23 April 2015

HEBATNYA MENJADI PEGUAM?

HEBATNYA MENJADI PEGUAM

Setiap kali keputusan peperiksaan SPM/STPM diumumkan maka ibu bapa dan anak-anak akan mula mencari-cari apakah kursus yang perlu diambil bagi meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Saya percaya ramai ibu bapa dalam dilema mengenai kursus yang wajar diambil terutama jika anak-anak itu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM/STPM.


Antara kursus yang menjadi pilihan ramai adalah kursus pengajian undang-undang kerana sesiapa yang tamat pengajian undang-undang boleh memohon untuk menjadi peguam. Kerjaya peguam, doktor atau jurutera menjadi pilihan ramai. Para ibu bapa ramai yang mengidamkan anak mereka dapat didaftaraikan sebagai seorang peguam. Ini kerana pada tanggapan ramai, kerjaya peguam ini adalah kerjaya yang 'glamour', hebat, petah bercakap, berketrampilan, segak berpakaian dan menjanjikan pendapatan lumayan serta segala kemewahan hidup.

Jika ada yang berminat untuk menjadi peguam maka beberapa perkara mengenai kerjaya ini harus difahami. Peguam adalah istilah umum yang difahami oleh masyarakat awam. Dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976, perkataan yang digunakan adalah peguambela dan peguamcara (advocate & solicitor). Di England, profesion guaman ini terbahagi dua, pertama sebagai 'barrister - peguam yang berhujah di mahkamah' dan kedua, 'solicitor- peguam yang menyediakan dokumen-dokumen termasuk dokumen untuk tujuan perbicaraan di mahkamah'. Di Malaysia, profesion guaman ini dinamakan sebagai 'fused profession' iaitu gabungan antara keduanya. Lazimnya, perkataan 'peguambela' merujuk kepada 'barrister' manakala perkataan 'peguamcara' merujuk kepada 'solicitor'. Oleh itu, di Malaysia hanya satu lesen sahaja diperlukan bagi tujuan samada ingin menjadi peguambela atau peguamcara.
Pengajian jurusan undang-undang di Malaysia ini memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun untuk disempurnakan sebelum diberikan ijazah LL.B(Hons). 'LL.B' ini merujuk kepada perkataan latin - Legum Baccalaureus atau Bachelor of Laws. 

Hanya pelajar yang mempunyai ijazah ini yang dibenarkan untuk beramal sebagai peguambela dan peguamcara. Ada sesetengah universiti menamakan ijazah ini dengan nama lain. Itu tidak menjadi isu asalkan kandungan subjek yang diajar mesti memenuhi kehendak Akta Profesion Undang-Undang 1976 bagi melayakkan seseorang itu menjadi peguam.
Di Malaysia ini, ada beberapa universiti yang menawarkan pengajian undang-undang tetapi ijazah mereka tidak diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang menyebabkan mereka hampa tidak dapat menjadi peguam setelah berhempas pulas belajar di universiti. Oleh itu, AMATLAH PENTING untuk membuat sedikit kajian latar belakang universiti itu sebelum mendaftarkan diri sebagai pelajar undang-undang. Senarai universiti yang layak ada dipamerkan di portal Legal Profession Qualifying Board, Malaysia .

Ada ibu bapa yang berasa anak mereka patut belajar di luar negara supaya mereka mendapat pendedahan cara hidup dan pengalaman yang luas di negara asing. Ada kelebihan dan kekurangan jika belajar undang-undang di luar negara. Pihak Lembaga telah menetapkan bahawa ada beberapa pelajar lulusan luar negara perlu mengambil peperiksaan CLP (Certificate in Legal Practice) sebelum mereka boleh melakukan latihan dalam kamar (chambering). Peperiksaan CLP adalah satu peperiksaan yang sukar untuk lulus dan memerlukan kos tambahan yang banyak. Ada juga pelajar lulusan tempatan (seperti daripada Universiti Utara Malaysia dan Universiti Multimedia) yang perlu terlebih dahulu memperolehi Certificate of Completion sebelum dibenarkan untuk chambering. Oleh itu, pandai-pandailah membuat kajian dan perbandingan mengenai hal ini supaya kelak anda tidak kecewa.

Bagi saya, institusi tempatan yang mempunyai sedikit kelebihan berbanding dengan universiti lain samada peringkat tempatan mahupun antarabangsa adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia - UIAM [mungkin ada yang kata saya cuba promosi universiti sendiri]. Ini kerana sistem pelajaran di UIAM hanya menggunakan pengantar dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Selain itu, UIAM menggunakan sistem perbandingan ilmu iaitu setiap pelajar mesti mempelajari undang-undang sivil dan undang-undang Islam. Ini memberikan kelebihan ketara kepada pelajar kerana pelajar itu mampu memahami malah berhujah menggunakan dalil-dalil seperti ulama tetapi pada masa yang sama menggunakan ilmu logik dan falsafah barat sama seperti pelajar yang belajar Common Law dan Equity di England. Pelajar dan pensyarah pula berasal dari pelbagai negara menyebabkan jika pelajar itu pandai menggunakan ruang ini maka beliau setelah tamat belajar pasti dapat menguasai Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab dengan baik samada daripada segi komunikasi atau penulisan [sayangnya ramai pelajar mensia-siakan keistimewaan ini, malah ramai graduan undang-undang UIAM terus melupakan kebolehan bertutur dan membaca dalam Bahasa Arab selepas memasuki alam pekerjaan]. Selain itu, lulusan UIAM tidak perlu lagi mengambil ujian CLP atau Certificate of Completion dan boleh terus menjalani latihan dalam kamar setelah mendapat transkrip pelajaran dan surat pengesahan tamat belajar. Ini akan menjimatkan masa dan kos.
Selepas mendapat kelulusan tersebut, pelajar berkenaan perlu menjalani latihan dalam kamar (chambering) selama 9 bulan bagi menjadi peguam di Semenanjung dan 12 bulan jika di Sabah atau Sarawak. Pada peringkat ini, pelajar akan menjalani latihan praktikal di firma guaman di bawah seliaan seorang 'Master' yang telah beramal tidak kurang daripada 7 tahun secara aktif. Semasa tempoh latihan ini, pelajar juga wajib untuk menjalani latihan yang ditetapkan oleh Majlis Peguam seperti membuat latihan dock brief atau legal aid di beberapa institusi terpilih tidak kurang 14 hari sepanjang tempoh 9 bulan itu. Pelajar juga diwajibkan untuk menyertai Kursus Etika yang mana pelajar akan didedahkan mengenai etika kepeguaman yang perlu ada kelak jika memasuki kerjaya sebagai peguam.
Hanya selepas itu, baharulah pelajar berkenaan layak membuat petisyen masuk bagi didaftaraikan sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi. Petisyen masuk ini ibaratnya adalah hari konvokesyen yang mana pelajar itu akan disarungkan dengan jubah peguam oleh Masternya. Hanya yang berbeza, ianya dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dan bukan di hadapan Pro-Canselor atau Presiden universiti.

Apakah hebatnya menjadi peguam? Dalam fikiran pelajar pasti kehebatan peguam itu terserlah seperti dalam cerita di layar perak seperti cerita LA Law, Law & Order, Suits dan lain-lain. Pasti tergambar kepetahan seorang peguam mematahkan hujah lawannya di Mahkamah di dalam cerita seumpama itu. Kata Almarhum Tan Sri Harun Hashim, "You can become anyone if you have a degree in law except to become a doctor or an engineer." Kata-kata ini sungguh tepat. Allahyarham Sudirman adalah lulusan undang-undang tetapi beliau memilih untuk menjadi penyanyi. Elaine Dally adalah seorang peguam tetapi beliau memilih kerjaya sebagai model dan pelakon. Dato' Seri Nazri Aziz juga adalah peguam tetapi beliau memilih untuk menjadi seorang menteri. Tun Daim Zainuddin juga seorang peguam tetapi beliau memilih untuk menjadi seorang usahawan korporat. Dalam buku biografinya 'Daim Yang Diam', beliau berkata 'Jika anda ingin hidup senang anda boleh teruskan untuk menjadi peguam tetapi jika anda ingin jadi jutawan maka ceburilah bidang perniagaan.' Bahkan, nama firma 'Daim & Gamany' adalah firma guaman yang mana Tun Daim pernah menerajuinya suatu ketika dahulu.

Saya lihat ramai juga rakan-rakan saya yang pernah belajar undang-undang yang kini sudah beralih menjadi ahli perniagaan tetapi masih tetap mengekalkan lesen peguam. Tidak kurang juga ada rakan peguam yang sudah menjadi usahawan jagung, sawit, ayam, itik, anai-anai dan kambing tetapi masih mengekalkan lesen peguamnya.

Ini kerana peluang dalam profesion guaman ini sangat luas. Terpulang kepada orang yang menceburi bidang ini samada ingin fokus kepada profesion semata-mata atau ingin membuka ruang perniagaan lain. Bagi yang menjadi peguam, peluang itu kadang-kadang datang sendiri bila mana beliau mengendalikan kes dan berjumpa klien. Akhirnya klien itu menjadi rakan
kongsinya dalam perniagaan lain.

Itulah hebatnya menjadi peguam!
Nukilan,
Dr Hj ZULQARNAIN LUKMAN
4 Mac 2015 / 13 Jamadil Awal 1436H

No comments: