30 August 2009

Aku Dan Perlembagaan

Oleh: Zulqarnain Lukman
Pengerusi JUHAM PUSAT
 
Baru-baru ini saya menghadiri satu mesyuarat dengan sebuah badan silat iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Antara agenda yang dibincangkan adalah mengenai status ahli yang akan menghadiri mesyuarat agung badan silat itu yang dijadualkan pada bulan Oktober ini. Dua minggu lepas, Jawatankuasa Pusat badan silat itu telah membuat ketetapan bahawa hanya cawangan yang mempunyai lebih 50 orang ahli sahaja yang layak menghantar perwakilan ke mesyuarat agung berkenaan.

Saya menimbulkan persoalan samada ketetapan itu telah melampaui (ultra vires) Perlembagaan badan silat itu. Ini kerana, setiap ahli mempunyai hak yang sama termasuk hak untuk hadir dalam mesyuarat agung dan mengundi calon-calon pemegang jawatan utama. Tidak ada mana-mana klausa dalam perlembagaan badan itu yang menetapkan syarat bahawa sesuatu cawangan hendaklah mempunyai 50 orang ahli sebelum boleh menghantar perwakilan.
Setelah berdebat panjang, akhirnya mesyuarat bersetuju bahawa ketetapan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pusat badan silat itu adalah bercanggah dengan perlembagaan dan terbatal akibat telah melampaui peruntukan yang diberikan oleh perlembagaan itu sendiri.

Pengajaran yang ingin saya timbulkan di dalam tulisan ini bukan berkaitan isu mengenai badan silat itu tetapi mengenai kepentingan perlembagaan. Setiap badan bukan kerajaan yang ditubuhkan di Malaysia ini lazimnya terdiri atas satu perlembagaan yang diluluskan oleh pendaftar. Perlembagaan ini akan mengawal selia perjalanan badan tersebut. Perlembagaan akan memperincikan nama badan itu, tujuan ianya ditubuhkan, syarat keahlian, hak-hak sebagai seorang ahli, pencalonan penjawat jawatan, tugas penjawat jawatan, ahwal mesyuarat agung dan mesyuarat agung luar biasa dan lain-lain mekanisma perjalanan badan itu.

Oleh itu, perjalanan badan itu akan dikawal selia sepenuhnya oleh perlembagaan tersebut. Ini bermakna perlembagaan akan menjadi sumber kuasa tertinggi dalam badan berkenaan dan segala tindakan oleh ahli mahupun penjawat jawatan haruslah selaras dengan perlembagaan. Sebarang tindakan yang melampaui peruntukan perlembagaan boleh diisytiharkan tidak sah dan terbatal oleh mahkamah atau lain-lain badan berotoriti. Hal ini mungkin boleh menimbulkan kerugian material dan kewangan apabila suatu pihak mungkin terpaksa membayar pampasan atau gantirugi kerana menafikan hak pihak yang lain yang dijamin dalam perlembagaan.

Selain itu, penjawat jawatan juga harus sedar bahawa meskipun mereka diberikan kuasa untuk mentadbir tetapi kuasa mereka adalah terhad. Mereka tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghalang hak seseorang ahli seperti hak untuk mengundi atau hadir dalam mesyuarat agung melainkan ahli berkenaan sudah dilucutkan keahliannya menurut perlembagaan.

Saya fikir prinsip dan kaedah yang sama juga terpakai dalam sistem perundangan di Malaysia. Malaysia ini terbentuk selepas kewujudan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah memperincikan apakah hak-hak rakyat yang merupakan ahli kepada negara Malaysia dan apakah tugasan pemerintah iaitu Perdana Menteri, anggota kabinetnya dan seluruh jentera pemerintah seperti anggota polis dan kakitangan kerajaan.

Oleh itu, hak-hak rakyat seperti hak untuk berkumpul secara aman, hak untuk berjumpa peguam tatkala ditangkap, hak untuk beragama, hak untuk bergerak di dalam Persekutuan dan lain-lain hak haruslah dihormati oleh pemerintah. Hak-hak berkenaan hendaklah tidak dicabul dan dilanggar. Ini kerana, jika semua pihak sedar bahawa kuasa tertinggi dalam negara ini adalah Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya kuasa tersebut dihormati barulah keamanan dan keharmonian akan tercapai.

Dalam hal ini, saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada guru-guru saya khususnya kepada profesor saya yang telah mengajar dan mendidik saya mengenai ilmu perlembagaan ini sehingga saya boleh menghargai dan menghormati prinsip-prinsip kenegaraan ini.

No comments: