13 October 2012

Pengawal keselamatan menang tuntut gaji minima



SHAH ALAM: Perjuangan sekumpulan pengawal keselamatan mendapatkan bayaran penyelarasan gaji minima dan kerja lebih masa berjaya apabila Mahkamah Buruh mengarahkan majikan membayar RM210,000 kepada pekerja terbabit.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, kejayaan dalam kedua-dua kes tersebut diharap akan membuka mata pihak majikan supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka.

Beliau berkata, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah itu yang dihadapi oleh 67 pengawal keselamatan yang membuat aduan berhubung masalah tunggakan gaji, penafian perlaksanaan pelarasan gaji, majikan tidak melaksanakan gaji minima diluluskan kerajaan serta tidak mencarum di dalam Perkeso dan KWSP.

“Masalah ini dihadapi mereka sejak 2011 yang mana bekerja di bawah Kementerian Pendidikan yang kebanyakannya menjaga sekolah-sekolah dengan mengatakan tidak mendapat banyak hak mereka yang mana semuanya 13 kes.

“Dengan kumpulan bertindak ditubuhkan kita  failkan tuntutan di Mahkamah Buruh pada 2011.

“Akhirnya pada 3 Januari lepas Mahkamah Buruh mengarahkan majikan membayar RM120,000 kepada mereka bagi tuntutan pertama dan RM90,000 untuk tuntutan kedua,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Rodziah berkata, dengan keputusan itu pihaknya akan meneruskan usaha bagi mendapat keadilan dalam kes lain demi kebajikan kumpulan pekerja berkenaan.

“Selepas kejayaan mereka, ramai pengawal keselamatan kini ingin mengabungkan diri dalam usaha membela kepentingan mereka tetapi dicadangkan mereka menubuhkan kumpulan mereka sendiri dan mereka ini ada yang dari luar Selangor seperti dari Perak dan Negeri Sembilan.

“Apa yang kita perjuangkan ini bukan sekadar mendapatkan hak kepada pekerja tetapi saya ingin nyatakan penyatuan yang kita telah usahakan yang mana berjaya dalam kontek melawan kezaliman yang ada,” katanya.

No comments: