23 April 2015

PANDANGAN DARI SUDUT PERUNDANGAN BERKAITAN ISU GEREJA TAMAN MEDAN

PANDANGAN DARI SUDUT PERUNDANGAN BERKAITAN ISU GEREJA TAMAN MEDAN
Oleh : 
Salkukhairi Abd Sukor
Peguam Hartanah & Juham Negeri Sembilan


Izinkan saya mengulas tentang isu pembinaan dan bantahan terhadap pembinaan sebuah gereja di Taman Medan dari sudut perundangan khususnya perundangan hartanah.

1. Secara umumnya, di bawah S.109 Kanun Tanah Negara telah mensyaratkan, sesuatu bangunan yang ingin didirikan di atas sesuatu tanah itu mestilah mematuhi syarat-syarat nyata dan syarat-syarat kegunaan tanah yang telah ditetapkan dalam suratan hakmilik tanah tersebut. Sekiranya ianya disyaratkan untuk kegunaan Bangunan Komersial misalnya, maka ianya hanya boleh digunakan untuk tujuan komersial sahaja seperti untuk digunakan sebagai kedai atau pasaraya dan sebagainya.

2. Sekiranya ia digunakan untuk tujuan selain daripada bangunan komersial, maka ianya boleh dianggap menyalahi syarat-syarat nyata dan syarat-syarat kegunaan tanah sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Kanun Tanah Negara dan kesannya, Pihak Berkuasa Negeri berhak untuk “merampas” tanah tersebut di bawah S.127 hingga S.131 kanun yang sama.

3. Maka, berdasarkan peruntukan tersebut, jelas difahami bahawa, mana-mana bangunan komersial yang digunakan sebagai rumah ibadat bolehlah dianggap sebagai menyalahi syarat nyata dan syarat kegunaan tanah, justeru bertentangan dengan peruntukan Kanun Tanah Negara itu sendiri.

4. Selain daripada itu, menurut Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor, di antara prosedur pembinaan rumah ibadat bukan Islam menetapkan bahawa, rumah ibadat itu hendaklah didirikan di tengah-tengah kelompok masyarakat berkenaan. Pembangunan di premis kedai atau di bangunan komersial atau di bangunan kediaman tidak dibenarkan kecuali terbukti tiada tanah atau kawasan yang sesuai untuk tujuan itu dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penghuni sekitar.

5. Maka, berdasarkan kepada garis panduan tersebut, adalah menjadi satu kesalahan dari segi perundangan, sekiranya sesuatu bangunan komersial itu digunakan sebagai rumah ibadah.

6. Walaubagaimanapun, dari segi amalan perundangan di negara kita, sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya di adili atau ditentukan kesalahannya oleh mana-mana individu atau kelompok tertentu di dalam sesuatu kawasan itu. Ianya hanya boleh ditentukan bersalah oleh Pihak Berkuasa Yang Berkenaan dan oleh Mahkamah.

7. Oleh yang demikian, tindakan melakukan demonstrasi di hadapan rumah ibadat tersebut bukan sahaja boleh dianggap menyalahi undang-undang, bahkan boleh menimbulkan rasa tidak senang segelintir pihak dan boleh menggugat keharmonian kaum

8. Sekiranya masyarakat mendapati mana-mana pihak telah melakukan sesuatu kesalahan dari sudut perundangan, mereka hendaklah membuat aduan secara rasmi kepada Pihak Berkuasa Yang Berkenaan dan Pihak Berkuasa Yang Berkenaan akan melakukan siasatan yang terperinci terhadap aduan yang dibuat. Sekiranya didapati memang mereka melakukan kesalahan tersebut, maka Pihak Berkuasa Yang Berkenaan boleh mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

9. Kesimpulannya, sekiranya kesemua pihak dinegara ini menghormati dan mematahui peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan, maka barulah masyarakat di negara kita boleh hidup dengan aman damai dan berharmoni. Dan perlu diingat, tiada sesiapun di Negara kita ini yang boleh mengatasi undang-undang.

Juham komited jayakan penerangan EKJS II

Juham komited jayakan penerangan EKJS II
HARAKAHDAILY | 12 April 2015.


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) menyatakan sepenuh komitmen untuk menjayakan penerangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) ke seluruh negara bagi menangkis pelbagai tohmahan terhadap set undang-undang tersebut yang diluluskan di Dun Kelantan pada 19 Mac lalu.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Zaki Sukery, hal itu dibuktikan dengan penganjuran sehari Seminar Hudud Peguam PAS di Hotel Vistana, di sini semalam dengan mengumpulkan hampir 150 tenaga peguam parti melalui Luham dan Juham dari seluruh negara.
Katanya, ia dibantu oleh wakil Jabatan Kehakiman Syariah negeri, JAHEAIK, ahli akademik dan mahasiswa bagi memantapkan lagi usaha membumikan pencerahan EKJS II termasuk hudud ke seluruh pelosok negara.

Tambahnya, dalam keadaan isu EKJS II termasuk hudud kini tidak lagi berkisar sekitar soal hukum-hakam yang diakui kewajibannya, dibantu oleh penganjuran pelbagai bentuk program berkenaan dengannya yang kini sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat, Juham mengambil langkah proaktif dengan komitmen membawa isu ini setapak ke hadapan apabila fokus akan diarahkan berkisar soal mendepani cabaran dan halangan ke arah merealisasikannya, khususnya dari aspek undang-undang dan permainan politik Umno.

Bagi menjayakannya, ujar beliau keseluruhan peserta program telah sepakat untuk menjayakan tujuh resolusi yang telah dipersetujui sebulat suara pada akhir penganjuran program tersebut, iaitu:

1) Kami menyokong penuh tindakan kerajaan Negeri Kelantan dalam meluluskan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (1993) 2015, dan kami berikrar untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam menjayakan usaha merealisasikannya;

2) Kami mengesyorkan agar Kerajaan Negeri Kelantan mengambil kira nasihat dan saranan pelan tindakan (Roadmap) yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah Peringkat Negeri dan Persekutuan;

3) Kami mencadangkan agar Juham dan Luham dirujuk oleh PAS Pusat sebelum sesuatu ketetapan berkaitan undang-undang dibuat;

4) Kami mencadangkan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menerbitkan buku manual/kit penerangan KJS 2015 dengan bantuan Juham dan Luham sebagai rujukan rasmi kepada para peguam PAS dalam menjadi ejen penerangan bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan ke seluruh negara;

5) Kami mengesyorkan agar pihak Kerajaan Negeri Kelantan memberikan tauliah rasmi kepada para peserta Seminar Hudud Peguam PAS 2015 sebagai ejen penerangan bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan bagi menerangkan KJS 2015 ke seluruh Malaysia;

6) Kami mencadangkan Kerajaan Negeri Kelantan pada masa ini memberi penekanan dalam soal penyediaan prasarana, kehakiman, pendakwaan, penyiasatan dan lain-lain termasuk mengenal pasti dan mengatasi kelemahan-kelemahan dalam sistem kehakiman mahkamah negeri Kelantan; dan
7) Kami mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan mengambil perhatian yang serius me
lalui Sekretariat Tetap KJS 2015 di negeri Kelantan agar menjadi pusat gerak kerja hudud di peringkat negeri dan pusat. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Jawapan 20 soalan tentang undang-undang jenayah syariah – Dr Zulqarnain Lukman

Jawapan 20 soalan tentang undang-undang jenayah syariah – Dr Zulqarnain Lukman

Erik Paulsen daripada kumpulan Lawyers For Liberty menulis mengenai Hudud: 20 Soalan Untuk PAS dengan mengajukan 20 soalan yang paling kerap ditanya. Saya tidak menjawab bagi pihak PAS dan saya tiada mandat untuk berbuat demikian. Jawapan saya ini berdasarkan pemahaman saya kepada undang-undang syariah dan undang-undang sivil yang saya tekuni sejak lebih 20 tahun lepas.


Sebelum itu, harus difahami hudud bukan satu-satunya undang-undang jenayah Syariah yang terkandung dalam ajaran Islam. Selain hudud, qisas dan takzir juga menjadi sebahagian daripada undang-undang jenayah syariah yang menjadi perintah agama Islam.

Undang-undang jenayah Syariah boleh dilaksanakan dalam apa jua keadaan kerana ia bersifat universal. Ia kalis zaman dan tempat kerana mengandungi 3 bentuk: hudud, qisas dan takzir. Ketiga-tiganya saling melengkapi. Hukuman hudud dipindah kepada takzir. Jika berlaku apa-apa sebab yang membolehkan ianya digantung pelaksanaan maka ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Sumber yang lazim diambil adalah penggantungan pelaksanaan hukuman sariqah (mencuri) pada zaman Sayyidina Umar pada musim kemarau dan kebuluran. Dengan membawa persoalan sama ada boleh atau tidak undang-undang jenayah syariah dilaksanakan dalam keadaan wujud perbezaan besar antara orang kaya dan orang miskin adalah seolah-olahnya merendahkan dan menghina orang miskin itu lazimnya melakukan jenayah sariqah dan merendahkan martabat orang kaya kononnya orang kaya selalu dapat membeli pihak hakim dan pendakwa dengan wang ringgit mereka bagi mengelakkan hukuman tersebut. Dalam tradisi Islam, kemuliaan seseorang bergantung kepada sifat takwa yang dimilikinya, sebab itu yang lebih afdal untuk menjadi imam solat adalah seorang yang pandai dalam ilmu qiraat walaupun beliau seorang yang miskin atau berjawatan rendah.

Sebagai seorang peguam, seharusnya saudara lebih faham hukuman hanya dapat dijatuhkan apabila cukup bukti. Tiada statistik dikemukakan orang kaya dan berkuasa boleh terlepas daripada pelaksanaan undang-undang. Jika ada sekali pun, mungkin penulis itu merujuk kepada persepsi yang ada sekarang dalam pelaksanaan undang-undang sivil. Kerana itu, saya yakin jika undang-undang jenayah syariah ini dilaksanakan maka VVIP yang menduduki jawatan syarikat bir juga tidak terlepas daripada hukuman jika ianya memenuhi elemen kesalahan syurb (minum arak). Selain itu, hendaklah difahami berjudi tidak termasuk dalam kesalahan hudud seperti yang digambarkan dan ianya tertakluk kepada kesalahan takzir.

Undang-undang syariah tidak membezakan siapa sahaja yang berbuat kesalahan sama ada beliau orang berkuasa dan kaya atau orang itu miskin dan lemah atau pelancong yang beragama Islam. Sesiapa yang melakukan kesalahan di dalam wilayah yang berbidang kuasa hendaklah didakwa dan kehendak ini adalah jelas terkandung dalam Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan [“KJS”]. Para hakim dan pendakwa di dalam sistem Mahkamah Syariah dipandu bukan saja dengan peraturan yang ada bahkan mereka juga mempunyai nilai nurani yang tinggi dalam menjalankan tugasnya.

Berkaitan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak yang ditinggalkan suami) pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertindak secara proaktif dengan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk membantu ibu tunggal yang teraniaya ini. BSK ini akan membantu menyediakan kemudahan logistik kepada ibu tunggal ini dalam penguatkuasaan terhadap suami atau bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab nafkah ini.

Berkaitan kekhuatiran akan berlaku salah hukum seperti silap memotong tangan atau merejam adalah pandangan yang tersasar kerana ukuran itu dibuat menggunakan neraca pembuktian sistem jenayah sivil. Di dalam Hukum Syarak, pembuktian ke atas kesalahan hudud dan qisas hendaklah melampaui sebarang bayang-bayang keraguan (beyond any shadow of doubt) dan bukan setakat melampaui keraguan yang munasabah (beyond any reasonable doubt).

Menurut KJS juga, terdapat 2 peringkat perbicaraan yang mana terdapat 3 hakim membicarakan di peringkat Mahkamah Bicara Khas dan terdapat 5 hakim di peringkat Mahkamah Rayuan Khas. Komposisi hakim juga terdiri daripada ulama yang alim hukum fiqh dan prosedur jenayah dan bekas atau hakim Mahkamah Sivil yang setara dengan hakim Mahkamah Tinggi Malaya/ Borneo ke atas.

Oleh kerana begitu ketat kaedah pembuktian dan penelitian keterangan hakim yang berpengalaman maka mustahil untuk berlaku kesilapan. Bahkan, menurut tatacara yang terpakai, hukuman yang dikenakan itu masih boleh dibatalkan sejurus sebelum hukuman itu dilaksanakan jika ada sebarang keraguan baru ke atas sabitan kesalahan tersebut.

Undang-undang jenayah Syariah ini bersumberkan hukum agama Islam. Oleh itu, orang Islam akan terikat dengannya manakala orang bukan Islam mempunyai pilihan untuk memilih dihukum dengan hukuman ini atau di bawah hukuman sivil. Hal ini disebut secara nyata di dalam KJS.
Bagaimanapun, ianya masih tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan maka ianya adil kepada orang Islam kerana dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah ini maka ianya memenuhi keperluan beragama bagi orang Islam. Manakala, bagi orang bukan Islam sedikit pindaan kepada kerangka undang-undang yang ada akan membolehkan juga orang bukan Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Undang-undang jenayah syariah ini adalah sebahagian daripada undang-undang Islam dan menurut Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal berkaitan undang-undang jenayah Syariah ini hanya boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Maka, Kelantan adalah perintis kepada perlaksanaan hukuman ini sebagaimana kehendak majoriti rakyat Kelantan. Jika ada negeri lain ingin melaksanakannya maka terpulang kepada rakyat negeri tersebut untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri yang mempunyai komitmen sama. Maka, itulah akhirnya yang berlaku dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Yang tidak adil adalah jika kedua-dua pesalah itu ditangkap di Kelantan atas kesalahan sariqah, seorang dipotong tangan dan seorang lagi dihukum penjara.

Penulis mempersoalkan kenapa dalam kes sariqah seperti mencuri motosikal seorang itu dipotong tangan tetapi dalam kes pecah amanah seseorang itu hanya dihukum penjara. Ini salah tanggapan. Jika cukup elemen sariqah dalam kes pecah amanah maka tangan pesalah itu juga boleh dipotong juga menurut hukum Syarak. Namun, bukan semua kesalahan pecah amanah itu mempunyai elemen yang mencukupi bagi sabitan di bawah kesalahan sariqah.

Salah tanggapan untuk menyatakan kesalahan rogol dan zina adalah sama. Para ulama menyatakan rogol adalah kesalahan zina bil jabr. KJS pula hanya memperuntukkan kesalahan zina tanpa termasuk kesalahan rogol. Oleh kerana kerangka undang-undang sekarang mengecualikan orang bukan Islam daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka orang bukan Islam itu tidak akan dihukum atas kesalahan zina. Bagi kesalahan rogol pula, orang bukan Islam atau orang Islam kedua-duanya akan dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Salah tanggapan untuk menyatakan mangsa rogol akan terdedah kepada kesalahan qazaf (tuduhan palsu zina) kerana kesalahan rogol berada di luar bidang kuasa KJS. Begitu juga berkaitan kehamilan sebagai bukti zina. Saya percaya Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan bersetuju memansuhkan peruntukan ini dan pindaan akan dibuat dalam sidang DUN Kelantan yang akan datang.

Undang-undang adalah adil dan saksama. Hukuman rejam ke atas pesalah zina yang muhson adalah sabit mengikut sunnah dan amalan sahabat. Inilah pandangan jumhur para ulama. Pensabitan jenayah zina amat ketat iaitu hendaklah disaksikan oleh tidak kurang 4 saksi lelaki adil yang menyaksikan sendiri jenayah zina itu berlaku seumpama seorang menyaksikan batang celak dimasukkan ke dalam bekas celak. Selain itu, sabitan juga boleh dibuat dengan pengakuan pesalah itu sendiri. Bagi sabitan atas pengakuan, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum hukuman dilaksanakan. Maka tidak tepat untuk menyatakan hukuman zina muhsan itu tidak adil. Begitu juga adalah tersasar untuk membandingkan kesalahan zina dengan rogol kerana rogol berada di luar daripada bidang kuasa KJS.

Tidak adil semata-mata untuk membandingkan kesalahan pecah amanah atau rasuah dengan jenayah sariqah. Kesalahan itu pula mempunyai elemen berbeza yang perlu dibuktikan. KJS hanya memperuntukkan kesalahan yang bertentangan dengan 'precepts of Islam' sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di sisi hukum Syarak, hukuman yang dikenakan tidak berdasarkan besar atau kecil jumlah yang terlibat, tetapi berdasarkan jumlah minima harta yang terlibat dinamakan sebagai nisab. Kadar nisab yang ditetapkan ulama adalah jumlah yang senilai dengan harga emas semasa sebanyak 4.45 gram. Hukumannya pula hanya ada satu iaitu hukuman potong anggota badan jika berlaku sabitan tanpa diambil kira besar atau kecil jumlah. Mungkin ahli kriminalogis boleh mengkaji falsafahnya kenapakah ditetapkan sebegitu sama ada disebabkan kelakuan pencuri yang akan tetap mencuri tanpa mengira jumlahnya tetapi melihat kepada peluang untuk mencuri.
Perbezaan nilai keterangan saksi wanita dan bukan Islam berbanding kesaksian lelaki Islam itu adalah kehendak hukum syarak. Hikmahnya, para wanita dan orang bukan Islam tidak mempunyai liabiliti dan beban untuk menjadi saksi. Menjadi saksi bukanlah satu kelebihan (privillege) tetapi beban yang harus ditanggung. Tiada mana-mana saksi yang dapat bersenang-senang di dalam kandang saksi menghadapi soal balas yang bertubi-tubi daripada peguam. Oleh itu, Islam sebenarnya memuliakan wanita dengan mengangkat beban saksi daripada bahu mereka. Harus diingat juga, perbahasan ini adalah dalam konteks kes jenayah dan bukan kes mal (sivil) kerana kes mal mempunyai beban bukti dan keterangan yang lebih rendah berbanding dengan kes jenayah. Begitu juga tahap penerimaan kesaksian wanita dan bukan Islam juga adalah berbeza dalam kes mal dan jenayah.

Berkaitan bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Isu ini sebenarnya dijawab Hakim Gopal Sri Ram semasa membuat keputusan dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang didakwa rentetan kes liwat pertama bekas timbalan perdana menteri dahulu. Mahkamah menyatakan orang itu boleh didakwa di mana-mana mahkamah yang berbidang kuasa. Namun jika kedua-dua mahkamah itu mempunyai bidang kuasa maka suspek tersebut hanya boleh didakwa sekali saja. Inilah pemakaiannya bagi orang Islam. Bagi orang bukan Islam, KJS memberikan pilihan kepadanya sama ada ingin meneruskan kes di mahkamah syariah atau sivil. Namun, dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang orang bukan Islam hanya tertakluk kepada kuasa mahkamah sivil. Justeru, usaha melobi boleh diteruskan supaya orang bukan Islam dapat memilih untuk dibicarakan di mahkamah Syariah.

Jika mangsa itu orang Islam dan suspek bukan Islam maka dalam kerangka Perlembagaan yang ada suspek akan dibicarakan di mahkamah sivil. Ini kerana bidang kuasa ditentukan berdasarkan si pesalah dan bukan si pengadu.

Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Ini juga dinyatakan suspek hanya boleh didakwa sekali saja kerana jika didakwa dua kali, ianya akan menjadi 'double jeopardy'. Oleh itu, bergantung kepada pihak pendakwa untuk memutuskan di mahkamah mana suspek akan didakwa.
Hudud tetap akan berfungsi meskipun buat masa kini orang bukan Islam tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Saya sendiri pernah melihat orang bukan Islam memberikan keterangan dalam kandang saksi di Mahkamah Syariah. Tidak timbul soal keterangan mereka tidak bernilai kerana kesaksian mereka dianggap sebagai 'bayyinah'.

Orang bukan Islam yang bersubahat untuk melakukan jenayah tidak harus dilepaskan. Dalam konteks perundangan yang ada sekarang pun, pengusaha pusat judi diberikan panduan untuk tidak membenarkan orang Islam memasuki sebarang premis perjudian dan boleh diambil tindakan ke atas mereka melalui tindakan menarik balik lesen jika mereka melanggar peraturan tersebut. Begitu juga dalam konteks minum arak, peraturan boleh digubal untuk tidak membenarkan mana-mana pengusaha kedai arak menjualnya kepada orang Islam. Bagi orang Islam yang minum arak pastinya tertakluk kepada hukum Islam yang terpakai ke atasnya.

Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Jawabnya, pernahkah kita terfikir kesalahan yang dibuat itu juga sama primitif dengan hukumannya! Perbuatan zina, hirabah (rompakan menggunakan kekerasan), syurb (minum arak), sariqah (mencuri), qatl (membunuh) dan lain-lain adalah jenis kesalahan yang sudah dibuat penjenayah sejak berabad yang lampau.

Sekiranya kesalahan primitif ini tidak diubati dengan hukuman yang sama primitif, tentulah jenayah tersebut akan tetap berleluasa. Kita sering membaca keratan akhbar betapa seorang mencuri itu akan tetap mencuri setelah beliau keluar penjara. Sewaktu mengendalikan satu kes jenayah di mahkamah majistret beberapa tahun lalu, saya pernah mendengar permohonan mitigasi daripada seorang suspek yang mengaku salah atas kesalahan mencuri. Apabila pendakwa mengemukakan fakta sabitan lampau, saya amat terkejut kerana pesalah itu sudah mempunyai 9 sabitan lampau berkaitan kes curi dan secara langsung saya terfikir dalam Islam paling kerap seorang pesalah boleh mencuri hanyalah 3 kali kerana selepas itu beliau sudah kehilangan 2 tangan dan 1 kaki. Pada saya inilah hakikat perikemanusiaan sebenar. Manakala, bandingan dengan pelaksanaan undang- undang Taurat ke atas Palestin itu adalah sangat jauh? Bolehlah pula saudara Paulsen jelaskan apakah butiran undang-undang Taurat tersebut?

Pemotongan anggota badan akibat hukuman hudud atau qisas itu mempunyai kaedah ditetapkan dan akan dipantau pakar perubatan yang akan ditauliahkan sendiri oleh sultan. Kebanyakan komplikasi yang berlaku disebabkan jangkitan kuman, maka luka akibat itu perlu dipastikan tidak berlaku jangkitan kuman.

Mengikut kehendak syarak, hukuman itu perlu disaksikan orang ramai. Namun, berapakah jumlah orang ramai yang boleh menyaksikannya itu tertakluk kepada perintah mahkamah. Begitu juga tempat hukuman juga ditetapkan perintah mahkamah. Mengikut makluman, kerajaan Kelantan juga mendrafkan kaedah bertulis mengenai tatacara sebat, potong anggota badan, salib dan rejam. Yang akan melaksanakannya pula adalah profesional terlatih sebagaimana amalan sebat di penjara sivil sekarang yang dijalankan pegawai penjara yang dilatih – 22 Disember, 2014.
* Dr Zulqarnain Lukman ialah peguambela & peguamcara dan peguam syarie (Selangor dan Wilayah Persekutuan).

Kanun Jenayah Syariah: Kini Umno perlu bukti keikhlasan

Kanun Jenayah Syariah: Kini Umno perlu bukti keikhlasan

HISHAM FAUZI | 19 Mac 2015.
Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada YAB Ustaz Datuk Menteri Besar di atas pembentangan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pagi bersejarah 18/3/2015.

Saya juga ingin melahirkan rasa gembira saya melihat sokongan menyeluruh daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan termasuklah daripada pihak pembangkang iaitu dari Umno.
Justeru kini Umno perlu membuktikan keikhlasan mereka menyokong perlaksanaan hudud ini dengan cara segera membuat di Parlimen Malaysia satu pindaan kepada kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada hanya boleh jatuhkan hukuman maksimum 3 tahun penjara RM5,000 denda dan 6 kali sebatan.

Sebagai langkah yang lebih jauh, Umno juga perlu segera melalui mana-mana menteri mereka membawa usul pindaan kepada Perlembagaan Malaysia agar tiada lagi sebarang pertikaian mengenai keabsahan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 ini. Ia juga demi memberi jalan seluas-luasnya ke arah pelaksanaan kanun hudud tersebut.

Dengan sokongan berbaur air mata oleh wakil Adun Umno di dalam sidang Dun, sewajarnya PAS tidak perlu membawa sendiri usul pindaan Perlembagaan Persekutuan ke Parlimen melalui 76A. Ini kerana prosedur 76A yang sangat rumit.

Menurut Peraturan Mesyuarat 49 (PM 49); private member's bill yang di bawa perlu diminta izin dewan untuk dibawa. Kemudian ianya perlu beratur mengikut agenda. Menurut PM 14 (1) (p) private member's bill duduk di nombor kedua terakhir selepas semua agenda-agenda kerajaan diselesaikan.
Melihat kepada kepadatan agenda sidang dalam jangka masa sidang yang terhad, dikhuatiri agenda private member's bill ini akan terpaksa diketepikan begitu sahaja kerana ketiadaan masa.

Jika selepas diputuskan oleh dewan dan ianya diizin untuk dibawa ke sidang, usul itu akan diserahkan kepada menteri yang berkaitan menurut PM 49(4) dibaca bersama PM 51. Maka pada masa itu terserahlah kepada menteri itu untuk mengendalikan private member's bill itu.
Selepas itu private member's bill itu akan mengikuti proses yang sama dengan pembentangan bill biasa kerajaan.

Jadi kalau menteri Umno yang membawa pindaan itu sejak dari awal, semua kerumitan ini boleh dielakkan dan akan banyak menjimatkan masa dewan.
Malah, dengan sistem whip yang diamalkan di Malaysia, sokongan keseluruhan Ahli Parlimen Umno juga dapat digemblengkan. Takkanlah ada ahli parlimen dari Umno tak boleh bersetuju dengan usul daripada menteri Umno sendiri.

Sekaranglah masanya. Ayuh Umno! Buktikan keikhlasan titisan airmata mu! - HARAKAHDAILY 19/3/2015
Penulis ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia PAS Pusat.

PERHIMPUNAN ‪#‎KITALAWAN‬ : JUHAM BANTAH TINDAKAN PENAHANAN KE ATAS BENDAHARI PEMUDA PAS MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM) 
PEMUDA PAS MALAYSIA

Bertarikh : 11/03/2015

PERHIMPUNAN ‪#‎KITALAWAN‬ : JUHAM BANTAH TINDAKAN PENAHANAN KE ATAS BENDAHARI PEMUDA PAS MALAYSIA

1) Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) menyelar proses penahanan Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar hari ini di bawah Akta Perhimpunan Aman yang dilihat dilakukan secara tidak wajar dan profesional oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

2) Saya bersama dengan Peguam Ariff Azami Hussein dan Azizul Shariman telah hadir bersama Ust Mohd Fakhrurazi Mokhtar ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 12.30 tengah hari tadi untuk memberi keterangan tentang perhimpunan tersebut. Namun, Ustaz Mohd Fakhrulrazi telah di tahan di Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

3) JUHAM mempersoalkan penahanan tersebut, dimana tindakan Ustaz Mohd Fakhrulrazi hadir sendiri ke Balai polis Dang Wangi untuk memberi keterangan berkaitan ‘Perhimpunan Kita Lawan’ jelas menunjukkan tahap kerjasama serta komitmen beliau kepada pihak PDRM dalam membantu siasatan.

4) Oleh itu, sewajarnya pihak PDRM tidak perlu kepada menahan lanjut beliau di dalam siasatan tersebut. Tindakan PDRM ini dilihat tidak lebih sekadar kepada memberi tekanan kepada beliau. Justeru itu, JUHAM menggesa agar Ustaz Mohd Fakhrulrazi dilepaskan segera dari tahanan, dimana JUHAM yakin beliau tetap akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM tanpa memerlukan sebarang tahanan secara langsung kepada beliau dibuat.

5) JUHAM akan mengambil langkah lebih tegas dalam perkara ini, dimana pasukan Peguam JUHAM akan mewakili Ustaz Mohd Fakhulrazi dalam proses reman sekiranya dipohon pihak PDRM dalam tempoh 24 jam ini. Malahan, pasukan Peguam JUHAM juga telah bersiap siaga bagi mewakili beliau sekiranya pendakwaan ke atas beliau di Mahkamah dilakukan kelak.

NOORAZMIR ZAKARIA
Pengarah JUHAM

HEBATNYA MENJADI PEGUAM?

HEBATNYA MENJADI PEGUAM

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM.


Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup.

Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Peguam adalah istilah umum yang difahami oleh masyarakat awam. Dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976, perkataan yang digunakan adalah peguambela dan peguamcara (advocate & solicitor). Di England, profesion guaman ini terbahagi dua, pertama sebagai 'barrister - peguam yang berhujah di mahkamah' dan kedua, 'solicitor- peguam yang menyediakan dokumen-dokumen termasuk dokumen untuk tujuan perbicaraan di mahkamah'. Di Malaysia, profesion guaman ini dinamakan sebagai 'fused profession' iaitu gabungan antara keduanya. Lazimnya, perkataan 'peguambela' merujuk kepada 'barrister' manakala perkataan 'peguamcara' merujuk kepada 'solicitor'. Oleh itu, di Malaysia hanya satu lesen sahaja diperlukan bagi tujuan samada ingin menjadi peguambela atau peguamcara.
Pengajian jurusan undang-undang di Malaysia ini memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun untuk disempurnakan sebelum diberikan ijazah LL.B(Hons). 'LL.B' ini merujuk kepada perkataan latin - Legum Baccalaureus atau Bachelor of Laws. 

Hanya pelajar yang mempunyai ijazah ini yang dibenarkan untuk beramal sebagai peguambela dan peguamcara. Ada sesetengah universiti menamakan ijazah ini dengan nama lain. Itu tidak menjadi isu asalkan kandungan subjek yang diajar mesti memenuhi kehendak Akta Profesion Undang-Undang 1976 bagi melayakkan seseorang itu menjadi peguam.
Di Malaysia ini, ada beberapa universiti yang menawarkan pengajian undang-undang tetapi ijazah mereka tidak diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang menyebabkan mereka hampa tidak dapat menjadi peguam setelah berhempas pulas belajar di universiti. Oleh itu, AMATLAH PENTING untuk membuat sedikit kajian latar belakang universiti itu sebelum mendaftarkan diri sebagai pelajar undang-undang. Senarai universiti yang layak ada dipamerkan di portal Legal Profession Qualifying Board, Malaysia .

Ada ibu bapa yang berasa anak mereka patut belajar di luar negara supaya mereka mendapat pendedahan cara hidup dan pengalaman yang luas di negara asing. Ada kelebihan dan kekurangan jika belajar undang-undang di luar negara. Pihak Lembaga telah menetapkan bahawa ada beberapa pelajar lulusan luar negara perlu mengambil peperiksaan CLP (Certificate in Legal Practice) sebelum mereka boleh melakukan latihan dalam kamar (chambering). Peperiksaan CLP adalah satu peperiksaan yang sukar untuk lulus dan memerlukan kos tambahan yang banyak. Ada juga pelajar lulusan tempatan (seperti daripada Universiti Utara Malaysia dan Universiti Multimedia) yang perlu terlebih dahulu memperolehi Certificate of Completion sebelum dibenarkan untuk chambering. Oleh itu, pandai-pandailah membuat kajian dan perbandingan mengenai hal ini supaya kelak anda tidak kecewa.

Bagi saya, institusi tempatan yang mempunyai sedikit kelebihan berbanding dengan universiti lain samada peringkat tempatan mahupun antarabangsa adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - UIAM [mungkin ada yang kata saya cuba promosi universiti sendiri]. Ini kerana sistem pelajaran di UIAM hanya menggunakan pengantar dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Selain itu, UIAM menggunakan sistem perbandingan ilmu iaitu setiap pelajar mesti mempelajari undang-undang sivil dan undang-undang Islam. Ini memberikan kelebihan ketara kepada pelajar kerana pelajar itu mampu memahami malah berhujah menggunakan dalil-dalil seperti ulama tetapi pada masa yang sama menggunakan ilmu logik dan falsafah barat sama seperti pelajar yang belajar Common Law dan Equity di England. Pelajar dan pensyarah pula berasal dari pelbagai negara menyebabkan jika pelajar itu pandai menggunakan ruang ini maka beliau setelah tamat belajar pasti dapat menguasai Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab dengan baik samada daripada segi komunikasi atau penulisan [sayangnya ramai pelajar mensia-siakan keistimewaan ini, malah ramai graduan undang-undang UIAM terus melupakan kebolehan bertutur dan membaca dalam Bahasa Arab selepas memasuki alam pekerjaan]. Selain itu, lulusan UIAM tidak perlu lagi mengambil ujian CLP atau Certificate of Completion dan boleh terus menjalani latihan dalam kamar setelah mendapat transkrip pelajaran dan surat pengesahan tamat belajar. Ini akan menjimatkan masa dan kos.
Selepas mendapat kelulusan tersebut, pelajar berkenaan perlu menjalani latihan dalam kamar (chambering) selama 9 bulan bagi menjadi peguam di Semenanjung dan 12 bulan jika di Sabah atau Sarawak. Pada peringkat ini, pelajar akan menjalani latihan praktikal di firma guaman di bawah seliaan seorang 'Master' yang telah beramal tidak kurang daripada 7 tahun secara aktif. Semasa tempoh latihan ini, pelajar juga wajib untuk menjalani latihan yang ditetapkan oleh Majlis Peguam seperti membuat latihan dock brief atau legal aid di beberapa institusi terpilih tidak kurang 14 hari sepanjang tempoh 9 bulan itu. Pelajar juga diwajibkan untuk menyertai Kursus Etika yang mana pelajar akan didedahkan mengenai etika kepeguaman yang perlu ada kelak jika memasuki kerjaya sebagai peguam.
Hanya selepas itu, baharulah pelajar berkenaan layak membuat petisyen masuk bagi didaftaraikan sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi. Petisyen masuk ini ibaratnya adalah hari konvokesyen yang mana pelajar itu akan disarungkan dengan jubah peguam oleh Masternya. Hanya yang berbeza, ianya dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dan bukan di hadapan Pro-Canselor atau Presiden universiti.

Apakah hebatnya menjadi peguam? Dalam fikiran pelajar pasti kehebatan peguam itu terserlah seperti dalam cerita di layar perak seperti cerita LA Law, Law & Order, Suits dan lain-lain. Pasti tergambar kepetahan seorang peguam mematahkan hujah lawannya di Mahkamah di dalam cerita seumpama itu. Kata Almarhum Tan Sri Harun Hashim, "You can become anyone if you have a degree in law except to become a doctor or an engineer." Kata-kata ini sungguh tepat. Allahyarham Sudirman adalah lulusan undang-undang tetapi beliau memilih untuk menjadi penyanyi. Elaine Dally adalah seorang peguam tetapi beliau memilih kerjaya sebagai model dan pelakon. Dato' Seri Nazri Aziz juga adalah peguam tetapi beliau memilih untuk menjadi seorang menteri. Tun Daim Zainuddin juga seorang peguam tetapi beliau memilih untuk menjadi seorang usahawan korporat. Dalam buku biografinya 'Daim Yang Diam', beliau berkata 'Jika anda ingin hidup senang anda boleh teruskan untuk menjadi peguam tetapi jika anda ingin jadi jutawan maka ceburilah bidang perniagaan.' Bahkan, nama firma 'Daim & Gamany' adalah firma guaman yang mana Tun Daim pernah menerajuinya suatu ketika dahulu.

Saya lihat ramai juga rakan-rakan saya yang pernah belajar undang-undang yang kini sudah beralih menjadi ahli perniagaan tetapi masih tetap mengekalkan lesen peguam. Tidak kurang juga ada rakan peguam yang sudah menjadi usahawan jagung, sawit, ayam, itik, anai-anai dan kambing tetapi masih mengekalkan lesen peguamnya.

Ini kerana peluang dalam profesion guaman ini sangat luas. Terpulang kepada orang yang menceburi bidang ini samada ingin fokus kepada profesion semata-mata atau ingin membuka ruang perniagaan lain. Bagi yang menjadi peguam, peluang itu kadang-kadang datang sendiri bila mana beliau mengendalikan kes dan berjumpa klien. Akhirnya klien itu menjadi rakan
kongsinya dalam perniagaan lain.

Itulah hebatnya menjadi peguam!
Nukilan,
Dr Hj ZULQARNAIN LUKMAN
4 Mac 2015 / 13 Jamadil Awal 1436H

KEPUTUSAN KES TRANSGENDER-SATU PENILAIAN

KEPUTUSAN KES TRANSGENDER-SATU PENILAIAN
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin



Mahkamah Rayuan pada 7/11/2014 mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah tidak berperlembagaan. Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 66 memperuntukkan “ mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”


Antara alasan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan adalah Seksyen 66 dirangka untuk mencegah kesan negatif kepada masyarakat, yang antaranya membendung kegiatan homoseksual dan lesbian yang menyebabkan penyebaran HIV.

"Kes ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan homoseksual. Kes ini mengenai lelaki Islam dengan keadaan perubatan yang dikenali sebagai GID," katanya. GID merujuk kepada Gender Identity Disoder.
Hishamuddin berkata terdapat kesilapan di pihak hakim apabila tidak mengambil kira bukti perubatan yang tidak disangkal di hadapannya. Beliau berkata pihak berkuasa negeri gagal menolak laporan perubatan yang dikemukakan oleh pakar psikiatri Dr Ang Jin Kiat dan pendapat pakar perunding psikiatri Dr Deva Dass.

Hishamuddin berkata mufti negeri memberikan pendapatnya apabila pertikaian dah di bawa ke mahkamah.
"Kami ingin menjelaskan sama ada atau tidak Seksyen 66 selaras dengan ajaran Islam atau tidak bukan satu isu dalam kes ini," katanya.
Para pemohon, Muhammad Juzaili Mohd Khamis, Shukor Jani dan Wan Kay Yusof Wan Ismail yang merupakan wanita transgender ditangkap beberapa kali kerana melanggar enakmen negeri. Mereka akhirnya memfailkan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan tidak berperlembagaan sebuah fatwa syariah yang melarang lelaki daripada "memakai pakaian perempuan" atau "menyamar sebagai seorang wanita" di Negeri Sembilan.


Mahkamah Tinggi pada bulan Oktober 2012 memutuskan mereka perlu mematuhi undang-undang kerana mereka Muslim dan dilahirkan lelaki.
Saya ingin memberikan sedikit komentar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut namun harus dinyatakan di sini komen ini bukanlah suatu komen yang terperinci yang menyentuh setiap aspek penghakiman tersebut. Sebaliknya ia lebih bersifat umum dan hanya memfokus intipati penghakiman itu sahaja.


Biarlah saya mulakan begini. Walaupun seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan itu agak jelas iaitu seksyen yang men”jenayah”kan mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam namun fakta kes di hadapan Mahkamah tidak sejelas peruntukkan di seksyen 66 tersebut.

Dengan lain perkataan jika kes seorang yang jelas dilahirkan sebagai seorang lelaki normal dan tidak menghadapi apa apa masalah untuk hidup dan berkelakuan seperti lelaki dalam kehidupannya sehari hari maka tindakan lelaki normal itu memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah jelas melanggar seksyen 66 tersebut.
Bagaimanapun apa yang berlaku dalam kes ini adalah Mahkamah berhadapan dengan satu isu di mana meskipun ketiga-tiga pemohon tersebut dilahirkan sebagai seorang lelaki namun mereka telah dibuktikan melalui keterangan perubatan mengidap penyakit yang dikatakan “Gender Identity Disoder” ( GID ) di mana keterangan ini tidak disangkal oleh pihak Jabatan Agama Negeri Sembilan.Dalam keadaan begitu persoalan yang timbul adakah seksyen 66 itu terpakai kepada ketiga-tiga pemohon tersebut ? Atau wajarkah atau adilkah mereka dikenakan apa apa pertuduhan di bawah seksyen 66 tersebut ?

Saya melihat pihak Jabatan Agama Islam hanya melihat dari sudut mereka bertiga dilahirkan sebagai lelaki dan beridentitikan seorang lelaki berdasarkan nama dan identity kelahiran mereka tanpa mengira bahawa mereka mengidap GID. Di situlah , dengan hormat, saya berpendapat mereka tersilap kerana terlalu mudah menangkap dan menghukum mereka bertiga.
Saya berpendapat memandangkan wujudnya bukti perubatan yang tidak disangkal bahawa ketiga tiga pemohon itu mempunyai masalah GID maka tidak wajar mereka didakwa di bawah seksyen 66 kerana wujudnya keraguan pemakaian seksyen 66 ke atas mereka.

Bagaimanapun adakah seksyen 66 tersebut wajar dikatakan bercanggah dengan Artikel Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan ? Artikel 5 berkaitan dengan tiada mana –mana orang boleh dilucutkan kehidupan ( life ) dan kebebasanya ( liberty ) kecuali menurut undang-undang. Artikel 8 pula menyentuh tentang hak sama rata di sisi undang-undang. Artikel 9 mengenai hak kebebasan bergerak ( freedom of movement ) manakala Artikel 10 berkaitan tiga hak iaitu hak kebebasan bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan berpersatuan. Dalam kes ini saya percaya ia lebih merujuk kepada kebebasan berekspresi.

Saya berpendapat meskipun Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang bagi saya adil dan wajar kepada ketiga-tiga pemohon itu namun saya , dengan hormat, berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan seksyen 66 itu adalah bercanggah dengan Artikel 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan adalah satu kesilapan atas alasan alasan berikut.
Pertamanya seksyen 66 itu bagi saya adalah satu kesalahan jenayah syariah yang dipanggil taazir yang mana ia secara jelas di bawah kuasa Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Negeri Sembilan maka seksyen itu adalah satu yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keduanya meskipun GID boleh dihujahkan menghalang seksyen 66 ini terpakai kepada “lelaki” yang tergolong dalam ketegori seperti pemohon-pemohon dalam kes ini ia tidak dengan sendirinya bermakna seksyen ini masih tidak boleh dipakai ke atas kes-kes yang secara jelas merujuk kepada lelaki yang normal dan dengan secara sengaja memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam. Jadi saya tidak nampak bagaimanakah seksyen 66 itu dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketiganya bagi saya Mahkamah perlu membezakan antara tindakan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama dan seksyen 66 itu . Bagi saya tindakan penguatkuasa undang-undang yang seharusnya dicabar dan bukannya seksyen 66 itu kerana seksyen 66 itu bagi saya lebih berbentuk umum maka insiden yang spesifik tidak sewajarnya menyebabakan seluruh seksyen 66 dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh jika seksyen 66 dikatakan bercanggah dengan Artikel 8 kerana isu perbezaan gender adakah Mahkamah juga akan katakan kes pembahagian faraid juga bercanggah dengan Artikel 8 kerana ia membezakan pembahgian harta pusaka antara lelaki dan perempuan ?

Keempat bagi saya Mahkamah seharusnya memutuskan bahawa seksyen 66 itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan sebaliknya tindakan penguatkuasa itu mungkin boleh ditafsirkan bercangah dengan Perlembagaan .

Mengenai kenyataan setengah pihak bahawa Mahkamah Sivil tidak seharusnya terlibat dalam kes ini kerana Artikel 121A Perlembagaan Persekutuan, bagi saya ini hujah yang tidak betul kerana isu di sini bukan isu bidangkuasa tetapi isu adakah sesuatu undang-undang itu bercanggah atau tidak bercanggah dengan Perlembagaan ? Maka ia adalah termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Akhirnya saya rasa berpendapat ketiga –tiga pemohon itu tidak wajar sama sekali ditangkap dan didakwa di bawah seksyen 66 tersebut dan saya bersetuju Mahkamah Rayuan melindungi hak mereka . Namun saya tetap berpendapat alas an Mahkamah Rayuan bahawa seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah sukar untuk dipertahankan.

Kita lihatlah bagaimana Mahkamah Persekutuan melihat isu ini nanti .
KENYATAAN MEDIA JUHAM NEGERI SABAH 
06 NOVEMBER 2014

Mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah khususnya Mahkamah Tinggi Syariah Tawau diatas perlaksanakan hukuman sebat secara terbuka bagi kesalahan syariah yang pertama di negara ini pada 28 Oktober 2014 bersamaan 4 Muharram 1436H. Perlaksanaan hukuman sebatan syariah bagi kesalahan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 3 (Sabah) 1995 ini memperlihatkan kesungguhan Jabatan Kehakiman Negeri Sabah mempastikan hukuman-hukuman syariah yang diperuntukkan di dalam undang-undang dapat dilaksanakan.

DPPNS juga merakamkan penghargaan di atas kebijaksanaan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Tawau, Yang Arif Tuan Ahadin Bin Arinen yang telah mensabitkan pesalah berdasarkan pengakuan bersalah yang dibuat dihadapan beliau. YA Tuan Ahadin bukan sahaja telah menjatuhkan hukuman dengan bijaksana, malahan telah mengambil kesempatan setelah hukuman dijalankan untuk memberikan ucapan yang amat berguna kepada pesalah, pegawai mahkamah, peguam dan orang ramai yang hadir menyaksikan hukuman tersebut tentang keindahan dan keadilan undang-undang Islam. Saya memetik ucapan beliau:

“Alhamdulillah. Sebentar tadi kita semua telah menyaksikan di hadapan mata kita perlaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah atas kesalahan zina. Hukuman sebat adalah satu hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada orang yang melakukan zina sebagaimana disebutkan dalam surah an Nuur: 2 yang berbunyi: “Perempuan yang berzina dan laki laki yang berzina, hendaklah kamu sebat kedua-duanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh kumpulan daripada orang yang beriman”.

Para hadirin semua telah menyaksikan betapa hukuman sebat yang telah ditetapkan Allah itu bukanlah satu hukuman menyiksa atau mendera atau mengazab pesalah. Ia jauh sekali lebih ringan berbanding hukuman yang dikenakan dari Mahkamah Awam. Inilah dia hukuman yang selama ini digeruni dan ditakuti oleh ramai orang selama ini. Mereka menyangka betapa kejam dan dahsyatnya hukuman sebat dalam Islam. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap hukuman ini. Namun, hari ini, para hadirin semua dapat saksikan depan mata. Apakah benar dakwaan orang-orang tersebut bahawa hukuman Islam ini kejam? Anda semua boleh menjawapnya hari ini. Para hadirin semua, dalam Islam, perlaksanaan hukuman hendaklah dilakukan di khalayak umum. Ini telah disebutkan sendiri oleh Allah dalam surah an Nuur: 2 yang dibacakan tadi. Allah menegaskan bahawa hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman. Tujuannya bukan mendera, bukan menyeksa, tetapi untuk memberi pengajaran, pendidikan dan keinsafan kepada kepada pesalah dan orang lain, lebih-lebih lagi kepada orang yang menyaksikan hukuman itu, jangan sampai perbuatan ini dilakukan lagi oleh pesalah atau orang yang menyaksikan atau ahli-ahli keluarga yang menyaksikan dan juga oleh masyarakat. Kesannya adalah kepada jiwa dan minda manusia. Inilah dia keindahan dan mutiara Islam yang perlu diketahui orang.


Ketika ini, pemerintah hanya memberi mahkamah syariah kuasa untuk menghukum sebat paling maksima 6 kali sebatan sahaja berbanding 100 kali sebagaimana yang diperintahkan Allah. Dan hari ini, Mahkamah ini telah mengambil dan melaksanakan kuasa yang diberi oleh pemerintah itu. Kita doakan semoga pihak pemerintah akan memperkasa lagi undang-undang yang sedia ada sehingga benar-benar menurut apa yang disebutkan dalam Al Quran pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin. Semoga Allah meredhai perlaksanaan hukuman pada hari ini dan menghitungnya sebagai sebahagian daripada amal soleh dan usaha kita semua untuk memartabatkan hukum Allah di muka bumi. Semoga dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah ini diampuni Allah. Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum pada hari ini membawa rahmat kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Sekian. Wassalamualaikum wbt”.


DPPNS juga mengucapkan penghargaan kepada jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis dan lain-lain yang telah memberikan kerjasama sehingga terlaksananya hukuman sebatan syariah ini. DPPNS menyatakan bahawa ini menunjukkan bahawa perlaksanaan undang-undang Islam mampu dilaksanakan sekiranya semua pihak khususnya kerajaan memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman Syariah.
DPPNS mengambil kesempatan untuk mencadangkan agar pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah menggiatkan usaha memberikan pendedahan dan penerangan kepada rakyat berkenaan undang-undang Islam dan hukuman-hukuman yang diperuntukkan bagi menghakis sikap prejudis dan salah faham . DPPNS juga mencadangkan agar Mahkamah Syariah Negeri Sabah menjemput Badan Bukan Kerajaan (NGO), pegawai-pegawai kerajaan, Ahli-ahli politik dan orang ramai bagi melihat sendiri prosedur perlaksanaan hukuman sebat ini. Walaupun hukuman yang dilaksanakan ini tidak memenuhi tuntutan sebenar hukuman bagi kesalahan hudud, setidak-tidaknya ia mampu memberikan gambaran kepada masyarakat bagaimana hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah dilaksanakan.


DPPNS juga menggesa agar Jabatan Kehakiman Syariah negeri-negeri lain mengambil langkah proaktif mencontohi langkah berani Mahkamah Syariah Sabah dan kami berharap agar pihak kerajaan mengambil langkah yang lebih serius bagi memberikan pendedahan kepada rakyat Malaysia tentang keadilan dan kesaksamaan yang ditawarkan oleh Undang-undang Islam.
Sekian, Terima Kasih.

Yang benar,
Haris Bin Alimudin 
Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Sabah &
Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu Sapi.