuk membunuh atau mengakibatkan kecederaan teruk (grievous hurt) kepada seseorang, si pelaku boleh dihukum penjara
sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali. Jika
dilihat peruntukan Seksyen 506 ini, jelas menunjukkan bahawa kenyataan Zahid
bahawa hanya jika tawaran membunuh YB Teresa dikeluarkan barulah ianya dianggap
sebagai satu kesalahan jenayah, adalah suatu kenyataan yang menyalahi sama
sekali hakikat sebenar peruntukan undang-undang berkaitan perkata tersebut.
JUHAM juga merasa amat lucu sekali bila membaca kenyataan
Penasihat Undang-Undang kepada NGO-NGO pro-UMNO terbabit iaitu Khairul Azam
Abdul Aziz yang secara janggal
‘mengaplikasikan’ teori asas di dalam undang-undang kontrak apabila
beliau menyatakan bahawa tawaran menampar tersebut adalah sekadar ‘invitation
to treat’ dan bukannya satu ancaman. Inilah yang terjadi bila terlalu
ghairah mempertahankan perkara yang salah hingga sanggup mengeluarkan
teori-teori pelik. Padahal persoalan samada tawaran tersebut adalah benar-benar
suatu ‘offer’ atau hanya ‘invitation to treat’ adalah tidak relevan
sama sekali kerana isu di sini bukanlah suatu dispute berkaitan dengan mana-mana kontrak atau perjanjian di
antara mana-mana pihak yang bertelagah. Undang-Undang Kontrak adalah suatu
cabang di bawah undang-undang sivil dan tidak berkaitan dengan persoalan
undang-undang jenayah. Tetapi tawaran menampar ini jelas suatu isu jenayah yang
berkaitan dengan ancaman untuk mencederakan seseorang di luar dari batas undang.
Khairul Azam walau pun cuba menunjuk jaguh kononnya pakar
di dalam undang-undang, tetapi nampaknya dia juga tidak memahami sepenuhnya
peruntukan di dalam Akta Kontrak 1950. Dalam hal ini, jika sekalipun
terdapatnya ‘offer’, ‘acceptance’ dan ‘consideration’ yang memenuhi rukun asas dalam sesuatu kontrak, ianya
tetap merupakan suatu kontrak yang tidak sah (void) kerana tawaran menampar seseorang adalah suatu jenayah dan
dengan itu ianya adalah perkara yang menyalahi undang-undang (unlawful) sebagaimana peruntukan Seksyen
24 dan Seksyen 25 Akta Kontrak 1950.
Dalam hal ini, JUHAM ingin menegaskan pendirian bahawa
tindakan yang dilakukan oleh NGO-NGO pro UMNO terbabit adalah suatu kesalahan
jenayah yang wajib disiasat oleh PDRM dan seterusnya di dakwa di mahkamah.
Sikap ‘pilih bulu’ di dalam menguatkausakan undang-undang adalah adalah satu
sikap yang amat keji yang tidak sepatutnya menjadi amalan kepada PDRM. PDRM
adalah pelindung rakyat dari jenayah, bukannya pelindung kepada jenayah yang
dilakukan UMNO dan kuncu-kuncunya.
Yang benar,
NORAZMIR ZAKARIA
Pengarah Jabatan
Undang-Undang &
Hak Asasi Manusia
(JUHAM)
Dewan Pemuda PAS
Malaysia
14 Februari 2014
No comments:
Post a Comment