19 July 2009

JUHAM MENGGESA PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA BAGI MENYIASAT KEMATIAN TEOH BENG HOCK


Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa supaya Perdana Menteri segera menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Bagi JUHAM, kematian Teoh adalah penuh misteri yang mana beliau dikatakan baru selesai disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Prosedur siasatan yang digunapakai dalam proses siasatan tersebut jelas telah mengabaikan konsep hak asasi manusia. Teoh dikatakan telah disiasat bermula jam 4.00 petang sehingga jam 3.45 pagi secara terus menerus tanpa ditemani oleh mana-mana peguam.

JUHAM juga menyelar sikap ketidakpertanggungjawaban yang ditunjukkan oleh SPRM sepertimana yang dibuat oleh Datuk Mohd Shukri Abdull, Pengarah Bahagian Siasatan yang dengan segera menafikan penglibatan SPRM dengan kematian Teoh sedangkan siasatan polis belum selesai. Fakta yang belum mendapat penjelasan sempurna adalah bagaimana beliau boleh mati di laman SPRM sejurus selepas beliau disiasat. Bagaimana pula dijelaskan mengenai kesan koyakan seluar Teoh? Bagaimana pula siasatan dibuat secara terus-menerus berjam-jam dan peguam juga dinafikan hak untuk bersama beliau. Bukankah SPRM tahu beliau sepatutnya hadir keesokan hari di Pejabat Pendaftar Perkahwinan bagi mendaftarkan pernikahannya? Sehingga ke hari ini, rakyat hanya diberitahu bahawa 17 kenyataan telah diambil daripada mereka yang terlibat berkaitan kematiannya tetapi masih ada yang belum direman polis. Apakah standard penyiasatan yang polis gunakan walhal Polis IPD Sentul beria-ia dan
bersungguh-sungguh sangat ingin menahan reman beberapa anak muda yang kononnya menyertai demonstrasi haram Jumaat lepas di hadapan Kedutaan Thailand.

JUHAM percaya, proses interogasi melampaui yang dilalui Teoh adalah bercanggah dengan konsep hak asasi manusia dan bercanggah dengan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment of Punishment 1984 dan International Covenant of Civil and Political Rights 1966.

Memandang kepada integriti polis yang berterusan diragui telus dalam siasatan mereka dan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan ini JUHAM menggesa YAB Perdana Menteri untuk menasihati Yang Dipertuan Agong untuk menubuhkan segera suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat segala isu yang menyelubungi kematian Teoh ini.

Salam Takziah buat ahli keluarga Mendiang Teoh Beng Hock.

(Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia, DPP Pusat)

No comments: