16 October 2013

KPN tidak profesional.

Cabaran yang dibuat Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mencabar Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran supaya turut menyertai operasi pasukan polis untuk menggempur penjenayah berbahaya adalah suatu tindakan yang tidak profesional dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bertaraf Ketua Polis Negara (KPN). “Sebagai seorang penjawat awam, Khalid seharusnya bersikap matang dan terbuka terhadap sebarang kritikan yang dibuat ke atas pasukan polis yang berada di bawah kendaliannya,” ujar Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi dalam satu kenyataan. . 

 Katanya, adalah menjadi tanggungjawab seorang Ahli Parlimen seperti Surendran untuk membangkitkan isu yang berkait dengan kepentingan umum apatah lagi yang membabitkan soal nyawa dan keselamatan rakyat. “Dalam hal ini, kami tidak langung mempersoalkan tugas hakiki polis menjaga keselamatan negara. Tetapi apabila Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas PDRM iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebut dengan jelas bahawa polis akan mengamalkan polisi menembak terlebih dahulu (shoot first) terhadap suspek penjenayah. “Ini adalah suatu yang perkara yang menakutkan dan turut memungkinkan mereka yang tidak bersalah akan menjadi mangsa di hujung senjata pasukan polis,” katanya lagi. Maka, menurut beliau rakyat Malaysia apatah lagi seorang Ahli Parlimen berhak untuk mempersoalkan ‘arahan’ yang diberi Menteri Dalam Negeri tersebut. 

  Tambahan pula, jelasnya Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutan memperuntukkan bahawa tidak ada seorang pun yang boleh diambil nyawanya dan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Beliau menjelaskan, polisi shoot first, investigate later yang dilaungkan Menteri Dalam Negeri adalah sangat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, katanya Ketua Polis Negara tidak perlu ‘melompat’ dengan membuat cabaran kebudak-budakan seperti itu. Katanya, kebimbangan rakyat yang disuarakan Surendran sewajibnya ditangani dengan professional dan matang. Tambahnya, tindakan Khalid itu sebenarnya saling tak tumpah dengan perangai tidak matang pemimpin-pemimpin Umno setiap kali mereka berdepan dengan kritikan dan persoalan rakyat. “Tak lama dulu ada menteri dari Umno yang mencabar rakyat yang tidak setuju dengan sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia supaya berhijrah ke negara lain,” ujarnya. Penyakit yang sama, katanya nampaknya berjangkit pula dengan Ketua Polis Negara.

 “Namun kita harus sedar menteri tersebut adalah ahli politik, tapi Tan Sri Khalid adalah penjawat awam yang sepatutnya berfikir dan bertindak melangkaui soal politik,” katanya. Justeru, kata beliau Juham dengan ini mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri dan juga cabaran yang dibuat oleh Ketua Polis Negara terhadap Surendran. Katanya lagi, kerajaan dan PDRM khususnya, harus lebih professional dan mendengar apa yang dibimbangi rakyat. Beliau menambah, PDRM tidak perlu bersikap seperti ahli-ahli politik Umno agar PDRM benar-benar menjadi sebuah pasukan polis yang dihormati rakyat, efektif dan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

11 October 2013

Peguam Juham turun pertahan Sungai Limau


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) melalui 50 orang para peguamnya akan turun mempertahankan Dun Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan pada 4 November depan. 


Melalui suatu perjumpaan antara Juham, para peguam PAS Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bersama-sama dengan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Negeri Kedah di Kuala Kedah pada 28 September lalu, antara resolusi yang dicapai dan dipersetujui ialah para peguam Juham akan diturunkan ke setiap Unit Peti Undi (UPU) di Dun Sungai Limau dan akan akan dijadikan anak angkat bagi setiap UPU tersebut.


“Di situ, para peguam Juham akan turun memberikan penerangan undang-undang kepada setiap petugas Paca yang akan bertugas di Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Limau tersebut,” ujar Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi kepadaq Harakahdaily.


Selain itu, katanya para peguam Juham juga akan memberikan penerangan kepada pengundi-pengundi mengenai isu undang-undang seperti hak istimewa orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menangkis dakyah Umno Barisan Nasional kononnya wakil DAP akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia.


Beliau berkata, seperti kebiasaan pada pilihan raya-pilihan raya yang lalu, Juham turut akan membuka bilik gerakan bagi menyelaraskan gerak kerja para peguam sepanjang proses pilihan raya kecil tersebut. 


Menurutnya lagi, elalui kerja bersepadu sebegini, Juham percaya ia dapat membantu para petugas pilihan raya dalam membuat persediaan berdepan dengan sebarang provokasi kempen Umno Barisan Nasional serta menangkis penipuan-penipuan yang bakal berlaku. 


Akhirnya, kata beliau Juham mendesak agar SPR bersikap telus, adil dan amanah dalam mengendalikan pilihan raya kecil kali ini. 


“Juham tidak menolak kemungkinan Umno Barisan Nasional akan bersungguh-sungguh merebut kerusi Dun Sungai Limau ini bagi menjaga air muka Menteri Besar mereka tatkala pemilihan Umno semakin hampir,” katanya. 


Justeru, ujar beliauJuham menyeru kepada semua petugas PAS agar lebih bersedia dalam berdepan pelbagai penipuan sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Henti pelaksanaan AES hingga semua kajian selesai- Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan supaya telus dan menghentikan serta merta perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga semua kajian selesai.

Beliau menyatakan demikian ekoran kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengumumkan bahawa pelaksanaan AES akan diambilalih oleh kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan [GLC] iaitu AES Solution Sdn Bhd.

Walau bagaimana pun, katanya terdapat beberapa isu yang mengelirukan timbul di dalam pengumuman tersebut.

“Saya melihat pengumuman tersebut adalah suatu pengumuman pra-matang kerana kajian terperinci oleh Jawatankuasa Pemandu masih belum selesai,” ujarnya dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Akhirnya Kerajaan melalui Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengumumkan bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik [AES] akan diambilalih oleh kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan [GLC] iaitu AES Solution Sdn Bhd.

Walau bagaimana pun terdapat beberapa isu yang mengelirukan timbul di dalam pengumuman tersebut. Saya melihat pengumuman tersebut adalah suatu pengumuman pra-matang kerana kajian terperinci oleh Jawatankuasa Pemandu masih belum selesai. Antara isu yang masih samar tanpa penjelasan ialah seperti berikut:-

a)   Status dua (2) syarikat.

Kerajaan mengumumkan bahawa AES Solution Sdn Bhd akan mengambil pegangan (share) di dalam kedua-dua syarikat tersebut secara berperingkat. Ini lebih menimbulkan persoalan. Kenapa syarikat berkaitan kerajaan AES Solution Sdn Bhd perlu mengambil pegangan saham kedua-dua syarikat tersebut? Selama ini yang dipertikaikan ialah kenapa penguatkuasaan undang-undang perlu dilibatkan syarikat swasta. Sekiranya AES Solution Sdn Bhd mengambil pegangan saham (share) di dalam Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, ianya masih sama kerana perlaksanaan AES masih dilibatkan pihak swasta walaupun ianya syarikat berkaitan kerajaan. Malah dengan cara ini jelas bahawa Kerajaan sedang “bail-out” syarikat Beta tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

b)   Apakah status saman-saman yang telah dikeluarkan?

Kerajaan tidak menjelaskan status saman-saman yang telah dikeluarkan sejak AES dilaksanakan pada 22 September 2012. Pemangku Menteri hanya menyatakan status saman-saman tersebut hanya akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan tetapi dalam masa yang sama menggesa penerima saman membayar kompaun yang telah dikurangkan sebanyak 50%. Ini suatu tindakan terdesak kerajaan untuk memeras duit rakyat yang sudah sedia tertekan dengan rasionalisasi subsidi minyak yang menyebabkan harga minyak RON95 naik 20sen. Jika saman-saman masih belum diputuskan statusnya kenapa perlu dibayar kompaun yang ditawarkan. Adakah tindakan ini adalah sebahagian kaedah kerajaan mendapatkan duit untuk membayar pampasan kepada syarikat?

c)   Kenapa diserahkan kepada PDRM

Sejak tahun 1995 PDRM telah dibekalkan secara berperingkat kamera perangkap laju dan sehingga tahun 2012 jumlahnya adalah sebanyak 124 unit di mana 85 unit model Laser Digicam yang bernilai RM173,925.00 seunit dan model Laser Trucam berjumlah 39 unit yang bernilai RM223,500.00 seunit. Sejak dari 1995 juga kadar kemalangan tidak menurun malah meningkat begitu mendadak walau pun PDRM telah dibekalkan dengan kamera berteknologi tinggi. Malah PDRM juga gagal menguruskan saman-saman yang telah mereka keluarkan sehinggakan pada awal bulan yang lepas Ketua Polis Negara mencadangkan untuk membatalkan lesen memandu bagi 1.7 juta pemilik saman tertunggak. Sekarang AES pula hendak diserahkan operasinya kepada PDRM. Apakah jaminan PDRM boleh menguruskan AES lebih baik? Adakah selama AES dikuatkuasakan JPJ telah gagal menjalankan tugas mereka dalam operasi AES sehinggakan perlu diserahkan kepada PDRM?

d)   Berapa kos pampasan dan bagaimana pampasan dibuat?

Kerajaan telah memasuki Perjanjian bersama dua (2) syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan. Apabila diumumkan bahawa kerajaan mengambil alih operasi, ini bermaksud kerajaan terpaksa membatalkan perjanjian dengan syarikat. Akibat pembatalan perjanjian, kerajaan terpaksa membayar pampasan dan kos-kos terlibat. Pemangku Menteri hanya memberikan jaminan tiada pihak mengaut keuntungan, tetapi bagaimana pampasan akan dibuat untuk mengelakkan keuntungan? Perlu diambil perhatian bahawa Kerajaan mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kos penyediaan AES oleh syarikat ialah sebanyak RM717 juta. Mengikut Model Kewangan Dengan Formula Tiga Langkah yang dipersetujui kedua-dua pihak, syarikat akan menjana sekurang-kurangnya RM769.6 juta setahu dan selama lima (5) tahun syarikat berupaya menjana RM3,848 juta. Jadi berapa sebenarnya jumlah yang akan dibayar oleh Kerajaan, adakah RM717 juta atau RM3,848 juta?

e)   Butiran perjanjian.

Sejak AES dilaksanakan, KASE mendesak di luar dan di dalam Parlimen agar kerajaan dedahkan butiran perjanjian untuk dilihat dan dinilai oleh rakyat kerana perlaksanaan AES ini melibatkan rakyat secara langsung. Kerajaan bertegas bahawa perjanjian adalah rahsia sehingga hari ini kerajaan akan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat. Jadi adalah wajar kerajaan dedahkan isi perjanjian kerana ianya bukan sesuatu yang melibatkan keselamatan negara.

Justeru, saya mendesak kerajaan supaya telus dan 

Tangguh AES sebelum pelaksanaan baru- Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) meminta agar kerajaan menangguh sepenuhnya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah dipasang serta membatalkan saman-saman yang dikeluarkan.
Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff (Gambar) memberitahu walau apa jua cadangan yang diutarakan, pertama sekali perlu dilakukan adalah menanggung dulu pelaksanaan sebelum ini.

Jelasnya, terlalu banyak kelemahan yang berlaku terutamanya dari sudut teknikal dan juga perundangan sepertimana yang diperkatakan Peguam Negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Ismail Ahmad sebelum itu dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan menggunakan budi bicara dalam pelaksanaan AES termasuk mengambil kira lokasi pemasangan kamera AES.

"Walau apa jua cadangan yang kerajaan utarakan, pertama sekali kerajaan perlu hentikan segera pelaksanaan AES terlebih dahulu dan batalkan kesemua saman yang telah dikeluarkan.

"Terlalu banyak kepincangan yang berlaku terutamanya dari sudut teknikal dan perundangan, kalau yang ini pun belum selesai tak guna nak buat apa-apa cadangan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan kenyataan Ismail yang akan memberi keutamaan kepada laluan had laju 110 kilometer sejam terlebih dahulu serta mengambil kira kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

"Dulu kerajaan kata AES ini dipasang untuk kawasan-kawasan kemalangan dengan tujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

"Tetapi kenyataan hari ini amat berbeza, apa dah jadi kepada matlamat asal dan kalau kerajaan hendak pasang pada kawasan 110 kilimeter sejam sahaja itu bukan kawasan tumpuan.

"Dan kita juga hendak tahu AES di lampu isyarat dan juga beberapa lokasi yang kelajuan bawah 80 kilometer sejam, kalau hanya nak tumpu pada kawasan 110 maka saya minta kamera AES di lokasi-lokasi lampu isyarat dan had laju yang rendah ditanggal serta merta," sambung beliau.

Beliau yang mengesa agar kerajaan mendedahkan perjanjian yang ditandatangani antara syarikat pembekal sebelum cadangan baru diperolehi bagi mengetahui apa pindaan yang telah dilakukan dari perjanjian asal.

"Dedah dulu perjanjian asal dan baru kita boleh tahu apa perubahan yang dibuat hasil dari perbincangan.

"Kalau perjanjian pun tak mahu dedah, macam mana kita hendak tahu perubahan pindaan tersebut dan jadi adalah lebih baik kerajaan mengumumkan supaya rakyat lebih tahu," sambung beliau.

Menurutnya lagi, setiap cadangan perlu diadakan perbincangan meja bulat dengan memanggil semua yang terlibat dan persetujuan perlu dilakukan sebelum pelaksanaan sepenuhnya.

“Pada saya SPR gagal,”


KUALA LUMPUR: Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan raya Umum ke-13 yang lalu.

“Pada saya SPR gagal,” tulis beliau di Facebook.

Menurut penganalisis politik itu jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Berikut ialah tulis penuh beliau.

Saya tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Pada saya SPR gagal.

Jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, PM tidak akan membuat pengumuman sedemikian. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan perhimpunan 505 seperti yang berlaku sekarang ini.

Bagi saya, jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.

Cumanya, yang saya tidak faham dengan pengumuman PM ini ialah kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR?

Saya kira tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas. Yang kita perlu sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada!


Begitupun, sekiranya kerajaan ingin menubuhkan jawatankuasa bagi mereformasikan SPR dan sistem pilihan raya kita, maka hal berikut perlu diberikan perhatian:

(i) kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan;

(ii) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003.


Di akhir analisisnya, saya merasakan kerajaan dan PR perlu mengambil tindakan berikut:

(i) mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR supaya meletakkan jawatan,

(ii) PR menghentikan perhimpunan 505 bagi memberi peluang kepada proses petisyen pilihan raya diadili di mahkamah undang-undang.
Dengan pendekatan ini, semoganya tidak ada lagi perhimpunan 505 diadakan dan kerajaan boleh terus menumpukan masa untuk merancang pembangunan negara. Sesungguhnya, rakyat dahagakan kehidupan yang selesa.

PCA - Guantanamo versi Malaysia

Satu satunya sebab mengapa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah ( PCA ) berjaya diluluskan oleh Dewan Rakyat baru baru ini kerana wujudnya kezaliman suara majoriti ( tyranny of majority ). Jika demokrasi dikaitkan dengan suara majoriti maka kita tidak ada pilihan selain terpaksa menerima bukan sahaja kezaliman majoriti bahkan kejahilan majoriti juga.

Mesej di dalam Al Quran bahawa ramai manusia yang tidak mengetahui atau tidak menggunakan akal dapat saya rasakan wujud di Parlimen Malaysia semasa berbahas PCA. Sebab itu tidak pelik ada Ahli Parlimen BN yang boleh mencadangkan mana mana orang yang dikatakan melakukan jenayah layak ditembak sahaja.

Mengapa Pakatan Rakyat menentang PCA? Jawapannya mudah iaitu kita menentang apa sahaja undang undang yang membenarkan penahanan seseorang tanpa bicara. Bukankah , sepertimana hujah Ahli Parlimen BN, yang ditahan itu adalah penjenayah ? Ya , benar tapi siapakah yang menentukan seseorang itu penjenayah ? Bukankah itu peranan Mahkamah ? Bagaimanakah Mahkamah dapat menjalankan tugas dan peranannya jika peranan itu ditiadakan dalam PCA?

Mengapa kita harus berikan keadilan kepada penjenayah, hujah Ahli Parlimen BN. Jawapan itu, saya jawab semasa berbahas , wujud dalam Al Quran. Al Quran menyatakan secara jelas " Janganlah kerana kebencian kamu pada sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adil lah kerana ia lebih dekat kepada ketaqwaan." Ayat ini saya kata kepada Parlimen  menunjukkan bahawa Islam mempromosi keadilan yang mutlak - keadilan perlu ditegakkan dalam apa keadaan dan kepada sesiapa pun hatta kepada musuh.

Benci macam mana sekalipun kita kepada mana mana penjenayah ia tidak memberi lesen  untuk kita tidak berlaku adil kepada mereka. Sebab itu pernah wujud dalam sejarah Islam manifestasi sebenar ruh ayat ini iaitu apabila Syaidina Umar r.a ditikam oleh orang yang ingin membunuhnya Umar r.a masih melarang penjenayah itu diperlakukan dengan kejam dan zalim. Sebab itu juga pernah wujud dalam sejarah Islam apabila orang Islam iaitu Tu'mah Ibnu Ubayriq yang mencuri baju besi dan diletakkan di rumah orang Yahudi turun ayat Al Quran dalam surah Al Nisa' ayat 105 yang membebaskan orang Yahudi dari tuduhan palsu yang dibuat oleh orang Islam. Ya, Yahudi jahat namun apabila mereka dizalimi hatta oleh otang Islam, Islam membela Yahudi dan mencela tindakan orang Islam sendiri.

Atas ruh ajaran Al Quran itu, sebenci mana pun kita pada penjenayah kita tidak boleh sama sekali menafikan keadilan kepada mereka. Sebab itu saya katakan dalam Parlimen meskipun Altantuya dibunuh dengan ngeri dan kes pembunuhan itu mencalarkan imej negara kita mereka yang dituduh membunuh Altantuya masih kita bicarakan. Mengapa ? Jawapannya kerana mereka yang ditahan atau dituduh adalah dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Inilah prinsip asas dalam undang undang jenayah sama ada dalam undang undang Islam mahupun undang undang manusia.

Prinsip asas itu bukan benda yang baru dan kewujudan prinsip asas itu adalah suatu yang amat amat diperlukan . Dalam kes jenayah , seseorang yang ditahan berlawan dengan sebuah negara. Negara ada segala-galanya seperti polis, pendakwa, penjara dan sebagainya. Maka satu satunya pelindung kepada mereka yang ditahan oleh negara adalah prinsip asas itu. Malangnya PCA sepertimana ISA memadamkan atau memansuhkan prinsip asas itu.

Seperti yang saya katakan dalam kes jenayah adanya beberapa prinsip asas yang telah wujud begitu lama . Antaranya prinsip bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya.Juga wujud prinsip lebih baik seorang hakim tersilap melepaskan 10 orang yang bersalah daripada tersilap mensabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah. Sebab itu juga dalam kes jenayah beban membukti dikenakan ke atas pendakwa. Sebab itu juga dalam kes jenayah tahap pembuktian atau standard of proof adalah amat tinggi iaitu melampaui keraguan munasabah.

Semua prinsip di atas bukan sengaja direka- reka. Kewujudan prinsip prinsip tersebut mempunyai alasan tersendiri . Malangnya PCA hapuskan prinsip prinsip asas itu dengan dihapuskan peranan dan tugas  Mahkamah. PCA melarang seseorang dibicarakan di Mahkamah meskipun ia dikatakan melakukan jenayah. Larangan bicara menukar prinsip asas undang undang jenayah. PCA menganggap seseorang yang ditahan adalah dikira bersalah dan tidak perlu dibuktikan mengapa mereka bersalah.

Ya, PCA menghapuskan kuasa Menteri untuk mengeluarkan perintah tahanan tanpa bicara. Kuasa itu kini dipindahkan ke atas suatu Lembaga. Persoalannya apa bezanya jika Lembaga juga diberi kuasa seperti Menteri untuk menahan orang tanpa bicara. Yang lebih teruk lagi kuasa Lembaga untuk menahan orang tanpa bicara tidak boleh disemak oleh Hakim melalui semakan kehakiman kecuali dalam perkara yang dikatakan pelanggaran prosedur. Secara mudahnya jika sekalipun dibuktikan Lembaga mempunyai niat jahat ( mala fide ) tidak boleh dicabar kuasa drakonian itu. Jika sekalipun pelanggaran prosedur boleh disemak oleh Mahkamah hakikatnya jika Mahkamah membebaskan seseorang yang ditahan kerana pelanggaran prosedur melalui perintah habeas corpus orang itu masih boleh ditahan semula melalui perintah tahanan yang baru.

Apabila Kerajaan Tony Blair membenarkan tahanan tanpa bicara dalam kes yang  melibatkan pengganas yang hanya dikenakan ke atas bukan warganegara British , Amnesty International menyifatkan undang undang di England itu sebagai " Guantanamo Bay of England". Di Parlimen saya katakan jangan pula Malaysia nanti digelar oleh "Guantanamo of Malaysia " jika sekiranya PCA ini berjaya dijadikan undang undang di negara ini.