6 April 2012

Tindakan UTHM dakwa pelajar tidak sah


Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius berkenaan isu perbicaraan tatatertib  terhadap 3 orang pemimpin pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Kaedah 3(a)(i) dan Kaedah 14 Kaedah-Kaedah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar 2009).


Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, pihaknya mendapati bahawa pihak Jawatankuasa Tatatertib Hal Ehwal Pelajar UTHM telah melanggar banyak prosedur pertuduhan sebelum perbicaraan yang dijadualkan berlangsung hari ini.

“Pihak Juham telah menghantar representasi dan bantahan awal kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM memaklumkan kecacatan prosedur dan hak asasi yang tidak dipatuhi oleh pihak universiti,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, selain daripada terdapat banyak kecacatan pada kertas pertuduhan itu sendiri, perkara asas kepada bantahan Juham adalah kaedah yang digunapakai oleh Pihak Berkuasa Tatatertib UTHM adalah Kaedah yang ultra vires dan jelas bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 2009.

Selain itu juga, jelasnya lagi kertas pertuduhan yang diserahkan kepada pemimpin pelajar terbabit juga tidak mempunyai tarikh  dan tidak dinyatakan secara spesifik butir-butir kesalahan yang dilakukan oleh mereka bertiga selain daripada pertuduhan yang bercanggah dengan Kaedah yang digunakan ke atas mereka.

Beliau berkata, ruang untuk mereka membela diri juga tidak diberikan, malah mereka terus dipanggil untuk menghadapi perbicaraan tersebut dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman penggantungan atau dibuang daripada universiti.
Juham , katanya lagi melihat tindakan yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib UTHM adalah bersifat terburu-buru dan pra matang.

“Asas kepada isu ini ialah bantahan mahasiswa  terhadap program Umno yang dipaksa ke atas pelajar-pelajar UTHM yang diadakan pada 18 November 2011 dengan kehadiran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan,” ujarnya.

Mahasiswa di dua kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tun Fatimah dan Kolej Tun Dr. Ismail dipaksa hadir dengan menutup lampu-lampu mereka.

Ini, katanya adalah satu tindakan yang sangat tidak matang dan pihak universiti pula ingin mengambil tindakan terhadap 3 mahasiswa tersebut bagi melindungi kepentingan politik Umno semata-mata.

“Walaupun prosiding tata-tertib tersebut telah ditangguhkan, pihak Juham akan terus membantu  3 mahasiswa UTHM ini bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya buat mereka,” katanya.

Beliau menambah, Juham akan memberikan sokongan, nasihat dan bantuan perundangn secara percuma kepada mahasiswa-mahasiswa yang ditekan, diugut dan dizalimi seperti ini.

Tegasnya, mahasiswa adalah pewaris kepada kepimpinan masa depan negara dan sumbangan mereka amat bermakna, mereka tidak patut ditindas dan dilayan sebegini rupa oleh kerajaan Umno BN.

sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9386-tindakan-uthm-dakwa-pelajar-tidak-sah

No comments: