20 April 2012

UniMAP amal undang-undang rimba hukum pelajar




Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia amat terkejut dengan tatacara pengendalian prosiding perbicaraan tatatertib oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terhadap seorang mahasiswa iaitu Mohd Izuwan Zaini  pada 17 April 2012 baru-baru ini yang jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang dan kebebasan hak asasi.

UniMAP telah menjatuhkan hukuman amaran keras, denda RM100 dan menggantung selama 66 hari terhadap mahasiswa terbabit kerana didakwa menganjurkan suatu Perhimpunan “Watch 13”.

Setelah meneliti butiran perjalanan prosiding tersebut, JUHAM mendapati UniMAP telah melanggar pelbagai peraturan dan hak asasi seseorang tertuduh sewaktu  dibicarakan.

Pencabulan utama yang dilakukan oleh UniMAP ialah, pertamanya, apabila UniMAP menghalang mahasiswa terbabit daripada menyoal-balas saksi pendakwa dengan alasan jawapan yang diberikan oleh saksi pendakwa tersebut hanyalah untuk kegunaan pihak pendakwa semata-mata, dan bukannya untuk yang dituduh.

Keduanya, mahasiswa terbabit dinafikan hak untuk memanggil saksi pembelaan.

Tindakan UniMAP ini jelas memeranjatkan JUHAM kerana tindakan UniMAP ini menunjukkan mereka buta undang-undang dan jelas mengamalkan undang-undang rimba kerana hak untuk menyoal balas saksi atau hak  memanggil saksi pembelaan adalah hak asasi orang yang dituduh dan merupakan peraturan asas dalam sesuatu perbicaraan sama ada di mahkamah atau tribunal tatatertib  di universiti.

Oleh itu, tindakan UniMAP ini jelas mencerminkan status pemikiran yang terkongkong dan tahap intelektual yang rendah mutunya serta memalukan imej UniMAP sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi.

Penggunaan undang-undang rimba di menara gading seperti UniMAP ini adalah mengejutkan dan bersifat mengundur ke belakang malah bertentangan dengan aspirasi dan ekspektasi intelektual yang suci.

Ironinya, mahasiswa terbabit disabitkan atas kesalahan kononnya telah mencemarkan nama baik Unimap. Sebaliknya, tindakan jawatankuasa tatatertib UniMAP sendiri itu yang sebenarnya  memalukan dan mencemarkan nama baik seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia.

JUHAM amat kesal dengan tindakan UniMAP ini dan percaya tindakan tidak berintelektual sebegini juga ada diamalkan di kebanyakan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Maka, tidak hairanlah UniMAP dan kebanyakan daripada institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia gagal untuk menyaingi institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara kerana tatacara asas perundangan pun gagal difahami dengan sempurna.

JUHAM menggesa Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyiasat perkara ini dan JUHAM mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi membuat latihan asas undang-undang kepada para pentadbir institusi-institusi pengajian tnggi di negara kita.

Malah, JUHAM bersedia untuk menawarkan khidmat percuma kelas asas perundangan kepada  para pentadbir institusi-institusi pengajian tinggi di negara kita ini supaya tindakan yang memalukan seperti yang diamalkan oleh UniMAP ini tidak membarah dan merebak ke institusi-institusi pengajian tinggi lain di negara kita.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments: