25 October 2009

Kepentingan AGM dan Muktamar

Oleh: Zulqarnain Bin Lukman
 
Semenjak 2-3 hari ini, masing-masing berbicara mengenai AGM atau mesyuarat agung atau muktamar. UMNO baru sahaja menganjurkan persidangan agung tahunan mereka (yang ke 60?). Menariknya, persidangan agung tahunan itu dikembarkan dengan persidangan agung luar biasa untuk meluluskan 7 pindaan utama kepada perlembagaan parti.
 
Pada masa yang sama, MCA, parti kaum cina komponen BN juga telah menganjurkan mesyuarat agung luar biasa, untuk menentukan kedudukan timbalan presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek dan menentukan keesahan tindakan yang dibuat Presiden Datuk Seri Ong Tee Kiat. Persidangan agung luar biasa MCA juga telah menggetuskan pergeseran baru dalam MCA tentang siapakah yang sepatutnya menerajui parti kaum cina terbesar di Malaysia itu.
 
Empat hari lepas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) yang juga Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mencetuskan ribut kecil di kalangan ahli PAS berikutan cadangan beliau untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa atau muktamar khas. Hal ini susulan daripada reaksi terhadap tulisan Prof. Dr Abdul Aziz Bari yang menyatakan beberapa pemimpin tertinggi PAS sebagai pro-UMNO. Lanjutan itu, Ustaz Idris Ahmad atas kapasiti Ketua Penerangan PAS telah memberikan komentar balas yang agak peribadi dan pedas kepada Prof. Dr Aziz Bari. Pemimpin parti lain seperti Datuk Harun Taib enggan mengulas lanjut hal berkenaan, Datuk Seri Azizan Razak pula menyatakan biarlah hal itu dibincangkan dalam mesyuarat lajnah politik dan AJK PAS Pusat dan Timbalan Presiden pula menyatakan Majlis Syura Ulama akan membincangkan hal tersebut dalam masa terdekat.
 
Saya tidak ingin mengulas samada muktamar khas ini patut diadakan atau tidak. Biarlah ahli politik atau penulis politik yang mengulaskannya. Saya hanya ingin menyentuh aspek perlembagaan dan perundangan. Jika diteliti dalam perlembagaan semua pertubuhan yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966, fasal berkaitan mesyuarat agung atau mesyuarat agung khas ini tidak dapat tidak pasti ada.
 
Apakah kepentingan mesyuarat agung tahunan ini diadakan? Mesyuarat agung tahunan atau annual general meeting ini perlu diadakan setiap tahun bagi mengesahkan aktiviti tahunan pertubuhan, mengesahkan minit mesyuarat yang terdahulu dan mengesahkan laporan kewangan. Melalui mesyuarat agung tahunan ini ahli-ahli dibenarkan bersuara dan membangkitkan darihal perjalanan pertubuhan termasuk memberikan kritikan kepada semua pemegang jawatan terhadap tatacara mereka mentadbir pertubuhan. Selain itu, perlembagaan pertubuhan akan menetapkan samada penjawat jawatan akan dipilih samada secara tahunan atau 2 tahun sekali. Mesyuarat agung tahunan ini amat penting dari segi prinsip demokrasi kerana ianya sebagai tempat atau medan ahli-ahli bersuara secara demokrasi khususnya bagi mengamalkan hak bersuara dan berhimpun yang diberikan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Mesyuarat agung juga adalah kuasa tertinggi dalam pertubuhan kerana hanya mesyuarat agung yang dapat meminda perlembagaan pertubuhan itu.
 
Adapun mesyuarat agung luar biasa atau extra ordinary general meeting atau muktamar khas ini diadakan bagi tujuan membincangkan perkara pokok di dalam parti atau pertubuhan yang agendanya berbeza daripada mesyuarat agung tahunan. Ada juga mungkin pertindihan agenda khususnya jika ada perkara berbangkit yang memerlukan kelulusan mesyuarat agung seperti untuk menyatakan undi tidak percaya kepada mana-mana penjawat jawatan yang dipilih melalui mesyuarat agung. Secara prinsipnya, perlembagaan PAS tidak menetapkan apa-apa kriteria berkaitan agenda atau usul untuk dibahaskan dalam muktamar khas ini. Tetapi kepentingan mesyuarat agung luar biasa atau muktamar khas ini juga sama pentingnya dengan mesyuarat agung tahunan iaitu bagi memberikan peluang kepada ahli-ahli untuk menetapkan perkara dasar dalam parti.
 
 
Di dalam Fasal 16(1)(b) Perlembagaan PAS menerangkan seperti berikut,
 
(b)Muktamar Khas – Muktamar Khas PAS bolehlah diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh presiden atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau satu pertiga daripada PAS Kawasan-kawasan. Maka dalam Muktamar Khas ini tidaklah boleh, dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Muktamar itu diadakan.
Ini bermakna muktamar khas ini hanya boleh diadakan jika dikehendaki Presiden atau permintaan secara bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga AJK PAS Pusat atau satu pertiga PAS kawasan-kawasan.
 
 
Berbalik kepada saranan TGNA supaya diadakan muktamar khas ini, sukacita saya petik tulisan TGNA itu secara verbatim untuk mengelakkan salah tafsiran:
 
 
Pandangan Saya

Atas pandangan inilah saya berfikir dan  terus berfikir.  Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
 
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?
 
 Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah,  kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah .  Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah.
 
Masyarakat India pun boleh menentang  Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.
Maka pelik apa, kita panggil  mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah.  Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. 
 
Demi "tajdid" kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini.  Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah.  Kita pakat-pakat belalah.
Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan  nak  bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG.  Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan.  Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah.  Apa ni?
 
Tidak boleh jadi ni, kita duk "ghok-ghak" (kacau) begini.  Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah;  senang cerita.  Biar tentu sah, nak ikut yang mana.  Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. 
 
Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan.  Mereka jelas.
Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi.  Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas.  Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
 
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat.  Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah.  Dan memang betul begitulah.  
 
 Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009                              
TGNA mengakui bahawa idea untuk muktamar khas ini datang setelah beliau berfikir mengenai mesyuarat agung khas yang dibuat oleh UMNO, MCA dan PKR. Menarik juga, setelah berfikir TGNA ini berdoa dan barulah dikemukakan idea ini kepada khalayak awam. Agenda yang ingin diutarakan adalah berkisar 'dua-tiga kerat pemimpin bermasalah'. Tidak dinyatakan secara jelas samada ingin diusulkan undi tidak percaya, tetapi secara kefahaman literal, TGNA semacam ingin diambil undi usul tidak percaya kepada sebahagian kepimpinan.
 
Namun, saya cenderung untuk mentafsirkan bahawa agenda muktamar khas yang ingin dibawa oleh TGNA ini adalah usul mengenai samada PAS masih bersama Pakatan Rakyat atau tidak, atau ingin pro-UMNO. Jika PAS mengambil mana-mana satu pendekatan ini, apakah pula usaha dan mobilisasi yang perlu dibuat bagi menguatkan usul berkenaan. Saya percaya inilah hasrat sebenar TGNA disebabkan semacam berlaku kekhilafan dalam tindak-tanduk sebahagian kepimpinan PAS dalam memahami dan membawa hala tuju perjuangan PAS. Dalam kata lain, agenda muktamar khas ini adalah hala tuju parti sendiri, ke arah manakah parti ini akan dibawa dan apakah tindakan yang patut diambil oleh kepimpinan dalam melaksanakan halatuju ini.
 
Isu perlembagaan yang ingin saya lontarkan di sini adalah samada usul yang dicadangkan oleh TGNA itu berbentuk pokok dan mendasar atau perkara cabang sahaja yang tidak perlu diputuskan oleh ahli melalui muktamar khas dan boleh diselesaikan di peringkat Jawatankuasa Pusat PAS. Dari sudut perlembagaan PAS saya fikir isu atau agenda yang dibawa oleh TGNA ini sesuai dan munasabah untuk dibawa kepada muktamar khas. Saya tidak menetapkan untuk menyokong atau tidak usul ini, tetapi usul ini ternyata usul besar dan boleh dibawa kepada pertimbangan perwakilan untuk memutuskannya secara demokrasi dan suara ramai. Setelah diputuskan di dalam muktamar maka tidak ada lagi alasan ahli atau pemimpin parti untuk menidakkkannya resolusi yang diputuskan. Jika ada mana-mana pemimpin atau ahli yang tidak bersetuju dengan resolusi berkenaan dan ingin membuat bantahan secara terbuka maka mereka hendaklah berada di luar parti atau meletakkan jawatan. Saya tidak fikir usul ini berbentuk usul undi tidak percaya kepada presiden, timbalan presiden atau mana-mana AJK Pusat yang lain. Usul undi tidak percaya ini hanya perlu dibuat dalam muktamar khas yang lain setelah ternyata mana-mana pemimpin itu gagal untuk mematuhi resolusi muktamar khas yang menetapkan hala tuju parti ini diambil.
 
Sehubungan itu, melalui prosedur parti, hanya presiden atau sepertiga ahli AJK pusat yang menyatakan secara bertulis atau sepertiga PAS kawasan yang boleh memanggil muktamar khas ini. Sekarang ini terpulang kepada ketiga-tiga pihak yang dinyatakan di atas untuk memanggil atau tidak muktamar khas ini. Yang nyata, TGNA sendiri tiada kuasa untuk memanggil muktamar khas ini.


Searching for all friends on Yahoo! Messenger?
You can easily invite your friends from Hotmail, Gmail to Yahoo! Messenger today!

No comments: