4 August 2009

29 penyokong GMI dihadap ke mahkamah

KUALA LUMPUR – Seramai 29 penyokong Gagasan Memansuhkan ISA (GMI) memberi pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, semalam masing-masing atas tuduhan di bawah Akta Pertubuhan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.

Mereka terdiri daripada 23 lelaki, lima wanita dan seorang remaja memberi pengakuan itu sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat Semua mereka berusia antara 16 tahun hingga 60 tahun.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Helmi Hassan; Mohd Lokman Amad Ulawi; Mohamad Hafizzuddin Mohd Ghazali; Saad Musa; Mohamad Ikhwan Ikram; Kamarul Nadhir Kadini; Shahrul Iman Mohamad Saleh; Abu Ubaidah Jalaluddin; Ahmad Abd Wahab Abdul Rahman; Muhammad Sholihin Mat Salleh; Mohd Fadzil Jan Dam dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh mengikut seksyen ini kerana telah memberi bantuan dengan membawa enam baju-T warna merah berlengan panjang tertera tulisan berwarna putih 'Unit Amal Malaysia' dan tiga topi berwarna merah berlogo 'Unit Amal' untuk kegunaan pertubuhan GMI bagi kegunaan perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka dituduh melakukan kesalahan ini pada 1 Ogos lalu, kira-kira jam 3.50 pagi di Jalan Kinabalu berhampiran Masjid Negara.

Sementara itu, Nordin Mohd; Hasbullah; Wan Muhd Jaslan; Mohd Fitri Mohd Yasin; Syaza Muaz Shahaudin; Mohd Sukri Mohd Sirat; Mohd Sukeri Muhammad; Norazam Salaib; Mohd Sallehidin Yusof; Mohd Mazlly Mohd Ismail; Zulsifli Kamma Kutti; Hayati Abdul Samad; Salmah Ismail; Norlaila Othman ;Nashita Md Noor dan Rashini didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana dituduh sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang yang mana tujuan perhimpunan ialah melakukan mudarat awam.

Selain itu, mereka turut menghadapi tuduhan pilihan dibawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 (Akta 344) dan dihukum mengikut Seksyen 27(8) Akta sama kerana dijumpai di dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Semua pertuduhan ini didakwa dilakukan pada 1 ogos lalu jam antara 9 pagi hingga 1.30 petang di pekarangan Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Pihak pendakwaan yang diketuai Shahidani Abd Aziz menawarkan setiap tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. Beliau turut dibantu tiga lagi Timbalan Pendakwa Raya iaitu Ishak Yusof, Farah Azlina Latif dan Azlina Rasdin.

Bagaimanapun, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mengetuai barisan pembelaan terdiri daripada 13 peguam membantah amaun itu atas asalan kesalahan yang dilakukan semua tertuduh bukanlah satu kesalahan serius tetapi hanya satu kesalahan bersifat teknikal iaitu berhimpun tanpa permit sah.

Beliau juga menegaskan tiada sebarang keganasan ataupun kekerasan berlaku dalam kes ini.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh berusia 16 tahun dibenarkan ikat jamin RM300 dengan seorang penjamin tanpa cagaran.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 4 September depan.
 
- Sinar Harian Online [4/8/2009]

No comments: