KENYATAAN MEDIA
JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) memandang serius siri tindakan keras yang diambil oleh pihak berkuasa tatatertib di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mutakhir ini mengenakan pertuduhan bermotifkan politik tatatertib ke atas pemimpin dan aktivis mahasiswa.
Bagi mahasiswa UM, UMS dan kesemua IPTA lain kecuali UiTM, kes-kes tatatartib adalah dibicarakan di bawah kaedah-kaedah tatatertib pelajar di setiap IPTA terbabit yang digubal berdasarkan Seksyen 16C Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Manakala bagi UiTM, kaedah tatatertib yang digunakan adalah digubal dibawah Seksyen 6 Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174)
Merujuk kepada perkara di atas, JUHAM dengan ini mendesak Kementerian Pendidikan dan pengurusan kesemua IPTA supaya menggantung kesemua prosiding tatatertib yang sedang berjalan ke atas mahasiswa-mahasiswa sehingga suatu pindaan besar-besaran di buat ke atas kesemua kaedah-kaedah tataertib yang digunapakai dan juga peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan tatartib pelajar samada di dalam AUKU atau di dalam Akta 174. Ini adalah kerana JUHAM berpandangan prosedur tatatertib yang digunapakai di semua IPTA sekarang bersifat menindas, berat sebelah dan tidak dapat menjamin keadilan kepada para mahasiswa.
Di antara perkara-perkara penting yang perlu diperbetulkan di dalam undang-undang yang berkait dengan tatatetib mahasiswa ialah seperti berikut :
a) Di dalam kaedah-kaedah tatatertib pelajar yang diguna pakai di kesemua IPTA di negara ini dan juga praktis yang menjadi amalan kebanyakan IPTA, bidangkuasa berkenaan dengan hal ehwal tatatertib dan disiplin pelajar IPTA adalah diwakilkan oleh Naib Canselor sesebuah IPTA kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kemudiannya akan membentuk Jawatankuasa Tatatertib Universiti/Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar. Merujuk kepada AUKU dan juga kaedah tatatertib pelajar, kuasa jawatankuasa tatatertib adalah amat luas dengan meliputi kuasa untuk :
i) menyiasat;
ii) menjalankan pendakwaan;
iii) mendengar kes tatatertib dan menghakimi kes tersebut, dan
iv) membuat keputusan serta menjatuhkan hukuman sekiranya pelajar yang dituduh itu di dapati bersalah.
Perkara ini amatlah bertentangan dengan kaedah rules against bias yang menjadi tonggak utama kepada prinsip keadilan semulajadi (rules of natural justice) yang mesti dipatuhi oleh mana-mana adjudicatory body termasuklah mahkamah atau pun mana-mana tribunal dan lembaga tatatertib. Tidak ada jaminan pelajar yang dipertuduh oleh Jawatankuasa Tatatertib akan mendapat perbicaraan yang adil oleh kerana komposisi Jawatankuasa Tatatertib tersebut adalah terdiri daripada orang yang sama yang menjalankan segala kuasa yang diperuntukkan di bawah AUKU dan Kaedah Tatatertib. Oleh itu, JUHAM mendesak agar peruntukan di dalam AUKU dan Kaedah Tatatertib ini dipinda supaya kuasa-kuasa yang disebutkan di atas dijalankan oleh pihak yang berbeza bagi menjamin keadilan ke atas pelajar yang dituduh.
b). Perbicaraan di hadapan jawatankuasa Tataertib banyak melibatkan soal teknikaliti undang-undang. Namun, tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam AUKU, Akta 174 mahupun Kaedah Tatatertib Pelajar-Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang jika di dakwa di atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh Peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000. Ini adalah suatu diskriminasi yang bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak samarata di sisi undang-undang.
Manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam pilihan sendiri (right to counsel) pula adalah bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. JUHAM berpendirian AUKU dan juga Kaedah Tatatertib Pelajar perlu dipinda bagi membolehkan seseorang pelajar yang dituduh di atas suatu kesalahan tatatertib untuk diwakili peguam pilihannya sendiri. Dalam keadaan hukuman yang boleh dijatuhkan di dalam prosiding tataertib boleh membawa hukuman maksimum dipecat dari universiti, maka sewajibnya para pelajar yang dituduh di hadapan jawatankuasa tatatertib diberikan hak untuk diwakili oleh peguam.
c). Berdasarkan kepada kaedah tatatertib pelajar, peruntukan di dalamnya hanya menyatakan jenis-jenis kesalahan tatatertib tetapi tidak menyatakan secara spesifik hukuman bagi setiap kesalahan tersebut. Tetapi terdapat satu peruntukan yang menyatakan mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib boleh dikenakan mana-mana satu atau gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai yang berikut : a) amaran; b) denda; c) dilarang dari mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian tertentu Universiti bagi tempoh yang ditetapkan; d) digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi tempoh yang ditetapkan; e) dipecat dari universiti. Apa yang menjadi masalah, peruntukan ini adalah umum dan ianya tidak menentukan urutan hukuman yang mesti diikuti.
Bentuk hukuman yang hendak dijatuhkan adalah berdasarkan kepada budibicara jawatankuasa tatatertib tanpa dipandu oleh apa-apa garis panduan tertentu. Oleh sebab itu soal proportionality (kesetimpalan) hukuman juga boleh dipertikaikan di mana di dalam beberapa kes, terdapat pelajar yang terus dikenakan hukuman dipecat dari universiti meskipun didapati bersalah melakukan kesalahan kali pertama dan kesalahan tersebut bukanlah kesalahan yang serius. Di dalam hal ini JUHAM mencadangkan agar peruntukan sebegini dipinda dan diadakan semacam suatu peruntukan lain yang spesifik tentang hukuman yang sepatutnya dijatuhkan agar ianya setimpal denga kesalahan yang dilakukan.
JUHAM berpendirian sehingga perkara-perkara yang membabitkan soal undang-undang ini diperbaiki dan dipinda bagi memberikan keadilan kepada mahasiswa, Kementerian Pendidikan dan pihak pengurusan IPTA perlu menggantung serta merta sebarang prosiding tatatertib yang sedang berjalan. JUHAM akan mengadakan sesi perjumpaan dengan para mahasiswa bagi menjelaskan perkara ini bagi membangkitkan kesedaran di kalangan mereka berkaitan dengan hak mereka untuk mendapatkan suatu undang-undang tatatertib yang adil.
Yang benar,
NOORAZMIR ZAKARIA
Pengarah Jabatan Undang-Undang &
Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 Julai 2014.
No comments:
Post a Comment