16 October 2013

KPN tidak profesional.

Cabaran yang dibuat Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mencabar Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran supaya turut menyertai operasi pasukan polis untuk menggempur penjenayah berbahaya adalah suatu tindakan yang tidak profesional dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bertaraf Ketua Polis Negara (KPN). “Sebagai seorang penjawat awam, Khalid seharusnya bersikap matang dan terbuka terhadap sebarang kritikan yang dibuat ke atas pasukan polis yang berada di bawah kendaliannya,” ujar Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi dalam satu kenyataan. . 

 Katanya, adalah menjadi tanggungjawab seorang Ahli Parlimen seperti Surendran untuk membangkitkan isu yang berkait dengan kepentingan umum apatah lagi yang membabitkan soal nyawa dan keselamatan rakyat. “Dalam hal ini, kami tidak langung mempersoalkan tugas hakiki polis menjaga keselamatan negara. Tetapi apabila Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas PDRM iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebut dengan jelas bahawa polis akan mengamalkan polisi menembak terlebih dahulu (shoot first) terhadap suspek penjenayah. “Ini adalah suatu yang perkara yang menakutkan dan turut memungkinkan mereka yang tidak bersalah akan menjadi mangsa di hujung senjata pasukan polis,” katanya lagi. Maka, menurut beliau rakyat Malaysia apatah lagi seorang Ahli Parlimen berhak untuk mempersoalkan ‘arahan’ yang diberi Menteri Dalam Negeri tersebut. 

  Tambahan pula, jelasnya Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutan memperuntukkan bahawa tidak ada seorang pun yang boleh diambil nyawanya dan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Beliau menjelaskan, polisi shoot first, investigate later yang dilaungkan Menteri Dalam Negeri adalah sangat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, katanya Ketua Polis Negara tidak perlu ‘melompat’ dengan membuat cabaran kebudak-budakan seperti itu. Katanya, kebimbangan rakyat yang disuarakan Surendran sewajibnya ditangani dengan professional dan matang. Tambahnya, tindakan Khalid itu sebenarnya saling tak tumpah dengan perangai tidak matang pemimpin-pemimpin Umno setiap kali mereka berdepan dengan kritikan dan persoalan rakyat. “Tak lama dulu ada menteri dari Umno yang mencabar rakyat yang tidak setuju dengan sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia supaya berhijrah ke negara lain,” ujarnya. Penyakit yang sama, katanya nampaknya berjangkit pula dengan Ketua Polis Negara.

 “Namun kita harus sedar menteri tersebut adalah ahli politik, tapi Tan Sri Khalid adalah penjawat awam yang sepatutnya berfikir dan bertindak melangkaui soal politik,” katanya. Justeru, kata beliau Juham dengan ini mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri dan juga cabaran yang dibuat oleh Ketua Polis Negara terhadap Surendran. Katanya lagi, kerajaan dan PDRM khususnya, harus lebih professional dan mendengar apa yang dibimbangi rakyat. Beliau menambah, PDRM tidak perlu bersikap seperti ahli-ahli politik Umno agar PDRM benar-benar menjadi sebuah pasukan polis yang dihormati rakyat, efektif dan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

No comments: