28 March 2014

Keadilan bernanah – di bumi kinanah.


Berikutan sidang media daripada Dato Seri Najib yang menyatakan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi, dunia seakan-akan memejam mata daripada kezaliman yang menimpa para pejuang di bumi Mesir. Sejak kerajaan Morsi digulingkan sejak 3 Julai 2013 yang lalu, usaha rejim tentera pimpinan Fatah el-Sisi dilihat semakin giat untuk setidak-tidaknya melemahkan Ikhwan Muslimin, kalaupun tidak berjaya menghapuskannya melalui deklarasi pengharaman terhadap jemaah Islam terbesar itu. 

Proses prosiding yang hanya memakan masa kira-kira 2 hari ini dilihat mencipta sejarah sebagai perbicaraan paling singkat melibatkan hukuman gantung dalam sejarah Mesir. Sekaligus ia mengundang polemik yang tidak sedikit dalam kalangan para pejuang hak asasi di seluruh dunia. Berdasarkan laporan media antarabangsa, para peguam pihak pembelaan tidak diberikan ruang untuk membentangkan hujahan mereka dalam kedua-dua sesi perbicaraan yang bertempat di Mahkamah Minya, Selatan Kaherah. Hakim perbicaraan itu juga menafikan 'right to be heard' dengan kegagalan memberikan ruang kepada para tertuduh untuk memberikan penjelasan kepada Mahkamah berkenaan tuduhan – termasuklah menyerang dan membunuh anggota polis - yang disabitkan kepada mereka. Ini sekaligus dilihat sebagai langkah yang membelakangkan prinsip undang-undang ‘Justice isn’t only must be done, but also must be seen to be done’ 

Penghakiman yang dibuat pada hari Isnin, 24 Mac 2014 yang menjatuhkan hukuman gantung kepada 529 ahli gerakan Ikhwan Muslimin itu juga dianggap sebagai hukuman mati melibatkan pesalah teramai dalam sejarah Mesir. Antara yang termasuk dalam senarai bakal syuhada’ ini adalah ; Dr Mohamed Badee - Mursyidul Am, dan juga Dr Mohamed Saad Katatni – Presiden FJP, sayap politik Ikhwan. 

Di peringkat JUHAM, kami menggesa kerajaan Malaysia pimpinan Dato Seri Najib hari ini, menyatakan pendirian dan menghantar bantahan diplomatik yang jelas lantaran pencabulan proses perundangan dan kezaliman ke atas hak asasi saudara kita di belahan bumi sana. Rentetan daripada itu, Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan satu demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Mesir selepas solat Jumaat minggu ini bagi menyatakan solidariti kita bersama #Egpyt529 di sana. Innallaha maa'na. 

Izzat Ghazali. 
PSU 2, JUHAM.

No comments: