11 October 2013

Tangguh AES sebelum pelaksanaan baru- Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) meminta agar kerajaan menangguh sepenuhnya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah dipasang serta membatalkan saman-saman yang dikeluarkan.
Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff (Gambar) memberitahu walau apa jua cadangan yang diutarakan, pertama sekali perlu dilakukan adalah menanggung dulu pelaksanaan sebelum ini.

Jelasnya, terlalu banyak kelemahan yang berlaku terutamanya dari sudut teknikal dan juga perundangan sepertimana yang diperkatakan Peguam Negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Ismail Ahmad sebelum itu dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan menggunakan budi bicara dalam pelaksanaan AES termasuk mengambil kira lokasi pemasangan kamera AES.

"Walau apa jua cadangan yang kerajaan utarakan, pertama sekali kerajaan perlu hentikan segera pelaksanaan AES terlebih dahulu dan batalkan kesemua saman yang telah dikeluarkan.

"Terlalu banyak kepincangan yang berlaku terutamanya dari sudut teknikal dan perundangan, kalau yang ini pun belum selesai tak guna nak buat apa-apa cadangan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan kenyataan Ismail yang akan memberi keutamaan kepada laluan had laju 110 kilometer sejam terlebih dahulu serta mengambil kira kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

"Dulu kerajaan kata AES ini dipasang untuk kawasan-kawasan kemalangan dengan tujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

"Tetapi kenyataan hari ini amat berbeza, apa dah jadi kepada matlamat asal dan kalau kerajaan hendak pasang pada kawasan 110 kilimeter sejam sahaja itu bukan kawasan tumpuan.

"Dan kita juga hendak tahu AES di lampu isyarat dan juga beberapa lokasi yang kelajuan bawah 80 kilometer sejam, kalau hanya nak tumpu pada kawasan 110 maka saya minta kamera AES di lokasi-lokasi lampu isyarat dan had laju yang rendah ditanggal serta merta," sambung beliau.

Beliau yang mengesa agar kerajaan mendedahkan perjanjian yang ditandatangani antara syarikat pembekal sebelum cadangan baru diperolehi bagi mengetahui apa pindaan yang telah dilakukan dari perjanjian asal.

"Dedah dulu perjanjian asal dan baru kita boleh tahu apa perubahan yang dibuat hasil dari perbincangan.

"Kalau perjanjian pun tak mahu dedah, macam mana kita hendak tahu perubahan pindaan tersebut dan jadi adalah lebih baik kerajaan mengumumkan supaya rakyat lebih tahu," sambung beliau.

Menurutnya lagi, setiap cadangan perlu diadakan perbincangan meja bulat dengan memanggil semua yang terlibat dan persetujuan perlu dilakukan sebelum pelaksanaan sepenuhnya.

No comments: