25 April 2012

Antara Misteri Dan Konspirasi inkues Baharuddin Ahmad (Bersih 2.0)














Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia berhampiran KLCC semasa Himpunan Bersih 2.0 lalu telahpun berjalan selama lebih 15 hari dengan 25 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan sejak Januari lepas. Prosiding ini dikendalikan di Mahkamah Majistret Jenayah 1 Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di hadapan Tuan Zulkepli Abdullah yang bertindak sebagai Koroner. Kes akan bersambung semula pada 2 Mei 2012 ini di mana seorang saksi penting, iaitu kakitangan Hospital Besar Kuala Lumpur akan hadir memberi keterangan berhubung buku pendaftaran bedah siasat pada 9 Julai 2011.

Punca kematian yang dimaklumkan oleh pihak Polis kepada umum sebelum ini  ialah Allahyarham Baharuddin Ahmad meninggal dunia akibat daripada sakit jantung. Walau bagaimanpun sejak inkues ini berjalan, pihak peguam keluarga mendapati terlalu banyak perkara yang pelik, di luar prosedur biasa yang digunakan oleh polis jika berlaku kematian dan beberapa perkara lain yang menimbulkan tanda-tanya pihak peguam , seolah-olah terdapat sesuatu perkara besar yang cuba diselindungkan oleh pihak-pihak tertentu. Lebih-lebih lagi, anak simati yang juga seorang pegawai perubatan, mengesahkan dalam keterangannya di mahkamah bahawa bapanya tidak pernah ada rekod sakit jantung. Malah, beliau adalah seorang yang sihat dan aktif pada hari kejadian dan biasa melakukan kerja-kerja berat. Fakta ini dengan sendirinya menimbulkan percanggahan yang sangat ketara dengan makluman yang diberikan oleh pihak polis tersebut .

Sekurang-kurangnya lima orang saksi telah memberi keterangan bahawa mereka samada merasa pelik atau menyatakan bahawa pemindahan mayat simati yang disahkan meninggal di Avenue K, berhampiran KLCC pada 9 Julai 2011 tersebut,  tidak mengikut prosedur sebenar apabila simati di bawa ke hospital. Sepatutnya pihak polis dan forensik hendaklah datang ke tempat kejadian, membuat satu sketch mengenai tempat kejadian termasuk mengambil gambar di kawasan tersebut bagi mengelakkan bukti-bukti awal di usik di tempat kejadian. Ini tidak berlaku dalam kes ini, malah polis hanya datang ke tempat tersebut lebih seminggu selepas hari kejadian.

Perkara yang paling misteri dalam prosiding inkues ini ialah bilamana pakar radiologi di Jabatan Pengimejan Diagnostik HKL bersetuju bahawa kemungkinan jasad simati mungkin bertukar dengan jasad orang lain ketika melakukan ct scan. Dan ini boleh berlaku semasa di bahagian pendaftaran.Sarjan Razali iaitu pegawai penyiasat dalam kes ini bersetuju bahawa beliau hanya mengikut arahan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur dalam menyiasat kes ini tanpa merujuk kepada  peruntukan dalam kanun prosedur jenayah. Beliau juga bersetuju tidak menyiasat dari sudut samada simati telah meninggal dunia kerana kekerasan dari pihak polis, sedangkan dua saksi lain mengesahkan terdapat tanda garisan yang berdarah di belakang badan atas simati dan juga kesan darah di baju simati. Namun begitu, perkara sepenting ini tidak dimasukkan dalam lapuran bertulis mereka.

Jikapun benar Allahyarham Baharuddin meninggal  dunia kerana serangan jantung di Avenue-K seperti yang diberitahu oleh pihak polis, kenapa pula ada tompokan darah di baju beliau? Sejak bila serangan jantung boleh mengakibatkan percikan darah yang begitu banyak di baju simati? Sejak bila juga serangan jantung boleh mengakibatkan keretakan kepada beberapa tulang rangka simati, sepertimana yang dibuktikan dan disahkan oleh pegawai perubatan HKL yang memberikan keterangan di mahkamah. Semua ini mengesahkan bahawa punca kematian simati bukanlah disebabkan serangan jantung tetapi mungkin berpunca daripada keganasan dan kekerasan yang berlaku terhadapnya.

Pakar patologi yang terlibat dalam post-mortem Allahyarham Baharuddin bersetuju bahawa ada satu lagi bedah siasat dibuat pada malam 9 Julai tersebut terhadap seorang mayat  lelaki Melayu bernama Sulaiman Ramley yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Beliau telah dibedah-siasat pada waktu yang sama dengan Allahyarham Baharuddin Ahmad di dalam bilik bedah yang sama dan selesai pukul 4.15 pagi pada 10 Julai 2011 di mana keputusan awal pagi itu ialah “ischaemic heart disease due to coronary artheclorisis” iaitu meninggal akibat komplikasi jantung. Bedah siasat terhadap Baharudin Ahmad pula selesai pukul 3.45 pagi  pada 10 Julai 2011 dan keputusan awal pagi itu ialah masih lagi “pending laboratory analysis”. Untuk rekod, Baharudin Ahmad "brought in death" ke HKL dari Avenue-K lebih kurang jam 5 petang pada 9 Julai 2011 melalui ambulan Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarham Sulaiman Ramley pula "brought in death" ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)  oleh  ambulan PPUM dari rumahnya di Kampung Medan,Petaling Jaya jam lebih kurang 6.30 petang pada 9 Julai 2011 tetapi pihak Polis pula yang membawa mayat tersebut ke HKL pada jam 10 malam pada hari yang sama !

Persoalannya, mengapa mayat seorang yang sudahpun meninggal dunia di Petaling Jaya dan dibawa ke hospital yang berdekatan iaitu di PPUM, dibawa pula oleh pihak Polis (bukan pihak hospital) untuk  dibuat bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur? Apakah PPUM tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk membuat bedah-siasat ke atas seoarang yang telahpun meninggal dunia dan diketahui meninggal akibat serangan jantung? Dan mengapa pula mayat tersebut dibawa oleh pihak polis sedangkan Sulaiman Ramley adalah orang biasa dan tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti jenayah?

Berdasarkan fakta kes ini, kecelaruan prosedur yang digunakan dan percanggahan keterangan dari beberapa orang saksi, peguam keluarga simati percaya bahawa terdapat konspirasi antara pihak polis dan hospital dalam menyembunyikan bukti-bukti berkaitan dengan punca sebenar kematian Baharudin Ahmad. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa jantung simati Sulaiman Ramley digunakan bagi menunjukkan simati Baharudin Ahmad yang tidak ada langsung rekod sakit jantung, telah mati akibat sakit jantung bagi menutup segala kepincangan yang berlaku dalam kes ini (massive cover-up). Pihak peguam keluarga akan terus membongkar dan mencari punca sebenar kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad yang terkorban hanya semata-mata melaksanakan haknya untuk berhimpun secara aman, sesuatu yang sudahpun dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutan. Keadilan perlu ditegakkan dan pembelaan perlu diberi kepada keluarga beliau. Pengorbanan beliau tidak ternilai harganya. Allahyarham Baharuddin Ahmad adalah ikon kebangkitan rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bebas, bersih dan adil di bumi Malaysia yang tercinta ini.


24 April 2012
AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
(Salah Seorang Peguam bagi keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad)

No comments: