Satu satunya sebab mengapa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah ( PCA ) berjaya diluluskan oleh Dewan Rakyat baru baru ini kerana wujudnya kezaliman suara majoriti ( tyranny of majority ). Jika demokrasi dikaitkan dengan suara majoriti maka kita tidak ada pilihan selain terpaksa menerima bukan sahaja kezaliman majoriti bahkan kejahilan majoriti juga.
Mesej di dalam Al Quran bahawa ramai manusia yang tidak mengetahui atau tidak menggunakan akal dapat saya rasakan wujud di Parlimen Malaysia semasa berbahas PCA. Sebab itu tidak pelik ada Ahli Parlimen BN yang boleh mencadangkan mana mana orang yang dikatakan melakukan jenayah layak ditembak sahaja.
Mengapa Pakatan Rakyat menentang PCA? Jawapannya mudah iaitu kita menentang apa sahaja undang undang yang membenarkan penahanan seseorang tanpa bicara. Bukankah , sepertimana hujah Ahli Parlimen BN, yang ditahan itu adalah penjenayah ? Ya , benar tapi siapakah yang menentukan seseorang itu penjenayah ? Bukankah itu peranan Mahkamah ? Bagaimanakah Mahkamah dapat menjalankan tugas dan peranannya jika peranan itu ditiadakan dalam PCA?
Mengapa kita harus berikan keadilan kepada penjenayah, hujah Ahli Parlimen BN. Jawapan itu, saya jawab semasa berbahas , wujud dalam Al Quran. Al Quran menyatakan secara jelas " Janganlah kerana kebencian kamu pada sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adil lah kerana ia lebih dekat kepada ketaqwaan." Ayat ini saya kata kepada Parlimen menunjukkan bahawa Islam mempromosi keadilan yang mutlak - keadilan perlu ditegakkan dalam apa keadaan dan kepada sesiapa pun hatta kepada musuh.
Benci macam mana sekalipun kita kepada mana mana penjenayah ia tidak memberi lesen untuk kita tidak berlaku adil kepada mereka. Sebab itu pernah wujud dalam sejarah Islam manifestasi sebenar ruh ayat ini iaitu apabila Syaidina Umar r.a ditikam oleh orang yang ingin membunuhnya Umar r.a masih melarang penjenayah itu diperlakukan dengan kejam dan zalim. Sebab itu juga pernah wujud dalam sejarah Islam apabila orang Islam iaitu Tu'mah Ibnu Ubayriq yang mencuri baju besi dan diletakkan di rumah orang Yahudi turun ayat Al Quran dalam surah Al Nisa' ayat 105 yang membebaskan orang Yahudi dari tuduhan palsu yang dibuat oleh orang Islam. Ya, Yahudi jahat namun apabila mereka dizalimi hatta oleh otang Islam, Islam membela Yahudi dan mencela tindakan orang Islam sendiri.
Atas ruh ajaran Al Quran itu, sebenci mana pun kita pada penjenayah kita tidak boleh sama sekali menafikan keadilan kepada mereka. Sebab itu saya katakan dalam Parlimen meskipun Altantuya dibunuh dengan ngeri dan kes pembunuhan itu mencalarkan imej negara kita mereka yang dituduh membunuh Altantuya masih kita bicarakan. Mengapa ? Jawapannya kerana mereka yang ditahan atau dituduh adalah dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Inilah prinsip asas dalam undang undang jenayah sama ada dalam undang undang Islam mahupun undang undang manusia.
Prinsip asas itu bukan benda yang baru dan kewujudan prinsip asas itu adalah suatu yang amat amat diperlukan . Dalam kes jenayah , seseorang yang ditahan berlawan dengan sebuah negara. Negara ada segala-galanya seperti polis, pendakwa, penjara dan sebagainya. Maka satu satunya pelindung kepada mereka yang ditahan oleh negara adalah prinsip asas itu. Malangnya PCA sepertimana ISA memadamkan atau memansuhkan prinsip asas itu.
Seperti yang saya katakan dalam kes jenayah adanya beberapa prinsip asas yang telah wujud begitu lama . Antaranya prinsip bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya.Juga wujud prinsip lebih baik seorang hakim tersilap melepaskan 10 orang yang bersalah daripada tersilap mensabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah. Sebab itu juga dalam kes jenayah beban membukti dikenakan ke atas pendakwa. Sebab itu juga dalam kes jenayah tahap pembuktian atau standard of proof adalah amat tinggi iaitu melampaui keraguan munasabah.
Semua prinsip di atas bukan sengaja direka- reka. Kewujudan prinsip prinsip tersebut mempunyai alasan tersendiri . Malangnya PCA hapuskan prinsip prinsip asas itu dengan dihapuskan peranan dan tugas Mahkamah. PCA melarang seseorang dibicarakan di Mahkamah meskipun ia dikatakan melakukan jenayah. Larangan bicara menukar prinsip asas undang undang jenayah. PCA menganggap seseorang yang ditahan adalah dikira bersalah dan tidak perlu dibuktikan mengapa mereka bersalah.
Ya, PCA menghapuskan kuasa Menteri untuk mengeluarkan perintah tahanan tanpa bicara. Kuasa itu kini dipindahkan ke atas suatu Lembaga. Persoalannya apa bezanya jika Lembaga juga diberi kuasa seperti Menteri untuk menahan orang tanpa bicara. Yang lebih teruk lagi kuasa Lembaga untuk menahan orang tanpa bicara tidak boleh disemak oleh Hakim melalui semakan kehakiman kecuali dalam perkara yang dikatakan pelanggaran prosedur. Secara mudahnya jika sekalipun dibuktikan Lembaga mempunyai niat jahat ( mala fide ) tidak boleh dicabar kuasa drakonian itu. Jika sekalipun pelanggaran prosedur boleh disemak oleh Mahkamah hakikatnya jika Mahkamah membebaskan seseorang yang ditahan kerana pelanggaran prosedur melalui perintah habeas corpus orang itu masih boleh ditahan semula melalui perintah tahanan yang baru.
Apabila Kerajaan Tony Blair membenarkan tahanan tanpa bicara dalam kes yang melibatkan pengganas yang hanya dikenakan ke atas bukan warganegara British , Amnesty International menyifatkan undang undang di England itu sebagai " Guantanamo Bay of England". Di Parlimen saya katakan jangan pula Malaysia nanti digelar oleh "Guantanamo of Malaysia " jika sekiranya PCA ini berjaya dijadikan undang undang di negara ini.
No comments:
Post a Comment