5 November 2013

JUHAM :MASALAH BANKRAPSI GOLONGAN MUDA PETAKA NEGARA

JUHAM :MASALAH BANKRAPSI GOLONGAN MUDA PETAKA NEGARA

1.       Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Kerajaan Malaysia mengambil langkah kawalan segera dan penyelesaian yang efisyen berhubung kadar kebankrapan yang sangat meruncing di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda/belia.


 2.       Sepertimana dilaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri baru baru ini,  sebanyak 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31 peratus. Statistik yang dikeluarkan  menteri tersebut memperlihatkan bagi tahun  2007-2013 sahaja, sewa beli kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi kebankrapan iaitu 30,451 kes (26.14 peratus); diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62 peratus); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50 peratus); dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39 peratus).

3.       JUHAM melihat peningkatan kadar kos sara hidup yang melampau menyebabkan masyarakat terpaksa berhutang bagi meneruskan kelangsungan hidup. Justifikasinya, masyarakat hari ini khususnya golongan muda/belia terpaksa berhutang bagi memenuhi keperluan asasi seperti membeli kenderaan, rumah, pinjaman pelajaran dan lain - lain lagi yang tinggi kosnya serta membebankan rakyat. Kesan ini dapat dilihat ketara terutamanya bagi golongan muda yang baru tamat pengajian dan memulakan kerjaya dengan kadar gaji yang tidak relevan seiring peningkatan kos sara hidup terutamanya di kawasan Bandar.

4.       Kerajaan digesa mengambil langkah segera dalam mengawal kos sara hidup yang tinggi ini seperti menurunkan kadar cukai jualan kenderaan,mengawal spekulatif harga rumah, menyediakan pinjaman tanpa faedah bagi pinjaman pelajaran serta berusaha meningkatkan kadar gaji pekerja seiring kos sara hidup.



5.       JUHAM melihat belanjawan 2014 yang dibentangkan baru-baru ini tetap gagal menyediakan satu alternatif terbaik dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup. Sistem cukai GST, pemotongan/penstrukturan subsidi berterusan atas barangan keperluan asas seperti gula dan minyak hanyalah ‘pukulan maut’ kepada rakyat yang masih terkontang kanting dalam menyara kehidupan harian. Pengenalan sistem cukai GST dalam keadaan kadar pendapatan rakyat yang rendah serta sistem tadbir urus Negara yang ‘compang camping’ dilihat tidak kena pada waktunya.

6.       Sewajarnya subsidi kepada barangan keperluan asas seperti minyak adalah perlu dikekalkan dan ditambah baik kerana kenaikkan harga barangan keperluan asas ini akan secara langsung mempengaruhi kenaikkan kos lain-lain barang keperluan yang lain. Sifir mudah ini masih gagal difahami oleh menteri-menteri di pihak kerajaan yang akhirnya hanya mampu mengeluarkan saranan-saranan bersifat ‘sila pindah ke negara lain’. Ia memalukan dan mencerminkan tahap pemikiran mereka  yang terlibat dalam urus tadbir Negara.


7.       JUHAM mengambil satu ketetapan bahawa urus tadbir Negara ini perlu dibersihkan dari segala macam ketirisan,amalan rasuah, pembaziran serta kepincangan sepertimana dilaporkan oleh Laporan Audit Negara saban tahun. Malangnya, Laporan Audit Negara ini dipandang sepi tanpa sebarang tindakan penambahbaikkan dilakukan. Segala petaka ini jelas telah menyebabkan urus tadbir ekonomi Negara ini semakin merosot dan meruncing yang mana pada akhirnya rakyat marahain terpaksa berhempas pulas dan berhutang bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

8.       Akhirnya, satu bentuk pengurusan hutang yang efisyen/praktikal bagi golongan penghutang/peminjam perlu dilaksanakan kerajaan kepada golongan ini. Di pihak JUHAM, kami bersedia memberikan khidmat nasihat guaman kepada mana-mana pihak yang berhadapan dengan masalah bankrapsi dalam mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah tersebut.




Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
PENGARAH
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia

5/11/2013

No comments: