4 August 2009

29 tak mengaku salah

Oleh Siti Nurazlinee Azmi
sitinurazlinee@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 29 penyokong Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan mengedar kemeja-T serta topi untuk perhimpunan itu, Sabtu lalu.

Bagi tuduhan menyertai perhimpunan haram, 16 tertuduh termasuk lima wanita yang berusia 30 hingga 60 tahun dituduh melakukan kesalahan itu di pekarangan tempat letak kereta Masjid Negara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara jam 9 pagi hingga 1.30 petang, 1 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Tertuduh menghadapi tuduhan pilihan, iaitu dijumpai dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat dan waktu yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum denda RM10,000 dan setahun penjara, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan mengedar enam kemeja T berwarna merah yang tertera 'Unit Amal Malaysia' dan tiga topi berlogo 'Unit Amal' GMI, 13 tertuduh berusia antara 16 hingga 31 dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Kinabalu berhampiran Masjid Negara di sini, jam 3.50 pagi, 1 Ogos 2009
 
Mereka mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz yang mengetuai pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin atas alasan jumlah yang tinggi perlu dikenakan selain ia munasabah sebagai syarat supaya tertuduh hadir ke mahkamah.

"Apa yang dilakukan 29 tertuduh kesalahan berat membabitkan ketenteraman awam. Jika diberikan jaminan yang rendah, boleh menyebabkan kegagalan tertuduh hadir untuk perbicaraan.

Peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili 12 peguam lain, memohon jaminan RM200.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat memerintahkan semua tertuduh dijamin RM500 dengan seorang penjamin manakala pesalah juvana dibenarkan ikat jamin RM300 tanpa cagaran.

Mahkamah menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.
 
- Berita Harian Online [4/8/2009]

No comments: