11 May 2009

Keputusan Kes Nizar vs Zambry

Salam

Tiada yang lebih indah pada hari ini melainkan berita keputusan kes Nizar lwn Zambry diumumkan oleh Dato' Abdul Aziz Rahim di Mahkamah Tinggi Jalan Duta mulai jam 2.30 - 4 petang tadi. Akhirnya, kebenaran telah terbukti dan kebatilan UMNO-BN telah didedahkan oleh YA Hakim.

Rasanya, tidak perlu diulas lanjut mengenai alasan penghakiman kerana kesemua blog atau website telah menyiarkan ringkasan mengenai alasan penghakiman kes ini. Lihat sini atau sini. Kami cuma ingin melahirkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah taala yang telah memberikan keberanian kepada YA Hakim untuk memberikan suatu keputusan yang berbentuk anti establishment. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam yang diketuai oleh Tuan Haji Sulaiman yang mewakili Dato Seri Ir Nizar yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha menegakkan kebenaran ini.

Kami juga ingin lahirkan rasa syukur kepada Allah atas limpah kurnianya dan rancangannya itu semuanya ini menjadi kenyataan. Pada mula kes ini didengar oleh YA Tuan Haji Mohd Ariff Yusuf, kami telah menaruh harapan tinggi kepadanya sehingga beliau menarik diri dari mendengar kes ini kerana takut institusi kehakiman akan ditohmah kelak. Selepas itu, kes didengar oleh YA Puan Lau Bee Lan, namun apabila YA Puan Hakim merujukkan kes ini terus ke Mahkamah Persekutuan, harapan itu seakan berkecai. Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan menghantar balik kes ini ke Mahkamah Tinggi, seorang hakim yang tidak dikenali yang dibawa pulang dari Sarawak pula ditugaskan mendengar kes ini. Harapan kami juga makin samar kerana tiada siapa yang jelas mengenai latar belakang YA Hakim Dato A. Aziz.

Harapan kami kembali berputik apabila kali pertama sebutan kes dibuat di hadapan YA Hakim, beliau mengejutkan para peguam apabila beliau telah mengucapkan salam, Assalamualaikum kepada Tuan Haji Sulaiman. Secara kelazimannya, jarang sekali seorang hakim Mahkamah Sivil berbuat demikian apatah lagi seorang hakim mengucapkan salam kepada peguam. Kalau peguam mengucapkan salam kepada Hakim, itu barangkali tidaklah menjadi perkara yang nadir.

Berikutnya, sewaktu hujahan akhir masih berlangsung, kira-kira jam 4.30 petang, beliau telah menangguhkan kes selama 20 minit bagi pihak-pihak menunaikan solat asar. Jika begini sikapnya, kami amat positif bahawa Hakim ini bukanlah hakim yang boleh dijual beli bahkan beliau adalah hakim yang lebih takut dipertanggungjawabkan di akhirat terhadap apa yang diputuskannya kelak. Beliau sedar bahawa keputusan yang dibuatnya itu bukanlah keputusan yang popular dan kemungkinan kelak beliau akan ditukarkan ke Tawau atau lain-lain tempat terpencil sebagaimana yang pernah berlaku kepada Allahyarham Haji Idris, mantan Pesuruhjaya Hisbah Terengganu selepas beliau berkata benar kepada mantan Presiden Mahkamah Rayuan.

Kami dapat merasakan sewaktu keputusan kes ini dibacakan tadi, Hakim Dato A. Aziz berada dalam suci dari hadas besar atau kecil atau dalam kata lain dalam keadaan berwuduk. Akhirnya, kebenaran yang diperjuangkan ini masih jauh dari selesai.

Semoga segala usaha kita selama ini menjadi amalan baik dalam hidup kita di dunia atau di akhirat. Semoga Dato A. Aziz terus komited dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, dan ditetapkan hatinya untuk terus bersama orang-orang yang siddiqin, syuhadak dan solehin.

Wallahualam

No comments: