19 August 2009

KISAH GULA DAN GULA-GULA

Kronik sungguh masalah kepupusan gula akhir-akhir ini. Misteri ghuyubnya gula dari rak paling bawah kedai-kedai runcit masih belum terungkai. Adakah ini satu lagi konspirasi yahudi seperti penyebaran wabak H1N1? (dan B1N1? juga). Mamak di kedai runcit berhampiran rumah saya pun sudah membuat kawad cam yang positif terhadap saya setiap kali saya cuba membeli sekampit lagi gula dengan taktik gerila (membeli jajan 50 sen untuk membeli gula). Gula juga kini sudah naiktaraf apabila dikuarantin di bawah kaunter jurujual secara tersorok, seolah-olah hendak membeli barang yang makruh seperti mercun pula.

Tapi langit yang mendung itu tak semestinya membawa ribut petir semata-mata. Mungkin ada juga tiupan badai sepoi-sepoi bahasa yang datang. Sekurang-kurangnya kita belajar berpada dengan air kosong sahaja tanpa sebarang pemanis. Gula itu memang penyedap makanan tetapi jika overdose boleh menjemput penyakit menziarahi tubuh badan kita.

Seorang pakar Qi Gong pernah memberi amaran semasa saya mengikuti kursus tidur dalam kubur di Kuala Kubu Bharu (Khir Toyo pun pernah masuk kubur yang sama); amalkanlah minum teh tarik dan roti canai selalu, nescaya anda akan berkawan dengan penyakit kencing manis sebelum anda berumur 40 tahun. Satu lagi kata-kata amaran beliau yang wajar kita renungi adalah; amalkanlah makan mee segera, nescaya anda juga akan mati segera.

Jadi, kepada orang-orang pantimur (pantai timur) terutamanya negeri tadahan wahyu termasuklah saya yang berbangga dengan kemanisan makanan, berhati-hatilah di jalan raya. Walau sesedap manapun jala mas (golden fishing net), nekbat, tahi itik (yes duck's shit), akok dan lompat tikam (jump and stab), mengambilnya secara berlebihan akan mengundang kencing manis. Budu pun tak boleh meneutralkannya kembali.

Selain kisah gula, saya percaya kisah gula-gula juga akan menjadi terhangat di pasaran. Ini bukan gula-gula Hacks hakim manggosteen tapi gula-gula pilihanraya. Biasalah setiap kali pilihanraya kecil (mahupun besar), maka gula-gula ini akan dapat dilihat ditabur ke semerata pelusuk kawasan pilihanraya terbabit. Permatang Pasir juga tidak terlepas daripada daripada gula-gula ini. Jika Manik Urai mendapat (betul ke dapat) gula-gula jambatan baru, apa pula nikmat dunia yang akan menghujani penduduk Permatang Pasir?

Taburan gula-gula berbentuk gerimis, renyai-renyai dahpun bermula. Tak lama lagi turunlah yang berbentuk banjir kilat dan mungkin berbentuk hujan anjing dan kucing (raining cats and dogs) juga. Pengumuman TPM bahawa Permatang Pasir akan menjadi anak emas kerajaan persekutuan dan akan dipastikan kawasan itu masuk dalam rancangan pembangunan Malaysia ke 9 atau ke 10. Wah besar sungguh ceklat ini. Adakah mafhum mukhalafah pengumuman itu bahawa undi dulu baru kasi? Tak undi dianggap biting the hands that has been feeding you? Bukankah semua kawasan dalam 1Malaysia (sorry PM pinjam istilah) sewajarnya dianggap sebagai anak emas? (walaupun Kelantan memang dah lama dianaktirikan)

Let me say it loud and clear. Wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat dan bukannya penguasa atau bangsawan. Wakil rakyat yang patut menghambakan diri kepada rakyat dan bukan rakyat yang menyembah pemimpin. Kalau hendak menjadi kaya, jadilah usahawan. Bahkan 9/10 punca rezeki adalah dari perniagaan, walaupun ramai orang politik yang telah membisneskan perjuangan politik. Kerajaan pula adalah pengurus kekayaan negara untuk dinikmati oleh rakyat (semua bukan suku-sakat sendiri sahaja). Ini sifir-sifir politik mudah yang difahami oleh makin ramai penduduk negara 1Malaysia.

Sebab itulah mengikut acuan Islam, kita sepatutnya bergaduh untuk tidak mahu ditolak ke atas menjadi pemimpin. Realitinya, pergaduhan yang berlaku adalah untuk menjadi pemimpin. Bak kata Vince AF1, berkobar-kobar sungguh semuanya nak jadi wakil rakyat. Jika kita tahu amanah yang bakal dipikul dan soal-jawab mahkamah mahsyar yang kita akan dicross-examine setiap zarah perbuatan kita, nescaya ramai yang akan menikus dari menawarkan diri menjadi pemimpin.

Pemimpin haruslah boleh memimpin dan dilihat boleh untuk memimpin (can lead and seen able to lead). Secomel-comelnya, bakal pemimpin perlulah ada rekod bersih selain akhlak yang sah kena bersih (contohnya tidak pernah distruck off daripada roll of advocates and solicitors kerana misconduct (i'm sorry rujuklah statement s/u Bar Council). Tak kesahlah samada kena bar itu sebab partner beliau (victim of circumstances) ataupun memang bersubahat. In politics, perception is everything bukan. Ingatlah hadith nabi, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan ke atas orang yang dipimpinnya. Jika diri sendiri pun tidak berupaya dipimpin, bagaimana hendak memimpin orang lain?. Bak kata Nabil raja lawak, lu pikirla sendiri. Wassalam.



Sungguh mudah dan ringkas untuk menambah lebih ramai rakan.
Jemput rakan anda dari Hotmail, Gmail ke Yahoo! Messenger hari ini!

No comments: